40 Minggu

Baru Nikah Sebulan Tapi Kandungan Dah 6 Minggu? Ini 5 Perkara Yang Ramai Keliru

2.6K
reads
bunting pelamin

Masih ada segelintir daripada masyarakat yang memandang serong pada pengantin perempuan yang hamil pada awal perkahwinan. Sampaikan ada yang tergamak mengatakan mereka melakukan hubungan tidak halal sebelum bernikah.

Sebagai masyarakat berilmu dan bakal ibu bapa, adalah penting untuk faham konsep usia janin dalam kandungan sebelum menyebarkan fitnah secara melulu.

5 Perkara Yang Perlu Anda Faham Tentang ‘Bunting Pelamin’

Mari fahami bagaimana bunting pelamin boleh terjadi dan apakah rasional di sebaliknya.

1. Cara Pengiraan Kitaran haid

Dalam meniti bahtera perkahwinan, bukan sahaja mental dan fizikal perlu dipersiapkan. Ilmu penting seperti kesihatan wanita juga perlu diambil tahu oleh kedua-dua suami dan isteri. Yang paling asas, kenalah tahu cara mengira kitaran haid dengan tepat.

Satu kitaran haid selalunya memakan masa selama 28 hari, ada yang lebih atau kurang sedikit – bergantung kepada tubuh wanita. Hari pertama wanita haid dikira sebagai last menstrual period (LMP). Ovari pula akan menghasilkan telur pada hari ke 14 iaitu pada saat wanita paling subur. Sperma yang berada di dalam rahim boleh hidup sehingga 3 ke 7 hari bagi mencapai persenyawaan.

Jika persenyawaan berjaya, maka wanita tersebut akan ‘missed period’ seterusnya. Jika tidak, wanita tersebut akan datang haid seperti biasa dan kitaran haid bermula semula.

punca lewat haid

Foto Kredit: nymag.com

2. Cara Menganggar Usia Janin

Seterusnya, jom fahami pula bagaimana mengira usia janin yang biasa dilakukan oleh doktor.

Bagi wanita yang mula tidak datang bulan dalam tempoh seminggu dua selepas melakukan hubungan, mereka cenderung untuk melakukan ujian kehamilan sendiri sebelum berjumpa doktor. Ada yang terkejut apabila doktor memberitahu bahawa usia kehamilan mereka mencecah sehingga 6 minggu walaupun baru sebulan berkahwin.

Ini kerana doktor akan mengira usia kehamilan mengikut tarikh hari pertama haid (LMP) walaupun anda tidak melakukan sebarang hubungan pada waktu tersebut. Doktor mengambil kira hari LMP kerana hari tersebut merupakan termasuk dalam satu kitaran haid.

Selain itu, adalah agak mustahil untuk menganggar secara tepat usia janin kerana benih lelaki yang tinggal di dalam wanita memerlukan masa untuk disenyawakan dengan ovum dan tidak semestinya berlaku pada hari yang sama pasangan melakukan hubungan intim.

Inilah yang selalu orang panggil, Buku Merah!

3. Anggaran Berdasarkan Kitaran Haid, Bukan Tarikh Perkahwinan

Berdasarkan 2 konsep yang diterangkan di atas, penting untuk kita faham bahawa usia kehamilan dikira berdasarkan hari pertama period terakhir (LMP) dan bukan berdasarkan tarikh perkahwinan.

Contohnya begini:

Tarikh hari pertama haid (LMP) isteri :17 Februari 2017
Tarikh bernikah : 8 Mac 2017
Tarikh berjumpa doktor : 22 Mac 2017

Kiraan Usia Kehamilan Yang SALAH : 8 Mac 2017 – 22 Mac 2017 = 14 Hari / 2 Minggu
Kiraan Usia Kehamilan Yang BENAR : 17 Februari 2017 – 22 Mac 2017 = 1 Bulan 5 Hari

Selalunya, di klinik kerajaan mereka akan gunakan alat yang lebih kurang di bawah ini.

Foto Kredit: mdpocket.com

4. Pentingnya Berpegang Kepada Usia Kandungan Yang Ditetapkan Doktor

Selalunya doktor akan memberi due date 40 minggu selepas hari pertama LMP sebagai anggaran. Seterusnya, anda akan menjalani pemeriksaan berkala untuk memastikan kesihatan dan perkembangan kandungan adalah amat penting supaya bayi sentiasa dalam keadaan sihat. Doktor akan memberi garis panduan terbaik berdasarkan usia kehamilan dengan tepat agar anda lebih bersedia untuk melahirkan bayi.

Jangan kerana malu menerima hakikat ‘bunting pelamin’, anda bertindak untuk sengaja melewatkan usia kehamilan sebanyak dua minggu berbanding tarikh due date yang diberikan oleh pakar. Tindakan ini akan membahayakan kedua-dua ibu dan anak dalam kandungan. Kandungan yang terlebih usia akan menyebabkan janin mudah terputus bekalan nutrisi dalam kandungan. Hal ini akan menyebabkan komplikasi sehingga boleh menyebabkan bayi mati dalam kandungan.

Pentingkan kesihatan diri dan kandungan dahulu sebelum mendengar tohmahan dari orang lain. Memberi maklumat palsu atau mengubah usia kehamilan yang ditentukan boleh mendatangkan risiko kepada bakal ibu.

Foto Kredit: onfertility.com

5. Bagaimana Kalau Tak Tetap Haid?

Doktor akan mengikut anggaran usia kehamilan berdasarkan tarikh LMP sekiranya wanita tersebut benar-benar yakin akan tarikh tersebut dan tidak bergantung kepada sebarang ubat.

Tetapi, jika wanita itu tidak pasti dan sering mengalami kitaran haid yang tidak teratur, doktor boleh melakukan imbasan ultrasound bagi mendapatkan kepastian.

Namun, anggaran melalui cara ini biasanya agak sukar dibuat melainka apabila kandungan sudah semakin membesar. Jika keputusan ultrasound menunjukkan bahawa bayi berkembang melebihi usia seminggu daripada tarikh LMP, maka doktor akan berpandu kepada usia yang ditunjukkan berdasarkan ultrasound.

mengandung uri di bawah

Foto Kredit: Voisin/Phanie / Rex Features

Tambah Ilmu, Elak Percaya Fitnah

Pada zaman yang serba maju ini, mentaliti mundur daripada masyarakat tidak seharusnya diterima sebulat-bulatnya. Tanpa fakta yang berasas, elakkan menabur fitnah tanpa usul periksa.

Jika anda ditakdirkan ‘bunting pelamin’, bersyukurlah dan terima kenyataan ini dengan positif kerana ramai yang telah menunggu bertahun-tahun lamanya untuk mendapatkan zuriat. Dengan penjelasan ini juga, diharapkan anda dan pasangan dapat lebih fokus untuk memikul tanggungjawab baru sebagai suami isteri dan ibu bapa tidak lama lagi.

Yang Popular

To Top