Pemakaian kuku palsu dalam kalangan wanita dilihat semakin meluas kerana rekaannya yang cantik. Malah bentuk kuku tersebut yang panjang elok dengan warna-warna lembut sememangnya menjadi tarikan, apatah lagi jika ia dipadankan dengan lukisan inai di tangan pengantin.
Namun, ramai wanita terlepas pandang tentang hukum memakai perhiasan ini walaupun cantik dipandang. Terutamanya bakal pengantin, awas..jangan semata-mata nak cantik tapi terlupa tentang hukum ya!
Baca juga: Tiada Istilah ‘Kawan Baik’ Selepas Bercerai, Anak-Anak Bukan Alasan Untuk Bergaul Rapat
HUKUM PAKAI KUKU PALSU SEMASA NIKAH
Menurut penjelasan pendakwah bebas popular, Ustaz Azhar Idrus (UAI), kaum Hawa terutamanya ketika menjadi pengantin tdisarankan agar tidak memakai kuku palsu meskipun terdapat perbezaan pendapat tentang hukumnya.
“Tak boleh pakai kuku palsu, melainkan kuku dia rosak, (maka) boleh. Dia tak ada bulu kening, dia buat bulu kening palsu, boleh.
“Syarat jangan diperbuat daripada binatang najis dengan bulu mata orang lain. Kuku dah molek kan? Tak usah pakai kuku palsu.
“Walaupun ada sebahagian mengatakan boleh, jika kita nak sembahyang kita kena buka, tetapi takut masuk perhiasan yang tabarruj, yang dilarang,” ujarnya.
UAI menjelaskan persoalan orang awam ini menerusi sebuah video kuliah yang dikongsi oleh seorang individu menerusi aplikasi TikTok.
Menjengah ke laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan pula, pemakaian kuku palsu diharuskan jika atas sebab keperluan mendesak untuk melindungi bahagian kulit kuku asal yang tercabut atau untuk tujuan rawatan atau seumpamanya.
Manakala sekiranya pemakaian kuku palsu itu demi kecantikan tambahan semata-mata tanpa sebarang keperluan yang lain, maka perkara itu tidak dibenarkan oleh syarak kerana dikhuatiri termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah. Apatah lagi perbuatan tersebut secara jelas mengandungi unsur penipuan dan pembaziran.
ADA SYARAT PEMAKAIANNYA..
Dari satu sudut yang lain pula, mereka yang memakainya dengan tujuan rawatan dan perubatan, mestilah meraikan beberapa perimeter atau syarat iaitu pemakaiannya iaitu:
-Tidak menghalang air untuk sampai ke kulit sewaktu mengambil wuduk dan juga mandi wajib.
-Hendaklah diperbuat daripada bahan yang suci lagi halal, selamat dan baik untuk digunakan.
-Rupa bentuknya pula tidak terlalu menyerlah atau melampaui rupa bentuk kuku asal.
*Sebagai peringatan, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya.
Hal ini kerana, terdapat hadis yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud.
Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.” [Riwayat al-Bukhari]
Baca juga: Anak Tak Sah Taraf Diberi Bin/Binti Bukan Abdullah Tapi Guna 99 Nama Allah, Boleh Ke?