Famili

Hati-Hati Buat Kerja Rumah, Doktor Kongsi Kisah Mata Budak Usia 2 Tahun Kena Gam 3 Saat!

93
SHARES

Setiap kali mak-mak sedang melalukan kerja rumah, pasti akan ada sahaja anak-anak yang ‘menemani’ bukan? Bukan tidak boleh tetapi seperti apa yang dikongsikan oleh doktor ini, beliau menerima kes seorang kanak-kanak berusia 2 tahun terkena gam 3 saat atau superglue di matanya ketika ibunya sedang melakukan kerja rumah! Bahaya tu!

Baca juga: Pendaftaran Murid Tahun 1 Sesi 2023/2024 Dibuka Mulai 1 Mac

MATA BUDAK USIA 2 TAHUN TERKENA GAM 3 SAAT!

Pada satu malam hari minggu, menerima panggilan dari jabatan kecemasan. Seorang budak 2 tahun terkena gam 3 saat (yang banyak jual dekat Mt.DIY tu). Habis satu muka kena katanya, mata tak boleh bukak langsung. Hmmm…pertama kali ni dapat kes macam ni. Lantas pesakit diarahkan datang ke wad mata untuk diperiksa.

Ketika mula-mula datang ke hospital.

Sejarah pesakit diambil dari ibunya, Ketika si ibu melakukan kerja di rumah, dia panjat kerusi nak pasang hiasan pada rumahnya. Anaknya girang bermain di kerusi ibunya, memegang kerusi tak nak ibunya jatuh. Tanpa sedar gam 3 saat yang dipegang ibu tertumpah ke bawah dan terkena pada seluruh muka anaknya. Allahuakbar, pantas ibu membasuh muka anaknya dan dibawa terus ke hospital. Namun gam 3 saat memang susah nak hilang,terkena kulit tangan kita pun ia cepat mengeras dan sangat sukar dicuci, apatah lagi kena pada kulit muka dan mata.

Ketika melakukan pemeriksaan, matanya cuba dibuka, bulu mata semua dipotong kerana semuanya melekat antara satu sama lain. Namun kekuatan gam itu benar-benar terbukti, tiada hasil. Kedua-dua belah kelopak mata melekat atas dan bawah. Usaha diteruskan dengan meletakkan gel petroleum khas untuk mata, kami berikan masa untuk ibu sapukan sepanjang malam dan tengok semula esok berkesan atau tidak.

TIPS HILANGKAN KESAN GAM PADA KULIT

Selepas satu malam sapuan gel petroleum.

Antara tips hilangkan kesan gam ini pada kulit ialah dengan basuhan air suam + sabun atau gunakan gel petroleum (seperti Vaseline). Tapi sebab dekat mata, kami gunakan yang khas dibuat untuk mata supaya tidak pedih jika termasuk dalam mata.

Keesokannya, si ibu datang dengan wajah muram. Mata anaknya masih tidak terbukak. Gam pada pipi dan muka nampak menipis dan tertanggal, namun pada matanya sama sahaja.

Perkara ini tidak boleh dibiarkan lama, kerana kanak-kanak jika dibiarkan kedua-dua mata tertutup pada tempoh yang lama, ia boleh menjadi punca kepada mata malas, mengakibatkan penglihatan yang kurang sempurna seumur hidupnya.

Keputusan dibuat untuk melakukan pembedahan secara bius penuh, keluarga setuju. Alhamdulillah, dalam dewan bedah lebih mudah untuk buang gam pada matanya, kerana pesakit sudah tidak meronta-ronta. Ada kecederaan pada dalam mata juga kerana gam tersebut masuk ke dalam matanya , tak sempat anak itu nak tutup mata sebab tiba-tiba tertumpah atas mukanya. Alhamdulillah pesakit semakin sembuh…

Sebagai peringatan bersama, perkara ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, malang tidak berbau. Sentiasa berhati-hati ketika melakukan kerja dengan gam gajah/gam 3 saat(superglue) terutama apabila ada kanak-kanak disekeliling.

*Gambar pesakit sebenar, keizinan lisan telah diambil dari ibu pesakit untuk peringatan bersama.

Sumber: Dr.Syaz, Pegawai Perubatan Oftalmologi

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×