Sihat

Kenapa ‘Berangin’ Satu Badan Bila Makan Buah Cempedak?

119
SHARES

Nampaknya musim buah cempedak sudah tiba! Bukan sahaja durian, malah buah cempedak ini juga menjadi kegemaran ramai terutama sekali apabila digoreng. Bukan itu sahaja, buah cempedak juga telah divariasikan dengan pelbagai antaranya menjadi biskut dan aiskrim.

Namun, bukan semua dalam kalangan kita yang mempunyai perut yang dapat ‘tahan’ dengan kesan pengambilan buah cempedak kerana akan mengalamu perut kembung. Tapi kenapa ada sesetengah kita yang tidak mengalami sebarang angin atau kembung selepas makan buah cempedak? Ini jawapannya.

KENAPA ADA ORANG PERUT KEMBUNG & ADA YANG TIDAK BILA MAKAN CEMPEDAK?

Menurut tweet dari pakar kimia, Che Puteh Osman di laman Twitternya, ini disebabkan oleh kehadiran oligosakarida, sejenis karbohidrat yang terdiri dari 3-10 unit monosakarida dan diikat dengan ikatan alfa-galaktosil. Sistem pencernaan manusia tidak boleh mencerna ikatan ini.

Ikatan ini diurai oleh bakteria di dalam usus dan menghasilkan gas hidrogen dan metana. Kehadiran mikroflora yang berbeza di dalam usus manusia mempengaruhi reaksi manusia apabila mereka mengambil makanan yang mengandung oligosakarida. Kita boleh mengurangkan kesan kembung ini dengan memasak terlebih dahulu karbohidrat ini. Selain itu, kunyah sehingga hancur dan minum air masak secukupnya.

Namun begitu, mereka yang mengalami masalah kesihatan tertentu setelah disahkan oleh pakar perubatan, seperti irritable bowel syndrome perlu mendapatkan nasihat doktor dan dietitian mengenai diet karbohidrat yang boleh mereka ambil.

Kenapa reaksi manusia berbeza-beza terhadap makanan tersebut?

Jawapannya, flora mikroorganisme di dalam usus adalah berbeza antara individu. Dan flora ini dipengaruhi oleh gaya hidup dan keturunan.Malah ada di antara ketidakhadaman ini disebabkan masalah kesihatan seperti tidak toleran kepada gluten, alahan pada makanan, dan irritable bowel syndrome. Masalah kesihatan ini memerlukan kepada pengesahan oleh doktor yang merawat.

Sistem pencernaan manusia tidak boleh mencerna karbohidrat yang diikat dengan ikatan beta-glukosidik dan ikatan alfa-galaktosil. Badan manusia boleh mencerna karbohidrat yang diikat dengan ikatan glukosidik alfa. Antara jenis karbohidrat dalam makanan:

a) Disakarida : Terdiri dari dua unit monosakarida contohnya sukrosa atau gula putih. Ia terdiri dari satu unit fruktosa dan satu unit glukosa. Enzim amlise dalam badan kita akan mencerna sukrosa kepada glukosa dan fruktosa.

b) Polisakarida: Terdiri dari lebih 10 unit monosakarida sehingga beribu unit. Contohnya kanji amilose dan amilopektin yang terdiri dari beratus unit glukosa, contohnya dalam beras. Enzim amilase dan glukosidase dalam badan akan mencerna kanji menjadi glukosa. Contoh yang lain adalah selulose. Walaupun selulose mempunyai beratus unit glukosa sama seperti kanji, tetapi ia diikat dengan ikatan glikosidik beta. Sistem pencernaan manusia tidak boleh mencerna selulose.

c) Oligosakarida: Terdiri dari 3-10 unit monosakarida. ia banyak di dalam sayur-sayuran dan buah-buahan. Lebih-lebih lagi buah-buahan tropika contohnya cempedak, nangka dan sukun. Buah nangka misalannya, mengandungi oligosakarida dari jenis raffinose, stachyose dan verbascose. Apabila ia diikat dengan ikatan alfa-galatosil, sistem pencernaan manusia tidak boleh mencerna oligosakarida.

Adakah saya perlu mengelakkan sayur-sayuran dan buah-buahan?

Goreng dulu sebelum makan.

Sebenarnya badan kita memerlukan serat larut air dan serat tidak larut air untuk kesihatan usus, selain dari nutrisi lain yang dibekalkan buah-buahan dan sayur-sayuran. Badan kita memerlukan serat dan karbohidrat pada kuantiti optimum. Apabila pengambilan berlebihan, pengambilan air juga harus tinggi.

Bayangkan selepas melahirkan, usus anda sedikit ‘relaks’ disebabkan oleh perubahan hormon yang mendadak. Anda pula tidak mengambil makanan tinggi serat. Akibatnya sembelit yang lebih menyakitkan dari melahirkan itu sendiri. Jadi amalan pantang 44 hari, 100 hari dan setahun sebenarnya adalah tidak berasas. Ini kerana makanan yang kita tidak toleran sebenarnya berbeza ikut individu. Kita tidak boleh pukul rata semua orang wajib berpantang makanan yang sama.

Penafian: Ini adalah tulisan umum tentang kimia tumbuhan dan kimia makanan. Tidak terpakai kepada pesakit yang perlu elakkan sesetengah buah tropika sebab diet khas seperti pesakit jantung, pesakit buah pinggang, dan lain-lain. Ikut nasihat doktor anda.

Sumber: Twitter @Che Puteh Osman,PHD

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×