KESAN MINUM AIS KEPADA KESIHATAN BERDASARKAN KAJIAN SAINS
Minum air yang mencukupi adalah sangat penting untuk kesihatan menyeluruh.
Air yang mencukupi juga penting untuk menjamin kesihatan sistem pencernaan, otot dan kulit. Namun , sejak dahulu lagi kita sering keliru bila hendak minum minuman ais.
Orang kata minum ais tak baik untuk kesihatan lebih-lebih lagi buat ibu mengandung dan dipercayai boleh menyebabkan perut buncit.
Sejauh manakah kesan minum ais terhadap tubuh badan?
Mari kita selami fakta sebenar tentang minum ais yang anda perlu tahu!
Kredit Foto : steemit.com
KESAN MINUM AIS BERDASARKAN KAJIAN SAINS
1. Baik Untuk Mengembalikan Hidrasi Badan
Berdasarkan kajian dari International Journal of Clinical and Experimental Medicine, minuman dengan suhu sejuk didapati paling berkesan dalam mengembalikan kandungan air yang hilang dalam badan akibat cuaca panas dan bersenam.
Kajian ini turut merumuskan suhu air terbaik bagi hidrat semula badan ialah pada 16°C .
2. Sangat Sesuai Diminum Ketika Bersenam
Memetik dari WebMD, ais kosong dapat mencegah suhu badan untuk meningkat ketika bersenam lebih-lebih lagi dalam cuaca yang panas atau ketika melakukan senaman berat seperti berlari atau berbasikal.
Orang yang minum ais juga didapati dapat kekal cergas dengan lebih lama.
Air yang mencukupi ketika bersenam juga penting bagi membantu jantung berdegup lebih perlahan dan sekaligus dapat meningkatkan prestasi senaman.
Membongkar Mitos Tentang Keburukan Minum Ais
Kesan minum ais selalu mendapat reputasi yang buruk kerana ia sering dikaitkan dengan pelbagai mitos tentang efeknya pada kesihatan.
Mari kita semak mitos tentang kesan minum ais pada kesihatan dan fakta sebenar di sebaliknya.
Kredit Foto : thejakartapost.com
1. Minuman Ais Tidak Menyebabkan Perut Buncit
Mitos yang mengatakan ais boleh menyebabkan perut buncit atau lemak bergumpal dalam badan masih berlegar sehingga ke hari ini.
Kenyataan ini tidak bersandar pada bukti saintifik yang kukuh.
Menurut HelloDoktor, apabila kita minum air sejuk mahupun panas, suhu air akan melalui saluran pencernaan dan suhunya akan berubah mengikut suhu badan iaitu 37 °C.
Sebenarnya punca perut buncit ialah daripada pemakanan yang tidak seimbang dan gaya hidup yang kurang aktif.
Minuman bergula dan berkarbonat yang berkalori tinggi juga boleh menjadi punca seseorang itu mempunyai perut yang buncit.
2. Minum Ais Tidak Memberi Kesan Kepada Peranakan Wanita Selepas Berkahwin
Kita juga biasa mendengar pantang-larang wanita bersalin tentang amalan minum ais.
Katanya ia boleh menyebabkan rahim wanita kembang. Sebenarnya, ibu berpantang juga boleh minum ais. Rahim hanya akan kembang jika wanita tersebebut mengandung dan tiada kena mengena dengan amalan meminum ais.
Ada juga pantang-larang lain yang mengatakan jika perempuan kerap minum ais, ia boleh menyebabkan faraj longgar.
Dakwaan ini juga salah kerana amalan meminum air sejuk tidak akan memberi kesan kepada keadaan faraj.
Bagi mengekalkan kesihatan peranakan, pakar perubatan mengesyorkan kaum wanita untuk mengamalkan senaman Kegel.
3. Minuman Ais Tidak Menyebabkan Darah Haid Berketul
Selain menyebabkan peranakan tidak sihat, kita juga sering dengar reputasi buruk air sejuk yang katanya boleh menyebabkan darah haid berketul-ketul.
Menurut HelloDoktor, punca darah haid berketul-ketul bukanlah disebabkan oleh minuman ais, tetapi ia berlaku disebabkan komponen dalam darah haid sendiri yang menyebabkan darah beku.
Kredit Foto : dailymail.co.uk
4. Minuman Ais Tidak Menyebabkan Seseorang Cepat Tua
Mitos tentang meminum ais juga sering dikaitkan dengan kesihatan luaran. Katanya, orang yang suka minum ais boleh menyebabkan cepat tua.
Sebenarnya, tahap kesihatan seseorang bukanlah terletak kepada amalan minuman ais, tetapi oleh faktor lain yang lebih penting seperti amalan pemakanan yang berkhasiat, tidak merokok, serta mental dan fizikal yang sihat.
Sehingga ke hari ini, tiada bukti saintifik yang mengesahkan kesan buruk minum ais kepada kesihatan.
Amalan minum ais juga mempunyai kelebihannya tersendiri kepada badan seperti mengekalkan kecergasan fizikal lebih lama ketika bersenam.
Minum ais kosong juga sangat sesuai bagi mengembalikan kesegaran tubuh yang kekurangan air.
Anda boleh minum air mengikut suhu yang anda sukai dan bersesuaian dengan cuaca.
Yang penting, anda haruslah mengamalkan minum air kosong sebanyak 8 gelas sehari bagi memastikan tubuh kekal hidrat.
Elakkan juga air bergula dan berkarbonat seperti teh tarik, air boba, dan ice blended yang tinggi kalori untuk mengelakkan masalah berat badan.
Sumber rujukan:
- 6 MITOS Popular Di Sebalik Minum Ais, Ini Penjelasan Pakar, Paling Lucu No. 2 : https://hellodoktor.com/pemakanan/tips-lain/minum-ais-mitos/
- Is drinking cold water bad for a person? : https://www.medicalnewstoday.com/articles/325038#risks