Meraikan transformasi di PPR Lembah Subang, Women Of Will (WOW) komited untuk memperkasakan dan meraikan pencapaian hebat komuniti dikawasan tersebut.
Mendapat sokongan Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan. Fokus utama acara ini adalah untuk menonjolkan peranan penting wanita dalam memajukan komuniti mereka, fokus utama WOW di PPR Lembah Subang adalah untuk menonjolkan peranan penting wanita dalam memajukan komuniti mereka.
Transformasi masyarakat melalui Program WOW

Bagi anda yang belum tahu, WOW telah berjaya membantu lebih dari 10,000 ahli komuniti di PPR Lembah Subang melalui pelbagai program yang meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan hidup mereka.
Salah satu kejayaan utama adalah penglibatan usahawan wanita yang tidak hanya berjaya meningkatkan pendapatan mereka, malah ada yang telah mencapai kategori pendapatan sederhana dan tinggi.
Ini membuktikan bahawa dengan sokongan yang betul, wanita dapat menjadi pemangkin perubahan yang signifikan dalam komuniti mereka.
Para usahawan wanita yang berjaya ini bukan sahaja menjalankan perniagaan, tetapi mereka menjadi teladan dan mengambil peranan sebagai pemimpin komuniti, membantu jiran-jiran mereka dengan memperkenalkan pelbagai program untuk menyelesaikan masalah bersama.
Persatuan Pemimpin Wanita Berdaya (PPWB) ditubuhkan

Antara salah satu inisiatif yang telah diambil adalah penubuhan Persatuan Pemimpin Wanita Berdaya (PPWB).
Organisasi ini dimulakan oleh 23 Pemimpin Komuniti Wanita WOW yang datang dari 10 kawasan PPR serta komuniti berpendapatan rendah di Kuala Lumpur, Selangor, dan Kedah.
Tujuannya untuk memperjuangkan penyelesaian kepada pelbagai cabaran yang dihadapi oleh wanita dan komuniti berpendapatan rendah.
Visi mereka adalah untuk memperkasakan wanita dan memperbaiki kualiti hidup mereka secara berterusan, dengan matlamat jangka panjang untuk memperluaskan penyelesaian ini ke seluruh negara.
Peranan Wanita sebagai Pemimpin Komuniti

Presiden PPWB, Isham Binti Romli atau lebih dikenali sebagai Kak Misha, menegaskan pentingnya peranan pemimpin komuniti dalam membangunkan potensi dan ketahanan wanita. Melalui pelbagai program dan usaha bersama, wanita mampu mencari dan mencipta jalan penyelesaian untuk jangka panjang sambil mendukung keselamatan dan pembangunan komuniti secara mampan.
WOW kini merancang untuk mengembangkan program WOW Entrepreneurship Development (WOWED) yang telah berjaya dilaksanakan di PPR Lembah Subang ke lebih banyak komuniti berpendapatan rendah di Malaysia.

Bagi anda yang ingin mengetahui bagaimana inisiatif WOW telah membawa perubahan kepada komunit PPR Lembah Subang, anda boleh dapatkan buku ‘Women Of Will di Lembah Subang’. Buku ini memperincikan kisah transformasi komuniti tersebut.
Presiden WOW, YBhg. Datin Wira Goh Suet Lan, menyatakan bahawa pembangunan dan transformasi di PPR Lembah Subang adalah hasil semangat dan ketabahan wanita di sana. Mereka telah berjaya mengatasi pelbagai cabaran, seperti kurangnya kerjasama antara blok dan kekurangan sumber, dan menjadikan cabaran tersebut sebagai peluang untuk kemajuan.
WOW kini mengajak semua pihak untuk bersama-sama mereka dalam memperkasa wanita dan memperkukuhkan komuniti. Dengan kerjasama yang erat antara wanita, komuniti, pihak yang berkepentingan dan penaja mereka percaya impak positif yang lebih besar dapat dicapai.
Untuk maklumat lanjut mengenai program dan peluang kerjasama, sila hubungi:
Ms. Alyssa Binti Haniff
Pengurus Kanan, Pembangunan dan Perhubungan
Emel: [email protected]
Telefon Bimbit: 0194402681
