“Kalau nak ikutkan pembacaan aku, kaedah perancang IUCD ni antara yang paling berkesan dan kurang kesan sampingannya. Tapi alahai… Rasa gerun pulak nak pasang benda ni. Sakit tak nak pasang? Betul ke orang kata benda ni berisiko pada rahim? Eee… takutlah!”
Kalau cakap pasal IUCD atau IUD, mesti ramai wanita yang mula berkerut dahi memikirkannya.
Yalah, sekali tengok saja alat tu boleh buat kita rasa ngilu, apatah lagi memikirkan bagaimana ia akan dipasang dalam rahim. Macam ngeri kan?
Sebenarnya IUCD adalah salah satu amalan perancang yang dikira sebagai sangat efektif untuk menjarakkan kehamilan.
Jadi sebelum anda reject terus kaedah perancang IUCD, cuba ketahui dulu beberapa perkara tentang alat pencegah kehamilan jenis ini.
8 Perkara Tentang Perancang IUCD / Alat Dalam Rahim (ADR)
1. Apakah Kaedah Perancang IUCD
Intrauterine Contraceptive Device (IUCD), Intrauterine Device (IUD) atau dalam bahasa Melayunya Alat Dalam Rahim (ADR) adalah adalah sejenis alat pencegah kehamilan yang boleh didapati di Malaysia.
Ia berbentuk seperti huruf ‘T’ dan ditempatkan di dalam rahim melalui faraj.
Alat ini berfungsi mencegah pelekatan janin pada dinding rahim untuk menghalang persenyawaan ovum.
2. Jenis IUCD Yang Terdapat Di Malaysia
Menurut Dr Rusyainie Ramli, terdapat 2 jenis perancang IUCD yang ada di Klinik Kesihatan kita iaitu:
- ADR-kuprum: jenis yang ada kuprum
- ADR-LNG: jenis yang ada hormon ADR-LNG.
ADR-Kuprum
- Sperma susah nak bergerak dalam rahim sebab ada halangan.
- Ovum dan sperma susah nak jumpa.
- Lapisan dalam rahim mengalami keradangan. Maka telur yang disenyawakan tak boleh melekat pada endometrium.
ADR-LNG
- Ada kandungan hormon Levenorgestrel yang keluar sikit-sikit setiap hari.
- Sama fungsi macam ADR-kuprum tapi lebih jauh berkesan sebab endometrium tak menebal, maka telur yang dah bersenyawa tu tak sesuai nak menempel.
- Yang ada di negara kita namanya MIRENA.
- Pemasangan selama 5 tahun. Tetapi harganya mahal.
ADR-kuprum ni maksudnya ada lingkaran kuprum di ADR yang berkerangka plastik. Dengan adanya kuprum, ia lebih berkesan dan selamat. Di Klinik Kesihatan, ada Cu-250. Manakala di Klinik LPPKN terdapar jenis Multiload Cu-250 (bertahan selama 3 tahun) dan Cu-375 (bertahan selama 5 tahun).
3. Tempoh Penggunaan & Kadar Keberkesanan
Bergantung pada jenis IUCD yang dimasukkan, ia akan melindungi anda untuk 3-5 tahun daripada mengandung.
Alat dalam rahim atau perancang IUCD ini sangat berkesan kerana dianggarkan hanya 8 dari 1000 pasangan yang menggunakannya hamil dalam masa 1 tahun manakala untuk Mirena, 2 dalam 1000.
4. Harga IUCD Di Malaysia
Harga IUCD di Malaysia bergantung kepada jenis yang dipasang.
Berikut adalah harga pemasangan IUCD di klinik swasta dan kerajaan secara anggarannya di Malaysia.
- IUD Hormon : RM80-RM110 (di klinik LPPKN)
- IUD tembaga : RM600 bergantung pada klinik swasta
- Hospital kerajaan :RM1 atau percuma.
- Proses pengeluaran IUCD: RM20 (di klinik LPPKN)
5. Prosedur Memasukkan IUCD
Menurut Doctor On Call, IUCD boleh dimasukkan dalam bila-bila masa dengan syarat kita pasti yang kita tidak hamil.
Maka proses untuk masukkan IUCD di buat di klinik kesihatan, ia selalunya dilakukan ketika wanita sedang mengalami haid.
IUCD kemudian dipasang menggunakan peranti sisipan plastik kecil dan ia dimasukkan melalui serviks ke dalam rahim.
Sebaik selesai pemasangannya, mungkin akan merasakan sedikit rasa kekejangan atau pendarahan vagina ringan. Keseluruhan proses ini boleh mengambil masa lebih kurang 10-15 minit.
Tali nilon pada alat ini sangat penting bagi memastikan ia berada pada kedudukannya dan masih berada dalam rahim. Jika anda risau ianya hilang, pemeriksaan ultrasound boleh dijalankan bagi mengesan kedudukannya.
6. Kelebihan IUCD
Antara kelebihan atau kebaikan menggunakan IUCD sebagai kaedah pencegah kehamilan adalah:
- Kosnya murah
- Sangat berkesan
- Tidak mengandungi sebarang hormon (kecuali jenis MIRENA)
- Selamat dipakai semasa menyusukan anak
- Tidak perlu kerap untuk rawatan susulan kecuali ada masalah dan untuk pap smear
- Terus kembali subur selepas ia dikeluarkan
- Untuk Mirena – memberikan perlindungan dari kanser endometrium
- Jarang mengalami kenaikan berat badan
7. Risiko / Kekurangan IUCD
Setiap kaedah pencegah kehamilan sebenarnya mempunyai risiko masing-masing. Ia juga bergantung kepada kesesuaian tubuh seseorang terhadap satu-satu jenis kaedah yang dipilih.
Antara risiko atau kekurangan kaedah perancang IUCD ini adalah:
- Ada pesakit yang nengalami haid yang lebih banyak atau panjang dari biasa.
- Jangkitan dalam rahim – jarang sangat berlaku.
- Hanya doktor terlatih yang boleh kendalikannya untuk pemasangan dan pengeluaran.
- Haid yang terlalu banyak / sedikit
- Senggugut
- Jangkitan kuman dalam rahim (namun jarang berlaku)
- Kehamilan di luar rahim
8. Proses Mengeluarkan IUCD
Proses mengeluarkan IUCD selepas cukup tempoh selalunya tak ada masalah pun. Mudah saja.
Jika kedudukan IUCD bermasalah, doktor akan merujuk anda ke hospital untuk prosedur hysteroscopy dalam keadaan bius bagi pembedahan kecil.
Rujuk lampiran di bawah bagi info lanjut tentang IUCD melalui risalah LPPKN.
Pilih Ikut Kesesuaian Diri & Nasihat Doktor
Pendek kata, apa pun kaedah merancang keluarga mempunyai kebaikan dan risiko yang tersendiri. Maka bergantung kepada kita jenis manakah yang menjadi pilihan masing-masing berdasarkan perbincangan dengan doktor.
Diharapkan dengan maklumat ini, wanita tidaklah terlalu fobia untuk mempertimbangkan penggunaan IUCD sebagai salah satu kaedah perancang keluarga yang diyakini.