Tiada siapa menyangka perjalanan pulang dari sekolah berakhir dengan tragedi, apabila seorang murid Tahun Empat maut selepas motosikal dinaiki bersama datuknya bergesel dengan sebuah lori di Kubang Kerian, Kelantan.
Putri Nur Aishah Abdullah, 10, yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 2, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang Isnin selepas bertarung nyawa selama sehari akibat kecederaan parah dan kehilangan banyak darah.
Baca juga: “Dia Satu-Satunya Harta Berharga Saya”- Gadis Tangguh Pengajian Demi Jaga Ayah Hidap Kanser
KES DIGILIS LORI: MURID TAHUN EMPAT MAUT SELEPAS 24 JAM BERTARUNG NYAWA

Murid perempuan Tahun Empat, Putri Nur Aishah meninggal dunia selepas sehari digilis lori ketika membonceng motosikal bersama datuknya semasa pulang dari sekolah.
Ibu mangsa, Nadja Aida Natasha Mohd Noor, 30, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.20 petang Ahad ketika anak sulung daripada tiga beradik itu membonceng motosikal bersama datuknya, Bakri Daud, 61.
Menurutnya, kedua-dua mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Chica selepas selesai makan sebelum kemalangan berlaku berhampiran sebuah persimpangan lampu isyarat.
Jatuh ke kanan sebelum digilis lori
Nadja Aida Natasha berkata, motosikal yang dinaiki anaknya dan bapanya bergesel dengan lori yang datang dari arah sama sebelum kedua-duanya terjatuh.
“Ayah saya yang menunggang motosikal terjatuh ke sebelah kiri dan hanya mengalami luka ringan tapi anak saya jatuh ke sebelah kanan serta digilis lori di bahagian perut.
“Pemandu itu menghentikan lorinya selepas menyedari kejadian dan terkejut melihat anak saya sudah berada di bawah lori serta mengalami kecederaan parah,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Putri Nur Aishah kemudian dikejarkan ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian dan ditempatkan di Zon Merah dalam keadaan kritikal.
Menurut ibunya, doktor melakukan pembedahan kecemasan bagi memasang besi di bahagian pinggul mangsa dalam usaha membantu menghentikan pendarahan sebelum dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi.
“Doktor buat pembedahan kecemasan untuk pasang besi di bahagian pinggul Putri Nur Aishah bagi membantu menghentikan pendarahan sebelum dia dimasukkan di Unit Rawatan Rapi.
“Beberapa jam selepas menjalani pembedahan, keadaan anak tetap lemah kerana kehilangan banyak darah,” katanya.
Baca juga: Terbongkar Dalam Op Pedo Bersepadu 3.0, Remaja 13 Tahun Cipta & Jual Kandungan Animasi S*ksual
Jantung terhenti ketika doktor berbincang
Keadaan Putri Nur Aishah bagaimanapun terus merosot apabila pendarahan yang dialaminya tidak berhenti.
Nadja Aida Natasha berkata, doktor pada awalnya bercadang menjalankan pembedahan kali kedua pada keesokan harinya bagi mengenal pasti punca pendarahan yang berterusan.
Namun, ketika perbincangan bersama doktor berlangsung, keadaan anaknya tiba-tiba kritikal apabila jantungnya terhenti.
“Semasa perbincangan bersama doktor, jantung anak saya tiba-tiba terhenti dan diberi bantuan CPR sebelum nadinya kembali selepas 15 minit.
“Keadaan dia bagaimanapun makin lemah sebelum akhirnya meninggal dunia,” katanya.
Jenazah Putri Nur Aishah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chicha kira-kira jam 9.30 malam pada hari sama.
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Sinar Harian
