Sejak kebelakangan ini kita sering dikejutkan dengan kejadian melibatkan kanak-kanak bermain pada ketinggian rumah dalam keadaan yang bahaya. Ini mengundang risau dalam kalangan penduduk setempat dan menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap keselamatan di rumah khususnya yang tinggal di rumah tinggi.
Baca juga: [VIDEO] “Berderau Darah”- Aksi Kanak-Kanak Panjat Pagar, Berdiri Luar Balkoni Undang Risau!
KANAK-KANAK MAUT JATUH DARI TINGKAT 29
Terbaharu, seorang kanak-kanak perempuan ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkap rumahnya di tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam insiden sekitar jam 2.41 petang itu, mangsa ditemui oleh salah seorang kakitangan badan pengurusan di koridor tingkat 8 kondominium tersebut.
Memetik laporan Sinar Harian, mangsa telah ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan di rumah oleh bapanya dalam keadaan pintu berkunci kerana keluar untuk membeli barang dan mendapati anaknya tiada di rumah selepas pulang.
Apa yang mengejutkan adalah hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tingkap di bilik mangsa dalam keadaan terbuka dan terdapat sebuah kerusi berada di tepi tingkap bilik tersebut.
Ketua Polis berkata lagi, tingkap di dalam bilik tersebut didapati tidak mempunyai jeriji dan siasatan mendapati tiada unsur jenayah.
“Pihak pengurusan telah menghubungi ambulans dari Hospital Selayang dan kematian mangsa telah disahkan oleh pegawai paramedik yang berada di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, mayat telah dirujuk ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sumber: Sinar Harian Online