Bersalin

Bukan Kotoran Atau Air Mani! Ini Sebenarnya Fungsi Vernix Caseosa, Lapisan Putih Di Kulit Bayi Baru Lahir

30
SHARES

“Kenapa bayi baru lahir ada selaput putih ni? Ada kaitan drngan apa yang kita makan masa mengandung ke? Apa sebenarnya lapisan-lapisan putih ni?”

Selain diselaputi darah ketika proses bersalin, perasan tak ada lapisan putih seakan krim atau keju pada kulit bayi baru lahir?

Inilah lapisan yang digelar vernix caseosa.

Apakah Vernix Caseosa?

Vernix Caseosa atau lapisan putih di kulit bayi ini sebenarnya sesuatu yang normal dan memiliki fungsinya yang tersendiri.

Ianya terdiri daripada penyatuan minyak yang dikeluarkan kelenjar minyak di kulit janin dengan sisa-sisa sel kulit janin.

Menurut pemerhatian, lapisan vernix caseosa ini berkembang pada kulit bayi sejak dalam kandungan, iaitu ketika usia kehamilan kira-kira 20 minggu.

Menjelang tarikh kelahiran, lazimnya lapisan ini akan semakin berkurang.

Tapi bukanlah sesuatu yang menghairankan jika sisanya masih terlihat ketika bayi baru dilahirkan.

4 Fungsi Vernix Caseosa Bagi Bayi Baru Lahir

Berikut adalah fungsi lapisan vernix caseosa pada bayi baru lahir.

1. Melindungi Daripada Jangkitan

Oleh kerana sistem pertahanan badan bayi baru lahir amat sensitif dan masih belum matang, mereka sangat mudah terkena penyakit.

Selain melalui penyusuan badan, kehadiran lapisan vernix caseosa ini dapat membantu melindungi bayi baru lahir daripada jangkitan.

Ini kerana ia mengandungi antioksidan serta ciri khas yang mengelakkan jangkitan dan keradangan.

Foto Kredit: whattoexpect.com

2. Memudahkan Laluan Kelahiran

Di samping mengelakkan jangkitan, lapisan vernix caseosa ini juga bertindak sebagai pelincir yang mengurangkan geseran sekaligus memudahkan laluan bayi semasa proses kelahiran.

3. Membantu Mengawal Suhu Badan Bayi

Semasa dalam rahim, tubuh ibu memainkan peranan penting dalam menetapkan suhu badan janin.

Namun setelah lahir, bayi perlu mengambil masa untuk menyesuaikan suhu tubuh sendiri tanpa bantuan dari ibu.

Oleh itu, lapisan ini juga bertindak membantu menstabilkan suhu tubuhnya agar lebih selesa dengan keadaan sekeliling.

Keguguran kandungan

Foto Kredit: Screengrab dari YouTube

4. Melembapkan Kulit Bayi

Seperti yang kita sedia maklum, kulit bayi baru lahir amat sensitif dan halus.

Dengan adanya lapisan istimewa ini, ia dapat berperanan sebagai pelembap yang melindungi kulit bayi dan mengelakkannya daripada menjadi kering.

Yang Jelas, Ia Bukan Kotoran Atau Air Mani

Memang tidak semua bayi baru lahir disaluti dengan kulit sebegini. Ada yang hanya mempunyai palitan vernix caseosa di wajah, punggung, atau lengan saja.

Jika anda melahirkan bayi yang overdue, kemungkinan besar vernix caseosa tidak begitu ketara kerana kebanyakannya  telah diserap oleh cecair amnion (air ketuban).

Apapun jangan salah anggap, sebabnya masih ada yang percaya bahawa lapisan pada kulit bayi ini adalah air mani. Bahkan, ada yang menghalang hubungan kelamin ketika hamil disebabkan mempercayai hal ini sedangkan ia tiada kaitan sama sekali.

Jadi dah tahu faktanya, janganlah menganggap lapisan vernix caseosa ini sebagai sesuatu yang ‘kotor’ ya. Yang jelasnya ia mempunyai fungsi tersendiri dan manfaat yang besar kepada bayi!

 

*Sumber: Parents.com, HealthLine.com

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×