Kini Trending

Kena ‘Hentam’ Bayar Ikan Siakap RM 1,196 Seekor Di Langkawi

629
SHARES

Bila berkunjung ke kedai tomyam atau restoran makanan laut, antara pilihan jenis ikan yang selalu menjadi kegemaran adalah ikan siakap. Harga pun berpatutan sekitar RM30-50 seekor beserta hidangan masak. Bagaimanapun, berbeza dengan nasib dialami sekumpulan individu apabila mereka terpaksa membayar hampir RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap dengan berat sekitar tujuh kilogram di salah sebuah restoran dekat Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Baca juga: 6 Lokasi Makan Wajib Cuba Bila Berkunjung Ke Pulau Langkawi

BAYAR RM 1,196 UNTUK SEEKOR IKAN SIAKAP!

Menerusi perkongsian Mohd. Faris Zulkarnain di Facebook miliknya, mereka terdiri daripada tujuh individu juga terpaksa membayar bil keseluruhan sebanyak RM1,852.50 dan jumlah itu termasuk dengan harga ikan berkenaan.

“Selepas mengelilingi beberapa pulau di Langkawi, kami dibawa ke salah sebuah restoran untuk makan tengah hari, seperti kebiasaan kami memesan menu yang biasa ditempah di mana-mana kedai tomyam.

“Secara kebiasaan, untuk tujuh orang makan, dua ekor siakap sudah memadai, maka kami pun tempah dua ekor ikan untuk tujuh orang makan berserta menu-menu yang lain,” tulisnya.

Katanya lagi, salah seorang pelayan kedai itu datang bagi mengesahkan saiz ikan dan selepas diberitahu mereka bersetuju untuk mengambil seekor ikan sahaja berdasarkan anggaran saiz yang ditunjukkan.

“Saiz yang ditunjukkan itu hanya besar sedikit daripada ikan yang kita biasa makan di kedai tomyam. Namun, apabila ikan itu sampai kami berasa terkejut kerana ia dapat diisi didalam pinggan besar.

“Kami pun cakap, ini bukan untuk tujuh orang makan, tetapi mungkin untuk 30 orang makan. Masa itu, jangkaan harga yang perlu dibayar ialah sekitar RM700 hingga RM800 sahaja namun meleset apabila harganya mencecah RM1852.50,” jelasnya.

Antara menu yang dipesan oleh mereka ialah ikan siakap (RM1,196), sotong sekilogram (RM120), ketam (RM87.20) dan udang (RM200).

Difahamkan, beberapa individu lain juga terpaksa membayar harga mahal antaranya RM755 bagi dua orang makan selain satu lagi pelanggan membayar harga RM800. Bukan pertama kali, malah ada juga dalam kalangan pengunjung lain yang mengalami situasi yang sama ketika melancong ke Pulau Langkawi baru-baru ini.

Sumber: Mohd. Faris Zulkarnain

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×