Famili

Kerajaan Terus Gesa Pelajar Ceburi Bidang TVET. Jom Ambil Tahu Apa Itu TVET!

6.1K
SHARES

Sejak tercetusnya Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) pada pertengahan 2016 dengan membabitkan teknologi automasi, cabaran baru mula menembusi sektor perkhidmatan dan perindustrian negara. Perkara ini secara tidak langsung menuntut perubahan semua bidang untuk bertransformasi, supaya dapat terus kekal berdaya saing.

Menyedari perubahan ini bakal merubah landskap bidang pekerjaan di masa hadapan, kerajaan telah mula menggesa semua peringkat pengajian untuk memperkenalkan program pengajian TVET. Jom ketahui apa itu TVET dan apa peluang yang dijanjikan bidang ini di masa hadapan.

APA ITU TVET?

TVET merupakan singkatan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional. TVET merupakan proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri.

Ia bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang tertentu. Skop TVET perlu berdasarkan standard pekerjaan yang diiktiraf, dengan penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan dalam industri.

Tahukah anda, pengajian kejuruteraan yang di universiti adalah berbeza dengan TVET? TVET lebih merangkumi pengetahuan dan kemahiran teknikal. Ia terbahagi kepada banyak peringkat pengajian. Antaranya ialah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM tahap 1,2,3), Diploma Kemahiran, Diploma Politeknik dan Kolej Komuniti, Sijil Kolej Komuniti dan Ijazah Teknologi Kejuruteraan (B. Tech).

Manakala bidang kejuruteraan yang diajar di universiti (sains kejuruteraan) lebih menjurus ke arah pengetahuan teori dan akademik.

KENAPA TVET DIPERKENALKAN?

TVET diperkenalkan bagi memenuhi permintaan industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, selaras dengan globalisasi, ekonomi berasaskan pengetahuan, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global.

Bidang TVET mengupayakan pendekatan yang diterajui industri. Perkara ini amat penting untuk menyediakan modal insan berkemahiran yang diperlukan industri, terutama untuk menyokong peralihan sektor ekonomi ke arah aktiviti berasaskan pengetahuan, selari dengan aspirasi menjadi negara maju pada tahun 2020.

LEPASAN TVET TERIMA TAWARAN SEHINGGA RM30,000 SEBULAN! 

Ramai sebenarnya yang tak tahu tahu bahawa lepasan TVET mampu menjana pendapatan lumayan dalam bidang yang mereka ceburi dan ada dalam kalangan mereka mampu meraih pendapatan sehingga RM30,000 sebulan!

Rata-rata pelajar lepasan TVET juga lebih mudah mendapat tawaran pekerjaan sama ada dari dalam atau luar negara. Contohnya, lepasan TVET Akademi Binaan Malaysia (ABM), Muhammad Faizal dari Kuala Terengganu. Faizal pernah memperoleh gaji RM27,000 sebulan ketika bekerja dengan syarikat minyak dan gas di Miri, Sarawak. Kini, dia bekerja sebagai jurukimpal syarikat minyak dan gas di Arab Saudi dengan gaji RM18,000 sebulan.

APA PELUANG PEKERJAAN YANG DIJANJIKAN TVET?

89% tahap kebolehpasaran kerja, 54,789 dari 61,510 graduan mendapat pekerjaan.

Anda pasti tertanya-tanya apakah jenis pekerjaan yang ditawarkan bidang TVET kan? Sebenarnya, TVET tak terhad kepada kemahiran seperti bidang kimpalan, perancah, elektrik, perpaipan gas, operasi kren dan operasi pelan yang popular dalam kalangan pelajar saja.

Ada banyak lagi bidang yang ditawarkan TVET. Antaranya kursus yang semakin mendapat permintaan masa kini ialah pelancongan, aeronautik, automotif, keselamatan siber, animasi, Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) dalam trek Teknologi Permainan di Politeknik METrO Kuala Lumpur dan pengurusan peruncitan secara usahasama dengan IKEA di Politeknik METrO Kuala Lumpur

Kini, terdapat lebih kurang 1300 institusi TVET yang diuruskan oleh pihak kerajaan dan pihak swasta. Ia menawarkan pel­bagai jenis kursus kemahiran yang selari dengan kehendak industri.

KERAJAAN TAMBAH PERUNTUKAN PERKASA PROGRAM TVET DI MALAYSIA.

“Kerajaan akan terus mempromosikan dan berkempen untuk memperluaskan TVET mulai tahun depan dan akan mendapatkan lebih banyak kursus yang diiktiraf oleh MQA dan ETAC”.- Dr Maszlee Malik

Kerajaan telah memperuntukkan RM5.9 billion bagi memperkasakan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) supaya program ini menjadi pilihan utama generasi muda. Selain itu, kerajaan turut merangka dasar baru yang lebih relevan khusus untuk menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian Ke-4 (Industri 4.0).

Sebenarnya banyak lagi yang boleh diterokai dalam bidang TVET ni, semoga usaha kerajaan memperkasakan bidang TVET dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan melahirkan graduan yang lebih berdaya saing.

Kalau anda nak dapatkan maklumat lanjut tentang program TVET ni, anda boleh layari saja laman web rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia. Di sini ada pelbagai maklumat yang korang boleh dapat tentang TVET serta sekolah dan institusi yang menawarkan program ini.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×