Rakyat

[Infografik] Fahami Lebih Jelas Kawasan Larangan Merokok Yang Diwartakan Bermula 2019

12.4K
SHARES
kawasan larangan merokok

Ramai dah tahu bahawa kerajaan telah mengisytiharkan restoran dan premis makanan terbuka sebagai kawasan larangan merokok bermula 2019. Baru-baru ini juga, kementerian membuat pengumuman bahawa perokok hanya dibenarkan untuk merokok apabila jaraknya 3 meter atau 10 kaki daripada restoran atau kedai makan.

Mungkin ramai yang keliru tentang sempadan 3 meter yang ditetapkan. Maka, KKM telah mengeluarkan infografik bagi membantu orang awam memahami dengan lebih jelas kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

Jadi, jom kita semak infografik tersebut.

Kawasan Larangan Merokok Yang Diwartakan Bermula 2019

1. Rumah Kedai

Bagi kedai makan yang terletak dalam rumah kedai, jarak 3 meter ini bermula dari sempadan premis tersebut hingga ke jarak 3 meter di sisinya, termasuklah ruang pejalan kaki dan kawasan tempat parking, seperti yang kita boleh tengok dalam rajah di bawah ini.

Kawasan larangan merokok 2019

2. Tempat Makan Terbuka

Sekiranya restoran atau kedai makan tersebut turut menyediakan tempat makan terbuka, maka kawasan larangan merokok juga meliputi kawasan terbuka tersebut. Kalau dilihat dari infografik ini, jarak 3 meter dikira dari lingkungan kerusi dan meja makan yang paling luar.

3. Gerai Makan

Begitu juga halnya dengan keadaan di gerai-gerai makan. Jarak 3 meter bukan saja dikira dari gerai, tetapi 3 meter dari kerusi dan meja yang disediakan.

kawasan larangan merokok

4. Food Truck 

Food truck atau gerai makanan juga begitu.

5. Restoran Atas Tanah Lot

Bagi restoran yang terletak di atas tanah lot, keseluruhan kawasan dalam perimeter lot tersebut adalah kawasan larangan merokok. Jadi tak kiralah makan di luar atau dalam, kedua-duanya tetap tak boleh merokok kalau kita lihat dari rajah di bawah ini.

kawasan larangan merokok

6. Kedai Makan Dalam Sungai

Kedai makan dalam sungai ni mungkin ada yang rasa pelik, tapi memang ada di Malaysia. Konsepnya ala-ala berkelah gitu. Kalau google, antaranya terletak di Kemensah, Gerik, dan Baling Kedah.

Apapun, kedai begini pun tak terlepas daripada kawasan larangan merokok juga ya.

7. Kenderaan

Tempat makan dalam kenderaan seperti kantin dalam KTM, ERL serta bot-bot cruise juga diisytihar sebagai kawasan larangan merokok sepenuhnya.

8. Kedai Makan Atas Awan

Akhir sekali, yang ni gambarnya mungkin melucukan sedikit. Mungkin maksudnya kedai makan atas awan macam restoran di KL Tower agaknya. Korang rasa?

23 Kawasan Larangan Merokok Yang Telah Diwartakan Di Bawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau

Bagi yang tak tahu, restoran bukanlah satu-satunya tempat yang tak dibenarkan merokok. Sebenarnya Malaysia telahpun mengisytiharkan 23 kawasan larangan merokok mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau. 2 daripadanya baru dikuatkuasakan, iaitu Bangunan Parlimen dan premis / kedai makan terbuka.

Maka, kesemua 23 kawasan larangan merokok kini adalah:

  1. Di dalam pusat hiburan atau teater, kecuali pub, disko, kelab malam atau kasino, pada bila-bila masa apabila tempat itu dibuka kepada orang awam
  2. Di mana-mana kawasan hospital atau klinik
  3. Di dalam lif atau tandas awam
  4. Di dalam tempat makan atau kedai berhawa dingin
  5. Di dalam kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam
  6. Di dalam mana-mana bangunan yang dinyatakan oleh menteri melalui pemberitahuan dalam warta bawah peraturan 22
  7. Di dalam mana-mana lapangan terbang
  8. Di dalam mana-mana premis kerajaan
  9. Di mana-mana kawasan yang digunakan bagi apa-apa aktiviti perhimpunan di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman atau persendirian
  10. Di mana-mana kawasan di dalam suatu institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi
  11. Di mana-mana kawasan di dalam suatu taman asuhan kanak-kanak
  12. Di dalam mana-mana bas sekolah
  13. Di mana-mana tingkat yang mempunyai kaunter perkhidmatan di dalam bangunan bank atau institusi kewangan, Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd. dan Pos Malaysia Bhd.
  14. Di dalam mana-mana kawasan di dalam kompleks membeli-belah
  15. Di mana-mana kawasan di dalam suatu stesyen minyak
  16. Di mana-mana kawasan di dalam suatu stadium, kompleks sukan, pusat kecergasan atau gimnasium
  17. Di dalam mana-mana bangunan atau tempat awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan
  18. Di mana-mana kawasan di dalam suatu perpustakaan
  19. Di mana-mana kawasan di dalam kafe internet
  20. Di mana-mana kawasan di dalam suatu tempat latihan khidmat negara
  21. Di dalam mana-mana tempat kerja berhawa dingin dengan suatu sistem hawa dingin berpusat
  22. Bangunan Parlimen
  23. Di mana-mana restoran dan kedai makan terbuka

Semoga Dikuatkuasakan Dengan Serius!

Peraturan larangan merokok ini bakal dikuatkuasakan Januari tahun depan. Menurut undang-undang, sesiapa yang melanggarnya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Orang awam pun perlu lebih alert supaya kita dapat memahami hak masing-masing. Kalau ramai-ramai bantah, mungkin perokok pun ‘segan’ nak merokok di tempat larangan yang telah diwartakan ini. Tapi kalau tak ada tindakan daripada pihak berkuasa mahupun orang ramai, tentulah mereka tetap selamba merokok walaupun telah dilarang, kan?

*Sumber infografik: Kementerian Kesihatan Malaysia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×