Pernah tak ibu-ibu alami situasi anak meragam bila bawa pergi rumah orang? Yang tak nak masuk rumah pun ada. Padahal dalam kereta tadi ok je.
Atau kalau ada orang datang rumah, si kecil yang tengah elok bermain mulalah tak senang duduk. Dah asyik nak berdukung je… Haru sungguh dibuatnya!
Dalam kes seperti ini, si kecil mungkin sedang mengalami ‘overstimulation’ atau ‘sensory overload’.
Jadi, apa sebenarnya ‘overstimulation’ atau ‘sensory overload’ ini?
Jom fahamkan lebih lanjut!
1.Apakah ‘Overstimulation’
Memang stres kan kalau tiba-tiba anak buat pe’el tak nak jumpa orang? Rasa segan pun ada dengan kawan-kawan dan keluarga.
Tapi ibu kena faham mungkin anak anda terlalu letih akibat ‘overstimulation’.
‘Overstimulation’ atau ‘sensory overload’ berlaku apabila seorang kanak-kanak didedahkan kepada begitu banyak stimuli / rangsangan pada persekitaran mereka sehingga sampai satu tahap mereka berasa sukar untuk memproses kesemua maklumat tersebut.
Rangsangan ini boleh berlaku pada semua deria seperti bunyi, penglihatan, sentuhan, rasa makanan, dan bau.
Contohnya bayi yang biasa tinggal bersama keluarga kecil di rumah mungkin akan rasa terkejut dan mengalami ‘overstimulation’ apabila dibawa ke majlis yang penuh dengan bunyi bising dan orang ramai.
2. Kenapa ‘Overstimulation’ Buat Anak Meragam
Selalu kita baca dalam artikel dan media sosial pelbagai cara boleh dilakukan menstimulasikan deria bayi untuk menggalakkan perkembangan fizikal dan otak bayi.
Contohnya kalau nak stimulasikan deria penglihatan, bayi boleh didedahkan dengan imej-imej yang tinggi kontras. Rajinkan bercakap dan menyanyi dengan bayi bagi rangsangan pendengaran dan mengajarnya bercakap. Manakala kalau nak menggalakkan stimulasi deria rasa bayi, ibu ayah boleh memperkenalkan makanan dengan pelbagai tekstur.
Sebagai ibu ayah, tentunya kita rasa teruja kalau kita dapat buat sesuatu untuk memaksimakan potensi bayi. Namun, ada kalanya kita tak sedar bahawa tahap penerimaan setiap bayi adalah berbeza-beza.
Apabila mereka tidak dapat menerima kesemua rangsangan ini dan berasa overwhelmed, maka bayi akan berasa rimas, mengalami stres dan mula meragam.
3. Tanda ‘Overstimulation’ Pada Anak
Selain menangis dan meragam, bayi juga mungkin akan menunjukkan tanda-tanda ini jika mengalami ‘sensory overload’ atau ‘overstimulation’:
- Mudah merengek
- Menggenggam tangan
- Tak mahu berinteraksi dengan orang lain
- Menangis dengan lebih kuat berbanding biasa
- Mengeraskan badan
- Bertindak agresif / menjadi hyper
- Anak yang lebih besar akan memberontak dan enggan melakukan sesuatu yang disuruh seperti memakai kasut atau berdiri.
‘Overstimulation’ juga biasa dialami oleh anak-anak autisme atau ADHD dan sering dikaitkan dengan fasa ‘meltdown’.
4. Cara Menenangkan Anak Yang ‘Overstimulated’
Jangan risau, ibu ayah boleh melakukan langkah ini untuk membantu anak relaks dan bertenang.
i. Jauhkan dari bunyi bising, orang ramai atau aktiviti yang terlalu meriah. Bawa bayi ke sebuah bilik atau ruang terbuka yang lebih senyap, tenang, tak ramai orang dan jauh dari gangguan.
ii. Mendukung anak yang merengek boleh memberikannya rasa selamat, selesa dan relaks. Pelukan hangat ibu sangat membantu menenangkan si kecil!
iii. Jika anak sedang mengantuk dan tak boleh tidur, cuba bedungkannya. Bedung akan memberikannya rasa selesa seperti berada dalam rahim ibu dulu.
iv. Mengenalpasti stimuli yang membuat anak tak selesa adalah penting kerana ia akan membantu anda lebih bersedia pada masa akan datang.
5. Stimuli Penting, Namun Tak Perlu Dipaksa
Mendedahkan anak-anak kepada persekitaran yang penuh dengan rangsangan dan interaksi adalah sesuatu yang baik terutamanya dalam tempoh 5 tahun pertamanya, di mana otak mereka sedang berkembang dengan pesat.
Semua yang dilihat, didengar, dirasakan, dihidu, dirasa dan disentuh akan membina jaringan sel-sel pada otaknya.
Namun ini tidak bermakna kita perlu meluangkan setiap masa menstimulasikan derianya melalui permainan dan sebagainya.
Ini kerana mereka juga memerlukan masa senyap dan aman untuk merelakskan minda mereka.
Tiada amaun stimulasi yang ‘betul’ atau ‘salah’ kerana setiap anak dilahirkan unik dan berbeza.
Jadi, janganlah ambil hati kalau anak tak mahu bermain atau tak suka berjumpa orang. Biasanya fasa ini sementara saja. Lama-lama nanti mereka akan terbiasa dan dapat menerimanya.