Seorang ibu yang berhati batu, tergamaknya melakukan perbuatan keji kepada anak perempuannya yang baru berusia enam tahun demi sepasang kasut dan sejumlah wang tunai.
Semalam Kosmo melaporkan, seorang wanita di negeri Washington, Amerika Syarikat (AS) menjual anak perempuannya kepada seorang lelaki yang dikenali secara online sebagai pertukaran kepada kasut dan sejumlah wang tunai, telah dihukum penjara 23 tahun.
Baca juga: Ditinggalkan Sejak Usia 2 Tahun, Ibu Bapa Tergamak Saman Anak Enggan Belikan Rumah
JUAL ANAK USIA 6 TAHUN DEMI KASUT & WANG TUNAI
Kylie Ruby Flores, 31, menjual anak perempuannya kepada seorang lelaki yang dikenali di laman temu janji, Plenty of Fish dengan menerima kasut Nike baharu, wang tunai dan tempat tinggal sebagai bayaran, kata pendakwa raya persekutuan.
Flores dan Trever Harder yang merakam dirinya memperkosa mangsa di apartmennya telah mengaku bersalah, demikian menurut Pejabat Peguam AS untuk Daerah Timur Washington, lapor akhbar New York Post pada Jumaat lalu.
“Fakta kes menunjukkan penderaan seksual yang paling mengerikan dilakukan terhadap kanak-kanak itu.
“Hukuman dijatuhkan hari ini (Jumaat) adalah penting tetapi penting juga untuk mengingati bahawa hukuman terhadap Flores adalah lebih ringan daripada kesan sepanjang hayat yang ditanggung kanak-kanak itu,” kata peguam, Vanessa Waldref dalam satu kenyataan Rabu lalu.
PENDERAAN KEJAM ITU DILAKUKAN DALAM TEMPOH 5 KE 6 BULAN TAHUN LALU
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan penderaan itu antara 2 Februari hingga 26 Julai tahun lalu. Mangsa dapat menggambarkan penderaan yang dia hadapi ketika dalam cengkaman Harder.
Lelaki itu memasang kamera pada pokok di apartmen untuk merakam tindakannya memperkosa kanak-kanak itu di atas sofa, kata pendakwa raya. Pihak berkuasa kemudian merampas video yang dirakam pada Julai lalu.
Harder sedang menunggu hukuman selepas mengaku bersalah, kata pegawai.
Hubungan mangsa dengan Flores tidak didedahkan oleh pihak berkuasa tetapi Jurucakap semakan mengenal pasti dia sebagai anak perempuan Flores. – AGENSI
Sumber: Kosmo