Famili

Institusi Pendidikan Lengkap 90% Vaksinasi Boleh Hadir Ke Sekolah Tanpa Penggiliran

13
SHARES

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan institusi pendidikan di bawahnya yang mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih dibenarkan beroperasi tanpa penggiliran mulai 8 November ini.

KPM memaklumkan keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mengambil kira kadar vaksinasi dalam kalangan murid kelas peperiksaan.

Baca juga: Ibu Ayah Boleh Semak Status Vaksinasi Sekolah Online Melalui CovidNow. Ini Caranya!

INSTITUSI PENDIDIKAN LENGKAP 90% VAKSINASI BOLEH HADIR KE SEKOLAH

Menerusi laporan Harian Metro, bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa hadir tanpa penggiliran bagi negeri Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan negeri Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya) akan bermula pada 8 November.

Menurutnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM juga membabitkan murid kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

“Bagi institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa, pengoperasian kekal secara penggiliran.

“Bagaimanapun, murid Prauniversiti Semester 3 di Sekolah Sukan Malaysia, murid kelas peperiksaan awam di sekolah berasrama sepenuhnya dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE OLevel, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) kekal hadir tanpa penggiliran,” jelasnya.

KPM juga akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa.

“KPM akan mengeluarkan senarai terkini institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus pada setiap Rabu.

“Justeru, mana-mana institusi pendidikan yang mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih akan dikeluarkan daripada senarai ini dan institusi boleh mula beroperasi tanpa penggiliran pada hari Ahad atau Isnin minggu berikutnya,” katanya.

Institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

Sumber: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×