Bintang cilik yang pernah mencuri perhatian dunia menerusi video Baby Shark Dance kini kembali dengan langkah baharu dalam industri muzik.
Park Geonroung, yang muncul dalam video tersebut ketika berusia tujuh tahun, secara rasmi memulakan kerjaya solonya sebagai penyanyi K-pop pada Khamis lalu.
BUDAK BABY SHARK DANCE KINI PENYANYI K-POP

Menggunakan nama pentas Baby Shark Boy, Geonroung tampil dengan single digital pertamanya berjudul WAVE. Lagu tersebut diterbitkan dengan sokongan Pinkfong Company, pemilik hak cipta francais Baby Shark.
Menariknya, WAVE turut membawa sedikit elemen nostalgia apabila melodi ikonik Baby Shark digunakan pada bahagian pembukaan sebelum lagu beralih kepada bunyi electropop yang lebih moden. Geonroung juga terlibat dalam penulisan lirik untuk lagu berkenaan.
Dalam satu kenyataan, Geonroung mengakui masih terharu kerana ramai yang mengingatinya menerusi video yang melonjakkan namanya ketika kecil. Baginya, populariti Baby Shark menjadi antara sebab dia mahu kembali berhubung dengan peminat melalui muzik.
Video Baby Shark Dance yang diperkenalkan pada 2016 itu mencatat sejarah sebagai video paling banyak ditonton di YouTube. Sehingga kini, video berkenaan telah meraih lebih 17.2 bilion tontonan.
Fenomena tersebut bukan sahaja popular dalam kalangan kanak-kanak, malah turut mencetuskan pelbagai parodi dan trend tarian di seluruh dunia.
Lagu berkenaan juga pernah dimainkan di Rumah Putih dan mendapat perhatian beberapa nama terkenal termasuk Donald Trump dan Elon Musk.

Selepas populariti Baby Shark, Geonroung terus bekerjasama dengan Pinkfong menerusi beberapa rancangan lain. Kini, selepas kira-kira sedekad, dia mahu membuka lembaran baharu dalam bidang muzik.
Menurutnya, WAVE bukan sekadar projek sekali lalu, sebaliknya menjadi permulaan kepada perjalanan muzik yang lebih panjang. Dia berharap dapat memperlihatkan sisi dirinya yang berbeza melalui muzik serta pelbagai kandungan lain pada masa akan datang.
Comelnya!
Baca juga: Sukar Kencing, Rupanya Ada ‘Batu’ 3.1kg Dalam Pundi Kencing Lelaki Ini! Sama Berat Bayi Baru Lahir
Sumber: The Star
