Bagi sesetengah ibu bapa yang memandang ringan terhadap kualiti dan jenama barangan penjagaan bayi dan kanak-kanak, mereka kini sepatutnya lebih prihatin pada perubahan struktur kulit dan kesihatan bayi terutama apabila membeli produk mandian dan penjagaan bayi & kanak-kanak.
Pemilihan sabun mandian dan losyen untuk kanak-kanak tidak boleh diambil ringan oleh ibu bapa kerana struktur kulit bayi dan kanak-kanak yang lembut memerlukan penjagaan yang rapi dan penggunaan produk perlulah bersesuaian dengan kulit mereka.
Ini kerana tidak semestinya apa yang dirasakan baik untuk orang dewasa juga baik untuk si kecil anda. Memilih produk yang sesuai untuk anak perlu bijak kerana setiap produk di pasaran mengandungi bahan-bahan yang berlainan.
Menggunakan produk kesihatan yang tidak bersesuaian dengan kulit bayi akan menimbulkan pelbagai masalah kesihatan seperti kegatalan pada bahagian kulit, keradangan dan ruam-ruam pada badan serta adakalanya lebih teruk
Pengalaman anak mengalami kesan terhadap produk mandian telah dialami oleh Puan Balqis Fasihah. Beliau berkongsi kisahnya di Facebook selepas terdapat kesan lendir coklat dan darah didalam pampers yang dipakai oleh anak perempuan beliau. Selepas berjumpa doktor, doktor mengesahkan ia adalah kesan daripada produk mandian yang digunakan di rumah.

Foto Kredit : Facebook Balqis Fasihah
Menurut Pakar Paediatrik Dermatologi, Hospital Kuala Lumpur, kulit bayi dan kanak-kanak mempunyai sel yang sangat kecil berbanding dengan sel kulit orang dewasa. Kulit mereka juga lebih nipis sebanyak 30 peratus berbanding kulit orang dewasa.
Tips Memilih Sabun Mandian dan Pencuci Untuk Bayi dan kanak-kanak
Jangan mudah terpengaruh dengan harga murah atau tertarik dengan bungkusan botol mandian yang comel dan menarik. Namun telitilah dahulu kandungan pembuatannya agar ia sesuai digunakan oleh anak anda.
Cara terbaik adalah memilih produk yang menyediakan pelbagai ramuan semula jadi atau bahan yang selamat untuk menghasilkan produk mandian dan penjagaan diri.
1. Elak membeli produk mengandungi SLS

Foto Kredit : www.theglazebrigade.com
Pastikan ia selamat digunakan dan mesra alam serta bebas daripada bahan kimia yang sering digunakan untuk produk mandian, misalnya sodium lauryl sulpoacetate (SLS) dan paraben.
SLS merupakan bahan kimia sintetik yang terdapat dalam syampu, sabun dan pencuci lain untuk menghasilkan buih. ia banyak digunakan dalam industri kerana ia murah dan produk dapat dijual dalam harga yang murah.
Produk yang mengandungi SLS memberi kesan seperti pengakit kanser.
2. Sabun pencuci pakaian
Bahan kimia yang digunakan dalam sabun pencuci dan pelembut pakaian yang biasanya berbau wangi mengandungi acetaldehydes yang tinggi.
Bau wangi tersebut memberi kesan seperti melemahkan sistem imun dan menyebabkan anak mudah terkena selesema, demam dan diserang penyakit termasuklah gangguan pernafasan seperti asma dan alahan.
3. Pencuci tangan

Foto Kredit : mypediaclinic.com
Namun hakikatnya segelintir pencuci tangan mengandungi bahan bahaya yang tersembunyi dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan diri.
Triclosan adalah bahan yang selalu terkandung dalam produk ini dan ia dapat mencegah pertumbuhan bakteria, namun terdapat penelitian mendapati ia memberi risiko kepada pertumbuhan sel-sel otak dan gangguan hormon.
4. Pencuci botol susu si manja
Tahukah anda kebanyakan bahan pencuci malahan pencuci yang dikhaskan untuk mencuci botol susu bayi turut mengandungi bahan kimia seperti paraben.
Ia akan meresap ke dalam botol susu dan seterusnya masuk ke dalam badan anak semasa menghisap susu. Kesan buruk bahan kimia ini akan menjejaskan kesihatan anak untuk jangka masa panjang.
Sebagai ibu bapa, anda perlu bersikap cerewet dan berhati-hati dalam memilih produk penjagaan buat anak demi mengelakkan si kecil daripada terkena risiko penyakit berbahaya dan alahan. Semoga kisah ini dan tips ini membantu dalam memilih produk mandian anak anda selepas ini.