Pra-Hamil

9 Perkara Penting Tentang Suntikan Perancang Yang Suami Pun Kena Ambil Tahu

2.8K
SHARES

“Kenapa ramai cakap suntikan perancang boleh buat kita gemuk?”

“Betul ke kesan suntikan perancang ni akan buat tulang kita rapuh?”

Memang ini antara persoalan yang akan berlegar di kepala bila nurse atau doktor cadangkan kita untuk ambil suntikan perancang kehamilan. Ramai yang khuatir dan salah sangka terhadap maklumat yang kurang tepat dan sering berlegar di media sosial.

Sebenarnya baik isteri mahupun suami kena ambil tahu perihal merancang kehamilan supaya kita masing-masing dapat memainkan peranan dan saling memberi sokongan. Bukan senang isteri nak ‘tanggung’ semuanya sorang-sorang tau!

Dalam artikel ini, kami kongsikan beberapa perkara yang perlu kita faham tentang suntikan perancang serta kesannya.

Foto Kredit: WebMD

9 Perkara Wanita Kena Faham Tentang Suntikan Perancang aka Depo Provera

1. Apakah Suntikan Perancang?

Suntikan Depo Medroxyprogesterone Acetate (DMPA, Depo-Provera) , atau nama ringkasnya suntikan perancang merupakan salah satu kaedah merancang atau menjarakkan kehamilan di Malaysia.

Melalui suntikan ini, hormon progestogen berdos tinggi akan diberikan secara suntikan ke dalam otot di bahagian punggung atau lengan.

Berbanding pil perancang yang perlu dimakan setiap hari, suntikan perancang ini akan berkesan mencegah kehamilan selama 3 bulan lamanya.

2. Bagaimana Suntikan Ini Berfungsi Mencegah Kehamilan

Kaedah mencegah kehamilan dengan suntikan perancang ini berkesan untuk mengelakkan kehamilan dengan 3 cara iaitu:

i) menghentikan ovulasi atau pengeluaran telur dari ovari buat sementara waktu.

ii) memekatkan lendir yang dikeluarkan daripada serviks (pangkal rahim), dan ini mengurangkan kebolehan sperma lelaki masuk ke dalam.

iii) menipiskan dinding rahim endometrium supaya tidak menampung kehamilan buat sementara waktu.

Foto Kredit: sciencedirect.com

3. Tahap Keberkesanan Suntikan Perancang

Keberkesanan suntikan perancang adalah 98%.

Menurut Dr Imelda Balchin, jika 100 pasang suami isteri membuat hubungan kelamin selama 1 tahun, tanpa menggunakan apa-apa kaedah merancang keluarga, 85 akan hamil.

Manakala jika 100 isteri mengambil suntikan DMPA, dalam masa 1 tahun, hanya 6 akan hamil.

Sekiranya isteri hamil ketika mengambil suntikan perancang, ia tidak menjejaskan kesihatan janin dan kehamilan diteruskan seperti kehamilan biasa.

4. Kelebihan Suntikan Perancang

Berbanding kaedah mencegah kehamilan lain seperti pil perancang,  IUCD, dan implanon, kaedah suntikan perancang ini juga mempunyai kelebihan tersendiri.

Antaranya:

i) Berkesan & Tahan Lama

Ramai yang suka kaedah ini kerana tak perlu ingatkan diri untuk memakan pil perancang setiap hari.

Ia perlu diambil setiap 3 bulan sekali jika anda ingin terus menggunakan kaedah ini untuk menjarakkan kehamilan.

Nota:

Kaedah IUCD bertahan selama manakala kaedah implanon bertahan selama.

ii) Mengurangkan Masalah Endometriosis

Ia mengurangkan masalah endometriosis yang menyebabkan ramai wanita mendapat kesakitan atau senggugut semasa datangnya haid.

iii) Sesuai Untuk Wanita Menyusu

Kaedah ini selamat untuk ibu menyusu dan tidak menjejaskan penghasilan susu badan.

Foto Kredit: arrahman.id

5. Masa Yang Sesuai Mengambil Suntikan Perancang

Secara amnya, suntikan diambil pada hari yang ke-4 selepas haid bermula.

Bagi ibu yang menyusu bayi selepas bersalin, suntikan sebaiknya diberi pada atau sebelum 6 minggu.

Bagi ibu yang tidak menyusu bayi selepas bersalin, suntikan boleh diberi bila-bila masa selepas hari ke 5, tetapi sebaiknya sebelum 21 hari. Sekiranya suntikan diberi selepas 3 minggu, ibu tersebut seharusnya menggunakan kaedah perancang keluarga tambahan untuk jangkamasa 2 hingga 3 minggu.

