“Baby minum susu apa?”
“Kenapa tak bagi susu badan?”
“Dah makan milkbooster ni?”
“Kenapa tak cuba lagi?”
Ini antara soalan yang paling ‘ditakuti’ oleh ibu-ibu yang memilih untuk memberi anak minum susu formula. Dah jadi lumrah bila orang bertanya, jawapan yang diharapkan adalah susu badan dan bukannya susu formula atau susu botol.
Bila kita jawab anak diberi susu formula, mulalah pelbagai soalan lain yang akan menyusul. Semuanya disoal siasat seolah-olah kita dah melakukan jenayah.
Sebelum kita membuat sebarang andaian terhadap ibu-ibu lain, cuba fahami sensitiviti mereka dan fikirkan dengan mendalam tentang 5 perkara di bawah ini.
5 Sebab Jangan Pandang Sebelah Mata Pada Ibu Yang Bagi Anak Minum Susu Formula
1. Mereka Mungkin Dah Mencuba Lebih Gigih Daripada Kita
Proses menyusu badan sememangnya nampak seperti suatu perkara yang mudah dan semulajadi – terutamanya bagi mereka yang tak pernah menyusukan bayi. Namun anda sebagai wanita tentu tahu bahawa ia mempunyai cabaran yang tersendiri.
Memang betul ada yang tak menghadapi sebarang masalah dalam penyusuan. Tapi anda tak patut mengecilkan usaha mereka yang dah mencubanya. Bahkan, ibu-ibu yang memberi susu formula kepada bayi mereka mungkin dah mencuba lebih gigih berbanding kita.
2. Mereka Melalui Waktu-waktu Sukar Yang Kita Tak Tahu
Kita tak tahu yang mereka menangis di waktu malam kerana susu tak keluar walaupun dipam. Kita tak tahu mungkin mereka alami komplikasi masa bersalin. Kita tak tahu yang bayi mereka ada masalah kesihatan tertentu atau ditahan wad berbulan-bulan lamanya. Kita tak tahu tahap stres mereka yang serius, selalu jatuh sakit sampai tak ada susu badan. Kita tak tahu.
Itu mungkin antara faktor mengapa mereka melalui kesukaran yang lebih hebat untuk menyusu badan. Macam-macam lagi boleh berlaku di luar jangkaan kita.
Jadi, jangan cuba samakan diri kita dengan mereka sebab ujian Allah itu berbeza untuk setiap hambaNya.
3. Mereka Tahu Susu Ibu Adalah Susu Yang Terbaik
Mereka tak perlu diingatkan berkali-kali tentang kelebihan susu ibu. Mereka tak perlu diperlakukan sehingga asyik rasa bersalah sebab tak mampu memberikan susu badan.
Ya, mereka dah cukup maklum bahawa susu ibu itu adalah susu dan makanan yang terbaik untuk si kecil.
4. Mereka Dah Fikir Beratus Kali Sebelum Buat Keputusan Ini
Sejak mengandung lagi tentu mereka dah bercita-cita nak menyusukan bayi dengan susu badan sendiri. Macam-macam persiapan dah buat, macam-macam tips dah hafal, macam-macam makanan berkhasiat dan milkbooster dah makan, segala kelengkapan pam susu juga dah dibeli.
Tapi, apakan daya kalau ia masih tak berhasil. Rasa sedih, bersalah, kecewa dengan diri sendiri akan sentiasa datang dalam diri. Sebelum keputusan dibuat untuk cuba susu formula, dah banyak kali mereka pertimbangkannya semula. Dah berbesen-besen air mata mereka dan dah penat mereka mencuba barulah ianya dipersetujui dengan hati yang berat.
5. Mereka Juga Mahukan Yang Terbaik Buat Anak Mereka
Siapa tak kasihan kalau tengok anak menangis kehausan tapi susu badan pula tak keluar-keluar. Siapa tak risau kalau berat badan anak makin merudum sebab susu badan yang semakin kering. Siapa tak sedih bila tengok anak struggling untuk menghisap puting payudara dengan baik?
Mungkin mereka sendiri dah berjumpa doktor dan disarankan untuk memberi susu formula atas alasan tertentu. Mereka terpaksa akur sebab mereka juga mahukan yang terbaik untuk anak mereka.
Ibu-ibu Patut Lebih Memahami
Sebagai wanita, kita patutnya lebih memahami dan tidak memandang sebelah mata pada ibu yang memilih untuk tidak memberi susu badan kepada bayi mereka.
Jangan pula terlalu bangga dan menyangka semua orang boleh melakukannya kalau kita sendiri dah berjaya menyusukan bayi selama 2 tahun.
Mungkin hari ini hari kita, esok-esok siapa tahu kan?