Didik

Jika Berlaku Kecederaan, Perlu Tuam Dengan Air Panas Atau Pek Ais? Ini Penjelasan Doktor

166
SHARES

“Aduhh.. sakitnya terseliuh kaki ni…tapi.. patut tuam ke tekup dengan pek ais..?”

Bagi mereka yang kerap melakukan aktiviti lasak, pastinya sering terdedah dengan kecederaan seperti terjatuh atau terseliuh. Tapi, kerap juga kita tak pasti apabila berlakunya kecederaan, perlukah tuam dengan air panas atau tekup saja dengan pek ais batu? Jadi, ini penerangan doktor tentang rawatan mana lebih sesuai dengan keadaan cedera itu.

KECEDERAAN: TUAM DENGAN AIR PANAS ATAU PEK AIS?

Selalu saja ada kekeliruan di kalangan para pelatih First Aid ketika saya mengajar mereka menangani kecederaan. Mungkin pengetahuan mereka yang lama tidak digilap, hanya mengingati pengetahuan ketika menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah atau St John Ambulance dua puluh tahun yang lalu.

Saya tidak menyalahkan mereka kerana mereka hanya sesekali berjumpa dengan kemalangan dan kecederaan. Saya pula setiap hari dihantar pesakit yang cedera kemalangan ketika beriadah/sukan atau kemalangan jalan raya.

“Doktor, bila harus kita gunakan pek ais dan bila pula kita boleh tuam dengan air panas?” Itulah soalan yang sering ditanya dan saya telah bersiap sedia dengan jawapan.

MEMBEZAKAN KECEDERAAN ACUTE DAN CHRONIC

Pesakit yang mengalami kecederaan itu selalu mengadu kesakitan pada sendi atau bahagian badan mereka. Dengan bertanya kepada mereka sama ada ianya kecederaan baru atau kecederaan lama, ia sebenarnya dapat membantu saya merawat mereka. Kecederaan acute adalah kecederaan baru yang berlaku secara tiba-tiba. Kesakitannya digambarkan seperti menyucuk-nyucuk. Terdapat kesan radang pada kecederaan itu.

Tanda-tanda radang pada kecederaan acute adalah sakit, bengkak, kulit menjadi merah dan rasa hangat bila disentuh. Kebanyakannya disebabkan oleh kecederaan hentakan atau trauma seperti terjatuh di padang atau berlanggar sesama pemain bola. Kecederaan yang disebabkan oleh kemalangan jalanraya adalah lebih parah.

Kecederaan chronic pula ialah kecederaan lama yang berulang. Pesakit mungkin pernah mengalami kecederaan dulu, dan ianya berulang semula ketika beriadah atau bersukan atau ketika mengangkat benda berat. Ianya berlaku apabila kecedaraan acute yang tidak dirawat dengan sempurna.

MERAWAT DENGAN PEK AIS

Kecederaan acute seharusnya dirawat dengan menggunakan pek ais. Ianya akan mengurangkan sakit dan lebam. Ais adalah mempunyai ciri vaso-constrictor yag menyebabkan saluran darah menjadi mengecut dan secara tidak langsung mengurang bengkak dan pendarahan dalaman.

Caranya ialah dengan menuamkan ais yang dibalut dengan tuala nipis pada bahagian yang cedera selama 10-15 minit. Kemudian angkat. Biarkan kulit menjadi suhu persekitaran semula. Kemudian tuam untuk kali kedua dan ketiga dan seterusnya. Boleh tuamkan bahagian yang cedera itu untuk beberapa hari menggunakan ais.

Rawatan menggunakan pek ais juga membantu bagi kecederaan chronic (overuse injuries) jika ianya kecederan baru di tempat yang sama. Sebagai contoh seorang atlet yang mempunyai masalah kecederaan lutut yang lama. Ketika itu dia berlari dan tercedera semula. Kecederaan ini mesti dirawat. Namun rawatan menggunakan pek ais tidak membantu kesakitan chronic sebelum terjadi kecederaan.

RAWATAN DENGAN MENUAM AIR PANAS

Rawatan ini dilakukan dengan cara menuamkan menggunakan tuala basah. Haba biasanya digunakan untuk kecederaan chronic yang tidak bengkak dan tiada radang. Sebagai contoh sakit sendi pada lutut atau bahu, sakit pinggang atau sakit otot perut atau peha.

Atlet yang mempunyai kecederaan chronic bolehlah menggunakan rawatan sebegini sebelum melakukan exercise untuk meningkatkan regangan elasticity pada sendi dengan menggalakkan pengaliran darah. Jangan gunakan rawatan ini selepas melakukan latihan/exercise. Selepas latihan, rawatan menggunakan ais adalah cara yang terbaik.

Rawatan sebegini juga membantu merehatkan otot yang kejang (muscle spasm). Tuamlah selama 15-20 minit dan gunakan lapik di antara penuam dengan kulit untuk mengelakkan daripada kulit terbakar. Jika kecederaan itu serius, bawalah berjumpa doktor apabila ianya melebihi 48 jam.

Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×