40 Minggu

Ibu Mengandung Kalau Nak Berpuasa Kena Tahu 7 Perkara Ini

1.2K
SHARES

Bulan Ramadhan penuh berkat menjelma lagi. Pada bulan inilah kita berlumba-lumba untuk mengerjakan ibadah dan amalan baik kerana ganjaran pahala yang berlipat ganda.

Berpuasa hukumnya wajib bagi setiap umat Islam yang sihat namun terdapat beberapa kelonggaran diberikan kepada yang uzur serta ibu mengandung. Kelonggaran ini diberikan bagi mengelakkan sebarang mudarat kepada kondisi kesihatan ibu dan anak dalam kandungan.

Kebanyakan ibu mengandung agak keliru sama ada untuk turut berpuasa atau tidak. Sebelum bercadang untuk berpuasa, para ibu perlu ambil kira beberapa faktor dan ikuti panduan seperti di bawah.

1. Pastikan Anda Tidak Tergolong Dalam Golongan Berisiko

Sebelum berhasrat untuk berpuasa, anda perlu mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu. Menurut sebuah artikel dalam The Malaysian Medical Gazette, cabaran terutamanya berlaku pada 3 bulan pertama kandungan. Ini kerana ramai wanita mengandung yang cenderung kepada muntah yang berlebihan, keletihan, pedih ulu hati serta rasa mual yang keterlaluan.

Doktor akan memberi pandangan berdasarkan sejarah kehamilan yang lepas sama ada anda pernah mengalami kelahiran pra-matang atau masalah lain semasa kehamilan lepas. Doktor juga akan mengambil kira tahap kesihatan serta pengambilan ubat yang disyorkan.

Jika keadaan kesihatan anda kini dikhuatiri akan membahayakan anda dan anak dalam kandungan jika berpuasa, maka anda tidak digalakkan untuk berpuasa. Bagi yang tergolong dalam kategori berisiko juga, doktor akan menasihatkan anda untuk tidak berpuasa supaya anda dapat mematuhi pengambilan ubat secara berjadual bagi kesihatan anda dan bayi dalam kandungan.

doa penenang hati

Foto Kredit: soundvision.com

2. Banyakkan Berehat & Elak Cuaca Panas

Ibu mengandung perlu mendapatkan rehat secukupnya apatah lagi jika sedang berlapar dan dahaga. Elakkan daripada melakukan aktiviti berat bagi mengelakkan kepenatan. Atur semula rutin harian supaya anda masih dapat kekal bertenaga sehingga waktu berbuka puasa. Dapatkan pertolongan untuk menguruskan kerja-kerja di rumah.

Jika anda bekerja, berunding dengan majikan supaya dapat mengurangkan sedikit beban kerja agar puasa anda tidak terjejas. Elakkan daripada melakukan aktiviti luar pada cuaca panas untuk mengelakkan pitam.

3. Lewatkan Sahur, Ambil Makanan Bernutrisi Tinggi

Bersahur sangat penting lebih-lebih lagi untuk ibu mengandung. Pilih makanan berkhasiat dan lewatkan waktu bersahur agar dapat membantu memberi tenaga sepanjang hari di samping membuatkan diri rasa kenyang dengan lebih lama.

Amalkan makanan bernutrisi seperti oat, badam, karbohidrat kompleks, protein, sayur-sayuran dan buah-buahan supaya kesihatan anda dan tumbesaran kandungan terjamin. Makanan sebegini juga dapat memastikan sistem penghadaman berjalan dengan lancar.

puasa di bulan ramadhan

Foto Kredit: vitals.lifehacker.com

4. Berbuka Berpada-pada

Memang banyak pilihan untuk berbuka pada bulan puasa ini. Namun, cuba elakkan makanan berminyak dan tinggi kalori. Pilih makanan yang lebih sihat dengan kandungan gula dan garam yang sedikit. Makan dengan perlahan-lahan untuk mengelakkan usus terkejut akibat makan terlalu cepat.

Makan terlalu banyak pada satu masa juga boleh membuatkan perut ibu mengandung rasa sebu atau senak sehingga boleh menyebabkan pedih ulu hati. Ibu mengandung dinasihatkan untuk makan dengan kerap tetapi dengan kuantiti yang sedikit. Pada waktu malam, makan snek berkhasiat seperti badam, yogurt atau buah-buahan segar.

5. Air Kosong Sangat Penting!

Semasa sahur dan berbuka, banyakkan minum air kosong. Cukupkan keperluan air sebanyak 8 gelas sehari supaya badan kekal hidrat.

Ibu mengandung juga biasa mengalami sembelit akibat kekurangan air dan makanan serat. Kandungan air yang mencukupi juga dapat menjamin sistem pencernaan lebih lancar.

Elakkan minum air berkafein seperti kopi dan teh kerana ia dapat mengakibatkan dehidrasi.

6. Amalkan Snek Sihat Di Sebelah Malam

Dalam tempoh yang tidak berpuasa iaitu di sebelah malam, ibu mengandung digalakkan untuk mengamalkan pengambilan makanan ringan yang sihat seperti buah-buahan, salad sayuran, kurma atau kekacang secara kerap. Ini adalah untuk memastikan anda mempunyai nutrien dos secukupnya.

Kurma bukan dimakan pada bulan Ramadan sahaja

7. Pentingkan Kualiti Kebersihan Makanan Yang Dibeli Di Luar

Di Bulan Ramadhan memang tekak selalu terliur nak makan macam-macam. Kalau boleh semua nak dicuba.

Jika anda membeli makanan di luar, pastikan memilih atau membeli makanan daripada penjual yang bersih untuk menghindarkan risiko keracunan makanan atau jangkitan yang boleh memudaratkan kehamilan.

Cara ganti puasa di bulan Ramadhan

Segera Berbuka & Berjumpa Doktor Jika Ada Tanda Bahaya

Mengandung bukanlah penghalang bagi seseorang untuk berpuasa namun, para ibu tidak boleh abaikan beberapa simptom yang mungkin menjadi tanda kepada masalah dalam kandungan.

Antara simptomnya ialah pergerakan kandungan terasa kurang, rasa sakit pada bahagian bawah tulang belakang atau semasa membuang air kecil.

Beberapa lagi situasi yang membolehkan para ibu untuk berbuka adalah apabila rasa ‘morning sickness’ yang teruk, mula rasa simptom “hyplogycemia” iaitu paras gula yang rendah dalam badan sehingga menyebabkan badan menggigil, pening, panas badan, dan berpandangan kabur.

Memang sayang bila hendak berbuka puasa, lebih-lebih lagi apabila waktu berbuka puasa hampir tiba. Akan tetapi, para ibu tidak sepatutnya meneruskan berpuasa jika keadaan kesihatan tidak mengizinkan ya!

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×