Famili

Geng Bermain, Geng Bergaduh. Ini 5 Kelebihan Membesar Dengan Sepupu Buat Anak Kita

“Mama, nanti Afiq dan Eli ada kat rumah Tok Mak tak? Iffa nak jumpa diorang. Dah lama tak main dengan diorang. Boringlah kalau diorang tak ada…”

Musim-musim cuti begini mesti ramai yang balik kampung bawa anak-anak kan? Mereka pun apa lagi, seronoklah kalau dapat jumpa sepupu masing-masing. Dapat pula yang memang sekepala, memang riuh-rendah satu rumah dari siang sampailah ke malam.

Teringat macam masa kita zaman kecil dulu, kita pun selalu main dengan sepupu. Sebenarnya ada banyak kelebihan anak-anak kita bergaul dengan sepupu. Mereka ni nak kata kawan bukan kawan. Nak kata adik-beradik pun bukan juga.

Inilah specialnya sepupu yang kita nak cerita.

5 Kelebihan Membesar Dengan Sepupu Buat Anak Kita

1. BFF Pertama Anak Kita

Memang seronok bila anak-anak ada teman sebaya untuk bermain bersama. Adik-beradik tu memanglah ada, tapi biasanya aura bila dengan sepupu ni lain sikit. Yalah, biasanya kalau adik-beradik ni kan tak sama umur, lagipun ada yang berbeza jantina. Jadi tak dapatlah nak main permainan kegemaran masing-masing.

Lagipun anak-anak biasanya terlebih excited bila nak jumpa sepupu, maklumlah bukan selalu dapat balik kampung. Bila berjumpa tu, tak payah permainan pun seronok. Ada saja idea nak buat itu ini, macam kita di kampung dulu!

Foto Kredit: hiveminer.com

2. Geng Bermain, Geng Bergaduh

Bila asyik bersama tu, tak sahlah kalau tak bergaduh kan? Tadi bukan main baik, tengok-tengok seorang dah menangis. Biasalah tu, budak-budak. Kadang-kadang salah faham, merajuk, tapi lepas tu cepat je dah berbaik semula.

Sebenarnya keadaan ini banyak mengajar anak kita kemahiran bersosial dan menguruskan emosi. Walaupun kita terasa ingin melindungi anak kita setiap masa, tapi ada sesetengah masa kita perlu biarkan mereka mengawalnya sendiri. Barulah mereka lebih matang dan mampu berdikari, terutamanya bila di sekolah nanti.

3. Banyak Idea Kreatif

Bila dengan sepupu, anak-anak kita mungkin akan belajar banyak perkara baru. Mereka belajar cipta permainan baru, belajar perkataan baru, cuba benda baru dan macam-macam lagilah.

Bila masing-masing bercakap, keluarlah segala pendapat yang kreatif dan cerita yang tak pernah mereka dengar. Kita pun nak tergelak dengan telatah mereka.

Foto Kredit: xtra.com.my

4. Terikut-ikut Tabiat Yang Baik

Oleh kerana masing-masing dari keluarga yang berbeza latar belakang, biasanya tentu ada tabiat baik yang diterapkan dalam setiap keluarga. Kalau mereka ikut tabiat yang baik, contohnya baca doa sebelum makan, kongsi permainan sama-sama, tutup TV bila dah Maghrib, confirm sejuk hati Mak Ayah.

Kalau nampak sepupu buat perangai tak elok, mereka pula akan tegur dan betulkan. Ini pun bagus sebab mereka belajar untuk sambil mengingatkan.

7 Tips & Cara Jadi 'Best Friend' Anak Sendiri

5. Teman Berkongsi

Selain adik-beradik, dengan sepupulah anak-anak kita akan belajar untuk berkongsi mainan mereka. Bila mereka dah semakin besar pula, mungkin mereka akan berkongsi cerita yang lebih serius.

Sepupulah tempat mereka berkongsi masalah dan rahsia yang susah nak diceritakan pada Mak Ayah. Stres pasal exam, masalah dekat rumah, atau di asrama. Kuranglah sikit rasa terbeban di dada.

Foto Kredit: flickr.com

Enjoynya Zaman Kanak-kanak Bila Membesar Dengan Sepupu!

Teringat macam zaman kita masa kecil dulu, memang seronok bila membesar dengan sepupu. Semuanya terasa lebih meriah, lebih-lebih lagi masa Hari Raya atau cuti sekolah. Banyak memori yang sukar dilupakan dan membentuk sebahagian daripada diri kita hari ini.

Semoga anak-anak kita pun dapat enjoy zaman kanak-kanak mereka dan pada masa yang sama, dapat juga belajar banyak perkara. Biarlah riuh sekejap, bukannya selalu dapat jumpa kan?

Most Popular

To Top