Memilukan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun rentung dalam kebakaran, manakala ibu dan adik mangsa turut melecur, lapor Berita Harian semalam.
Kejadian yang berlaku pada awal pagi semalam, turut meranapkan 11 pintu Rumah Panjang Polly Sulau, di Bukong Asal, Betong, Sarawak.
Baca juga: [VIDEO] Hari Bahagia Pengantin Bertukar Tragedi, ‘Order’ 700 Pax Katering Hantar 50 Pax Sahaja
MEMILUKAN…BUDAK LELAKI 5 TAHUN RENTUNG, IBU & ADIK PULA MELECUR
Difahamkan, ibu mangsa berusia 25 tahun dan adiknya pula berusia dua tahun.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Henry Jugah, berkata pihaknya menerima panggilan pada 9.22 pagi sebelum sepasukan anggota bersama jentera dari BBP Betong dihantar ke lokasi.
Sewaktu ke lokasi kejadian, beliau berkata, pihaknya berhadapan cabaran kerana jalan terlalu sempit dan berbukit-bukau.
Ujarnya lagi, pihak bomba terpaksa mendapatkan air dari kolam berdekatan menggunakan pam angkut, selain menggunakan air daripada jentera untuk memadam kebakaran.
“Mayat mangsa ditemukan di ruangan dapur bilik nombor 11 rumah panjang terbabit jam 12 tengah hari ketika kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Betong untuk tindakan lanjut.
“Ibu dan adik mangsa yang masing-masing melecur 32.5 peratus dan 44.5 peratus turut dikejarkan ke hospital,” katanya.
Henry berkata, rumah panjang yang didiami 59 penghuni itu musnah sepenuhnya menyebabkan kesemua penduduk tinggal sehelai sepinggang.
Sumber: BH Online