Famili

7 Keluhan Orang Berkahwin Yang Ada Anak, Sebab Harga Minyak Naik!

59
reads
Kenaikan Harga Minyak & 4 Kesan Pada Orang Yang Sudah Berkahwin!

Kesan Kenaikan Harga Minyak

Tidak sangka yang artikel dari penulis kami bertajuk kesan harga minyak naik pada orang bujang mendapat sambutan hangat. Maklumbalas yang kami terima, ini bukan kesan pada orang bujang sahaja. Orang yang sudah berkahwin dan ada anak samada kecil atau besar, sudah tentu lebih terasa! Lebih-lebih lagi yang tinggal di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Berbekalkan gaji kecil atau ‘ciput’, hampir tiada simpanan setiap bulan.

Kami bukan pakar ekonomi dari London School of Economics yang boleh mendabik dada berbicara tentang impak ekonomi pada masyarakat Malaysia. Namun, izinkan kami meluahkan apa yang terbuku dalam hati ini.

Ini antara kesan kenaikan harga minyak pada orang sudah berkeluarga. Baca keluhan mereka ini.

lampin-pakai-buang-anak

Foto Kredit: thegreenists.com

1. Lampin Pakai Buang

Orang yang pakai ‘cloth diaper’ boleh tersenyum. Bagi yang gunakan lampin seperti zaman ibu-bapa kita dulu juga boleh tersenyum simpul.

Namun perenggan di atas hanya untuk suri-rumah tangga sepenuh masa. Bagaimana dengan yang hantar anak ke rumah pengasuh dan juga ‘nursery’? Mati-mati penjaga anak kita tidak akan berkompromi dan bersusah-payah menukar lampin kain. Mereka mahukan lampin pakai buang! Sudah pakai, boleh terus buang. Tidak perlu basuh. Jimat masa, jimat tenaga!

Perbelanjaan untuk lampin pakai buang sahaja mencecah ratusan ringgit untuk seorang anak. Bagaimana jika ada 2-3 anak kecil yang masih tidak pandai ke tandas?

Dijangkakan harga lampin pakai buang akan naik!

susu-formula-bayi-anak-kecil

Foto Kredit: merdeka.com

2. Susu Formula

Bagi anak-anak yang tidak menyusu badan atau ‘breastfeeding’, sudah tentu susu formula perlu diberikan. Hanya orang yang ada anak faham dan boleh geleng kepala dengan harga susu yang sangat mahal. Entah apa ‘formula’ yang syarikat ini jual, kami pun tidak tahu. Macam-macam terma seperti DHA, Prebiotik dan puluhan lagi bahasa saintifik yang dikatakan dapat menjadikan anak lebih pintar diwar-warkan. Entah betul, entah tidak. Sebagai ibu-bapa, tentu sekali yang lebih penting pada mereka ialah susu formula penting untuk tumbesaran anak dan tidak mahu anak kelaparan!

Dijangkakan harga susu formula akan naik!

3. BRIM 2015

Kami ada menulis artikel tentang BRIM 2014 yang memberitahu tentang borang BRIM,  bagaimana melakukan semakan dan kemaskini BRIM 2015. Pada malam minyak diumumkan naik 20sen, tiba-tiba sahaja artikel ini menjadi popular. Ramai yang mula mencari bantuan dan alternatif untuk menyara keluarga. Terus-terang, ini bukan sesuatu yang positif.

Dijangkakan pemberian BRIM 2015 akan turun! Atau wajarkah kami menyatakan firasat kami yang BRIM 2015 bakal dimansuhkan?

Foto Kredit: guystuffcounseling.com

Foto Kredit: guystuffcounseling.com

 

4. Tadika, taska dan pusat jagaan kanak-kanak

Hantar rumah penjaga? Hantar taska? Hantar ‘nursery’? Sedih rasanya bila tinggalkan anak di rumah orang lain, sementelahan ibu-bapanya mencari rezeki. Zaman kita kecil dahulu, kebanyakan ibu tidak bekerja. Seratus-peratus jaga anak di rumah.

Tekanan dan desakan ekonomi sekarang mendesak ibu yang baru melahirkan anak kembalik ke tempat kerja setelah 90 hari. Ya, 90 hari itu yang maksimum dan bukan semua orang ada kelebihan itu. Kalau hantar rumah orang, bukan boleh lagi runding harga dengan penjaga.

Dijangkakan taska dan tadika akan naik harga!

5. Dilema balik kampung

Mak ayah selalu menunggu anaknya balik ke kampung. Dia bukan mahukan duit kita. Dia mahu tengok cucu. Dia mahu tatap muka anaknya yang sudah berjaya, yang kini bekerja di bandar besar. Motif kewangan dan belanja bulan-bulan itu tolak tepi.

Namun, sebagai anak, kita rasa lain macam. Takkan balik kampung tidak beri apa-apa? Paling tidak RM100 dihulurkan pada mak ayah sebelum pulang semula.

Balik kampung juga perlukan kenderaan. Kenderaan perlukan minyak. Tidak boleh tuang air paip sahaja dalam tangki minyak kereta.

Dijangkakan ramai mak-ayah akan terasa hati sebab anak sudah kurang lawat mereka!

6. Tangguh percutian keluarga

Cuti sekolah adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak. Tidak bagi ibu-bapa. Soalan cepuemas anak-anak ialah, “Ayah, cuti sekolah ni kita nak jalan-jalan pergi mana?”. Isteri pula akan tambah, “Ya la bang, asyik duduk rumah je. Jom la kita jalan-jalan luar negara pulak”.

Itu soalan membunuh! Suami yang sudah biasa bawa anak melancong, sudah pasti akan gelisah jika ditanya oleh anak. Jalan-jalan perlukan petrol. Jalan-jalan juga perlukan hotel. Paling tidak ‘homestay’.

7. Darah

Dengan lampin pakai buang dan susu formula yang mengecilkan poket ibu-bapa setiap bulan, ramai yang ikat perut dari. Ada yang tangguhkan percutian dengan anak-anak. Ada yang tangguhkan pembelian kereta lebih besar kerana anak-anak makin ramai. Ada anak yang tidak tukar beg sekolah, pakai yang tahun lepas punya. Ada yang guna ‘stroller’ yang sudah uzur.

Ada isteri yang sedih, suami tidak ajak makan luar kerana tiada bajet.

Ada suami yang sudah 2-3 tahun tidak tukar baju raya, kerana dahulukan anak dan isteri. Tiba Hari Raya Korban 2014 ini, sudah tentu suami ini akan berkain pelekat sahaja ke masjid!

Dijangkakan ramai suami, isteri dan ibu-bapa akan naik darah!

Apa-apapun, kita perlu redha atas kenaikan ini. Kerajaan Malaysia tentu ada alasan mereka yang tersendiri. Walaupun kita mempunyai buah fikiran kita sendiri, kita bukan pakar ekonomi yang mempunyai kelayakan!

Sedang elok ingin menyambut Hari Raya Korban 2014, rakyat pula yang terkorban!

*Nota: Penulis tidak terlibat dengan mana-mana parti politik dan tulisan adalah atas ‘observation’ dan pendapat peribadi.

 

Yang Popular

To Top