40 Minggu

5 Sebab Jangan Tayang Gambar ‘Ultrasound’ Bayi Anda Di Media Sosial

1.6K
SHARES

“Wah, ‘excited’nya nak pergi klinik ultrasound hari ni! Tak sabar nak tahu ‘baby boy’ ke ‘baby girl’ dalam perut Mama ni. Kalau dah tahu nanti, bolehlah ‘post’ kat FB.”

Apabila zaman semakin canggih, segala perkara boleh dikongsikan dengan hanya satu klik. Namun, adakah semua perkara itu patut untuk dikongsikan?

Sebelum ini ada yang mungkin mengecam kerana terlalu banyak berkongsi gambar anak hingga menyebabkan mereka terdedah kepada mangsa pedofil. Kini, timbul pula persoalan sama ada kita wajar berkongsi foto ultrasound bayi di dalam kandungan.

kurang air ketuban

Foto Kredit: netdoctor.co.uk

5 Sebab Jangan Tayang Gambar Ultrasound Bayi Anda Di Media Sosial

Klinik ultrasound di Malaysia kini menyediakan pelbagai teknologi canggih daripada scan 2D, 3D, dan ada juga 4D. Memang mudah! Selain memantau keadaan kesihatan bayi dalam kandungan, jantina bayi juga dapat diketahui melalui cara ini.

Sebagai ibu bapa, perasaan gembira dan teruja ketika melihat foto sebegini memang sesuatu yang normal. Tetapi, sebelum anda ingin berkongsi gambar tersebut, fahami dahulu 5 perkara ini.

1. Ia Adalah Perkara Yang ‘Tersembunyi’

Merujuk kepada laman web Mufti Wilayah Persekutuan melalui Al-Kafi Li Al-Fatawi : Soalan 417 bertarikh 27 Oktober 2016, foto sebegini tidak sepatutnya menjadi tontonan ramai kerana ia bertentangan dengan asal maksud janin itu sendiri.

Bagi yang tidak tahu, janin itu berasal daripada perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud ‘perkara yang tersembunyi.’ Dijelaskan dalam ulasan tersebut, sungguhpun ultrasound itu bukannya aurat, ianya tidak patut ditunjuk-tunjuk kepada orang melainkan ada keperluan seperti urusan perubatan dan pengajaran.

2. Boleh Mengundang Fitnah

Benar, pertama kali melihat bayi dalam kandungan di klinik ultrasound adalah saat paling indah dalam hidup anda. Tetapi, foto ini mungkin sesuatu yang agak ‘pelik’ bagi sesetengah orang, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak pernah melihatnya. Lalu, ia dikhuatiri akan mengundang fitnah seperti aib dan sangkaan manusia.

Tambahan pula, apabila ianya dijadikan sesuatu yang umum, anda tidak dapat menyekat komen negatif atau tafsiran buruk daripada pihak tertentu. Malah, ia mungkin saja boleh digunakan oleh mereka yang kurang berilmu atau bertujuan mengambil kesempatan.

Foto Kredit: PseudoScience Watch

Foto Kredit: PseudoScience Watch

3. Elak Penyakit ‘Ain

Penyakit ‘Ain atau penyakit mata adalah sesuatu yang benar-benar boleh berlaku, seperti yang dijelas oleh Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman. Ia menyerupai hasad dengki, tetapi ia turut boleh datang daripada niat baik seperti sesuatu yang kita kagumi dan sanjungi.

Dari Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَعِيذُوا بِاللَّهِ فَإِنَّ الْعَيْنَ حَقٌّ

Maksudnya: Mintalah kalian perlindungan kepada Allah dari ‘ain (mata jahat) kerana sesungguhnya ain itu haq (benar) (HR Ibnu Majah).

Apabila terkena penyakit ini, seseorang boleh jatuh sakit walaupun mereka yang memandangnya atau mengaguminya tidak bermaksud untuk berniat jahat terhadap seseorang tersebut. Maka, inilah juga salah satu sebab mengapa orang tua-tua tak benarkan kita menunjukkan gambar anak yang baru lahir kepada umum kerana dibimbangi akan memakan diri.

pendarahan ketika hamil

Foto Kredit: origin.amp

4. Tidak Semua Merasakan Foto Itu ‘Normal’

Bukannya semua orang pernah melihat gambar ultrasound. Jadi, tak hairanlah ada yang menganggapnya aneh dan tak kurang juga yang berasa kurang selesa.

Anda mungkin melabel mereka yang berpendapat sedemikian sebagai ‘kuno’, tetapi ramai golongan moden, termasuklah orang-orang Barat merasakan bahawa tindakan ini adalah sesuatu yang berlebihan.

Oleh itu, jika anda positif bahawa tiada yang akan mengecam gambar tersebut, bolehlah anda berkongsikannya dengan mod terhad.

bayi-tersenyum-ultrasound-4d-scan-2

5. Raikan Kegembiraan Anda Dengan Doa

Segala kegembiraan yang dirasai tidak semestinya dikongsikan ke media sosial, terutamanya jika anda mempunyai senarai rakan yang tidak anda kenali. Sebaliknya, perbanyakkanlah doa dan zikir yang disarankan sebagai tanda syukur ke atas nikmat tersebut.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika salah seorang dari kalian melihat sesuatu yang menakjubkan dari saudaranya, pada dirinya atau pada hartanya, maka doakan keberkatan padanya, kerana sesungguhnya penyakit ain itu haq (benar). (HR Ahmad)

klinik ultrasound

Foto Kredit : unomatch.com

Bersederhana Adalah Jalan Terbaik

Berkongsi atau tidak, ianya adalah hak individu yang tidak boleh disekat. Namun, jalan yang terbaik adalah dengan bersederhana terhadap apa jua yang dikurniakan kepada kita, sama ada yang baik ataupun buruk.

Mudah-mudahan semuanya baik-baik saja.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×