40 Minggu

Hukum Dedahkan Baby Bump, Jangan Pandang Ringan!

24
SHARES

Pasangan suami isteri pasti gembira dan teruja apabila mendapat tahu si isteri bakal melahirkan cahaya mata dan sudah menjadi kebiasaan kegembiraan itu akan dikongsi di media sosial untuk tatapan umum.

Perlu diingatkan bahawa sebagai wanita Muslim, berkongsi gambar baby bump di media sosial adalah tidak elok dan akan mendatangkan fitnah. Perkara ini turut mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan dan ikuti penjelasan hukum di bawah.

Baca juga: Ibu Hamil Elok Amalkan 15 Surah Pilihan Untuk Lahirkan Zuriat Soleh & Solehah

HUKUM DEDAHKAN BABY BUMP, JANGAN PANDANG RINGAN

SOALAN:

Apakah hukum bagi sesetengah orang yang gemar menunjukkan gambar perut memboyot di media sosial atau biasanya dipanggil baby bump?

JAWAPAN:

Baby bump atau bahagian perut yang memboyot pada wanita mengandung adalah aurat. Oleh itu, para wanita mestilah menjaga aurat di kawasan berkenaan dengan mengenakan pakaian yang labuh dan longgar supaya tidak menampakkan bentuk tubuh.

Selain itu, hukum menayangkan gambar perut memboyot di media sosial adalah tidak selari dengan etika ajaran Islam kerana ia boleh mengundang fitnah dalam kalangan lelaki ajnabi khususnya dan membawa kepada masalah moral dan akhlak.

Pada asasnya, hukum menutup aurat adalah wajib sepertimana yang telah disepakati oleh para ulama berdasarkan firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya”. Surah al-Nur (31)

Shaikh Wahbah al-Zuhaili berkata ketika menghuraikan maksud ” وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ” menyatakan:

Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka iaitu bahagian yang tersembunyi atau tempat letak perhiasan iaitu selain daripada muka dan tapak tangan (Rujuk al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, 18/211).

MAZHAD SYAFIE ADA DUA PADANGAN MENGENAI AURAT WANITA

Di sisi Mazhab Syafie, terdapat dua pandangan dalam menentukan kadar aurat wanita:

Pandangan Pertama: Seluruh tubuh wanita adalah aurat.

Imam al-Bujairimi berkata:

“Aurat wanita yang merdeka iaitu di dalam solat. Adapun auratnya di luar iaitu di sisi lelaki ajnabi ialah seluruh tubuhnya termasuk muka dan kedua tapak tangan walaupun ketika aman daripada fitnah”. (Rujuk al-Bujairimi, Hasyiyah al-Bujairimi, 1/450).

Pandangan kedua: Seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan. Disebutkan di dalam kitab Nihayah al-Mathlab:

Berdasarkan firman Allah SWT: Lafaz {إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا}, maksudnya: kecuali yang zahir daripadanya. Kebanyakan para ahli tafsir berkata: yang dimaksudkan di sini ialah bahagian muka dan kedua tapak tangan. Hal ini disebabkan keduanya boleh dibuka ketika solat. Oleh itu, tidak menjadi kewajipan bagi para wanita untuk menutupnya. (Rujuk: Nihayah al-Mathlab, 12/31)

Justeru, jelas sekali bahawa baby bump atau kawasan perut wanita mengandung adalah termasuk dalam aurat yang wajib ditutup oleh para wanita. Para ulama’ menggariskan syarat-syarat menutup aurat adalah seperti berikut:

1. Pakaian hendaklah menutup seluruh aurat wanita.

2. Pakaian tidak nipis sehingga boleh menampakkan warna kulit.

3. Pakaian tidak ketat (longgar) sehingga tidak menampakkan bentuk tubuh. Sekiranya syarat ini tidak dipatuhi maka fungsi pakaian tersebut tidak tercapai kerana sekalipun kelihatan wanita itu berpakaian tetapi sebenarnya dia telanjang.

4. Pakaian tidak menyerupai jantina yang lain iaitu pakaian yang digunakan bukan yang khusus daripada kebiasaan pakaian yang dipakai oleh jantina yang lain.

Justeru, jelas sekali bahawa baby bump atau bahagian perut yang memboyot pada wanita mengandung adalah aurat. Oleh itu, para wanita mestilah menjaga aurat di kawasan berkenaan dengan mengenakan pakaian yang bersesuaian iaitu labuh dan longgar supaya tidak menampakkan bentuk tubuh.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×