Berikutan penguatkuasaan larangan merokok di restoran dan kedai makan, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, membuat kenyataan bahawa larangan merokok itu menyatakan perokok hanya dibenarkan merokok di kawasan 3 meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka.
Memetik ulasan beliau dari Berita Harian hari ini, “Kita faham juga mengenai hak perokok ini , jadi kita benarkan mereka merokok 10 kaki (tiga meter) dari premis berkenaan,” jelasnya menerusi sidang media.
Pengusaha Restoran Tak Akan Dikenakan Tindakan Sekiranya Perokok Masih Berdegil
Antara peraturan baru yang telah ditetapkan buat pengusaha dan pemilik kedai makan dan restoran antaranya termasuklah
- perlu menaikkan tanda larangan merokok
- tidak menyediakan kemudahan untuk merokok seperti bilik khas merokok dan bekas membuang puntung rokok
Bagi pengusaha kedai makan dan restoran yang gagal mematuhi peraturan ini boleh didenda melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
Terdahulu, isu pelanggaran peraturan itu oleh perokok yang degil telah dibangkitkan dan diambil maklum. Sehubungan itu, kementerian memberi jaminan pengusaha kedai makan dan restoran tidak akan dikenakan tindakan atas kesalahan perokok yang degil.

Foto Kredit: todayonline.com
6 Bulan Pertama Tempoh ‘Amaran’
Mengulas lanjut, katanya kementerian mempunyai 5,008 pegawai kesihatan persekitaran yang boleh menguatkuasakan peraturan larangan merokok itu selain bantuan pegawai kesihatan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Untuk tempoh 6 bulan pertama peraturan larangan itu dilaksanakan, kementerian akan memberi amaran kepada perokok dan pengusaha premis perniagaan kedai makan yang ingkar terhadap larangan tersebut.
“Kita mahu peraturan larangan ini dilaksanakan bagi mendidik masyarakat berhenti merokok.
“Namun, jika ada perokok yang berdegil dan pengusaha kedai makan dan restoran yang masih mengulangi kesalahan maka mereka akan terus di saman,” katanya.

Foto Kredit: The Star Online
Talian Aduan Hotline 24 Jam
Peraturan larangan merokok itu diwarta mengikut Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 bakal dikuatkuasakan Januari tahun depan yang mana mereka melanggarnya boleh di denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Setakat ini, sebanyak 108 kedai makan dan restoran sudah pun mengisytiharkan premis mereka bebas asap rokok.
Sekiranya pengusaha kedai makan dan restoran telah mengikut peraturan tetapi masih ramai perokok yang berdegil, maka talian ‘hotline’ 03-388942530 yang beroperasi 24 jam boleh dihubungi untuk membuat aduan.