6. Bagaimana Nak Hamil Semula Selepas Mengambil Suntikan Perancang

Setelah berhenti menggunakan kaedah ini dan bercadang untuk hamil semula, kesuburan akan kembali 13 minggu selepas suntikan terakhir.

Menurut doktor, ada wanita yang lewat kembali kesuburannya, mungkin mengambil masa 6 bulan atau setahun. Haid akan kembali seperti biasa atau mungkin lewat kembali, tetapi tidak ada yang mandul disebabkan kesan suntikan perancang ini.

Oleh itu, kaedah ini adalah sesuai bagi mereka yang tidak ingin hamil cepat-cepat dan hendak menjarakkan anak.

Jika tidak ada masalah, setiap 3 bulan suntikan ini boleh diberikan oleh jururawat.

7. Kesan Sampingan Suntikan Perancang

Ramai yang risau dengan kesan sampingan suntikan perancang.

Kesan suntikan perancang ini sebenarnya berbeza pada setiap orang. Ada yang mengalaminya dan ada yang tak rasa kesan apa-apa.

Namun kebiasaannya, kesan sampingan ini adalah sementara sahaja dan berlaku di awal pengambilan suntikan.

Secara umumnya ia mungkin boleh memberi kesan berikut:

  • Pendarahan yang berterusan selepas berhenti mengambil suntikan tersebut
  • Kitaran haid akan berubah dan ini akan membimbangkan wanita tersebut
  • Haid mungkin akan mengambil masa dalam setahun untuk kembali kepada kitaran yang biasa
  • Berat badan bertambah
  • Kemungkinan kebolehan menghasilkan ovum yang sihat akan mengambil masa lebih kurang setahun
  • Keguguran rambut, kekurangan nafsu seks, sakit kepala, gangguan mood
  • Mengurangkan kepadatan tulang dan kesannya hilang hanya selepas 12-14 minggu selepas tarikh akhir suntikan

Foto Kredit: medicalnewstoday.com

8. Harga Suntikan Perancang

Kos suntikan depo adalah sekitar RM 35 hingga RM 40 di klinik swasta. Di klinik LPPKN, harganya sekitar RM18 – RM36, bergantung kepada jenis yang diambil.

Di klinik kerajaan, biasanya ia diberikan secara percuma.

9. Siapa Yang Tak Sesuai Memilih Kaedah Perancang Ini

Suntikan perancang bukanlah kaedah perancang kehamilan yang sesuai bagi anda sekiranya anda mengalami kondisi berikut:

  • Wanita hamil
  • Pesakit jantung atau strok, darah tinggi dan individu yang mempunyai risiko penyakit kardiovaskular (seperti perokok atau pesakit diabetes)
  • Pesakit diabetes yang kronik melebihi 20 tahun atau mengalami komplikasi
  • Pesakit kanser payudara, kanser uterus dan kanser serviks
  • Pernah mengalami pembekuan darah pada salur darah di kaki (Deep Vein Thrombosis)
  • Pernah menghidap penyakit jaundis (kawasan putih mata atau kulit menjadi kuning) semasa mengandung atau semasa menggunakan pil pencegah kehamilan
  • Penghidap penyakit hati (liver cirrhosis), jangkitan (hepatitis) atau ketumbuhan hati (tumour)

Perancang Keluarga Bersifat Sementara

Menurut Dr Imelda, tidak ada had jangkamasa panjang dan boleh digunakan tanpa halangan selagi tidak ada masalah kesihatan tersebut. Tulang tidak akan menjadi ‘reput’ atau ‘rapuh’ – itu adalah istilah yang salah yang menakutkan masyarakat.

Bila semua maklumat ini diberi dan dipertimbangkan, terpulang lah kepada suami isteri sama ada memilih kaedah ini ataupun kaedah yang lain.

Berikut adalah lampiran maklumat tambahan daripada LPPKN berkaitan suntikan perancang.

kesan suntikan perancang

kesan suntikan perancang

Yang penting, berbincanglah dengan pasangan agar anda boleh membuat pilihan apakah kaedah merancang keluarga yang paling sesuai untuk anda. Jangan ‘beratkan’ hal ini kepada isteri saja ya!

 

*Sumber Rujukan: Doctor On Call, Dr Imelda BalchinMyHealth dan Unit BPKK, KKM

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×