Famili

Asyik Isteri Yang Kena ‘Merancang’, Keputusan Giring Nidji Jalani Vasektomi Buat Wanita Terharu

1.9K
SHARES

Kita biasa dengar pelbagai cara merancang kehamilan yang dilakukan oleh wanita seperti pil perancang, kaedah IUD, pemasangan implan mahupun suntikan. Namun di Malaysia jarang kita dengar inisiatif si suami dalam hal family planning ni kan?

Sebenarnya memang ada cara untuk lelaki mencegah kehamilan dan antara yang paling berkesan adalah vasektomi. Kaedah ini juga menjadi pilihan Giring, iaitu vokalis daripada band Indonesia terkenal, Nidji. Setelah pasangan tersebut dianugerahkan dengan 4 orang cahaya mata, Giring telahpun membuat perancangan untuk menjalani vasektomi selepas Hari Raya nanti.

Menurut Giring lagi, perjuangan isterinya sudah cukup luar biasa dan beliau amat bersyukur kerana telah dikurniakan 4 orang anak. Walaupun keputusan tersebut diakui cukup berat, namun beliau tak mahu menjadi suami yang egois. Bahkan, beliau turut menambah bahawa ianya hanya pengorbanan kecil berbanding pengorbanan yang telah dilakukan oleh isterinya yang bertarung nyawa melahirkan anak-anak mereka selama ini.

Bukannya menidakkan rezeki, Giring juga berharap tindakannya ini tidak disalah anggap. Sebaliknya, beliau berharap usaha tersebut dapat membantunya dalam memberi komitmen dan kasih sayang secukupnya kepada 4 orang anak mereka.

Tindakan Giring ini tentunya membuat ramai wanita kagum, tetapi tidak kurang juga yang mempersoalkan hukumnya dari segi Islam.

Apakah Vasektomi

Bagi yang kurang faham, vasektomi adalah sebuah pembedahan kecil yang dijalani oleh lelaki bagi mencegah kehamilan. Ia melibatkan proses ‘mengikat’ saluran sperma pada alat kelamin lelaki yang bertujuan menghalang persenyawaan.

Bagi sesetengah pasangan, vasektomi dianggap sebagai cara yang jauh lebih mudah untuk mencegah kehamilan kerana isteri tidak perlu menggunakan alat kontrasepsi berulang kali, lebih-lebih lagi sekiranya si isteri berisiko tinggi untuk hamil lagi. Namun di Malaysia ianya mungkin dilihat sebagai sesuatu yang negatif dan ramai lelaki kurang berminat melakukannya kerana ia merupakan proses pemandulan yang bersifat kekal.

Foto Kredit: Urology Care Foundation

Hukum Vasektomi Dalam Islam Di Malaysia

Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pasangan beragama Islam dibolehkan menggunakan kaedah yang diharuskan oleh syarak bagi tujuan menjarakkan anak. Sebagai tambahan, ia perlu disertakan dengan niat bahawa jika Allah berkehendakkan pasangan itu anak, maka tiada siapa yang boleh menghalangnya dan redha kepada takdir serta bertanggungjawab ke atasnya.

Manakala kaedah yang lebih melibatkan campur tangan perubatan yang kekal seperti pemandulan kekal dianggap haram kerana melibatkan pengubahan ciptaan Allah dan tindakan yang menafikan Allah sebagai Pemberi Rezeki bagi ibu bapa dan anak-anak. Walaubagaimanapun, ada pengecualian bagi kes yang melibatkan masalah kesihatan yang mengancam nyawa seseorang wanita seperti risiko besar kematian atau menyebabkan masalah kesihatan yang kritikal bagi ibu akibat mengandung dan bersalin.

Selain vasektomi, antara kaedah perancang bagi lelaki termasuklah penggunaan kondom atau kaedah azal (ejakulasi luar rahim). Kedua-dua teknik ini bersifat sementara – seperti juga kaedah pil perancang, implan, suntikan dan IUD bagi si isteri, dan ianya dikategorikan sebagai harus dengan syarat-syarat berikut:

  • Iktikad bahawa jika Allah ingin mengurniakan anak juga, tiada siapa yang boleh menghalang dan wajiblah pasangan memelihara kandungan dan menjaga maslahatnya.
  • Tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya isteri.
  • Dilakukan dengan kebenaran dan persetujuan kedua-dua suami isteri.

Rujuk Pada Yang Pakar

Bergantung kepada alasan dan keadaan kesihatan anda, keputusan vasektomi perlu mengambil kira pelbagai faktor dan seeloknya dibincangkan dengan mengambil kira pendapat daripada pakar dalam bab kesihatan mahupun agama.

Bagi konsultasi dan khidmat perancang keluarga secara profesional di Malaysia, anda boleh membuat temujanji di semua Klinik Kesihatan Kerajaan, Klinik Lembaga Pembangunan dan Kependudukan Negara (LPPKN) dan Klinik Pertubuhan Perancang Keluarga.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×