Membaca doa ketika ziarah kubur merupakan antara amalan yang dianjurkan dalam Islam sebagai tanda mengingati kematian serta mendoakan kesejahteraan buat mereka yang telah pergi. Namun, adakah Islam menetapkan surah tertentu yang wajib dibaca ketika menziarahi kubur?
DOA KETIKA ZIARAH KUBUR, DIANJURKAN BACA SURAH INI

Menerusi satu perkongsian di Facebook, pendakwah terkenal Azhar Idrus menjelaskan bahawa Islam tidak menetapkan mana-mana surah tertentu yang wajib dibaca ketika menziarahi kubur.
Menurut beliau, ketika menziarahi kubur seseorang itu tidak diwajibkan melakukan amalan tertentu. Sebaliknya, mereka boleh memilih sama ada untuk berdoa, berzikir atau membaca al-Quran mengikut kemampuan masing-masing.
Jika memilih untuk membaca al-Quran, tiada surah atau ayat khusus yang diwajibkan dan seseorang itu bebas membaca mana-mana surah yang diinginkan sama ada surah yang panjang atau pendek.
Malah, jika mempunyai masa yang lapang, seseorang boleh membaca doa ketika ziarah kubur yang lebih panjang atau menghabiskan bacaan al-Quran. Namun sekiranya kesuntukan masa, memadai dengan membaca surah-surah pendek.
Antara surah dan ayat yang sering diamalkan oleh sebahagian ulama ialah:
- Surah Al-Fatihah
- Surah Al-Ikhlas
- Ayat Kursi
Ustaz Azhar Idrus turut berkongsi pandangan yang dinukilkan daripada Imam Ahmad bin Hanbal, yang menyarankan agar pengunjung kubur membaca Ayat Kursi dan Surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali sebelum berdoa agar pahala bacaan tersebut disampaikan kepada penghuni kubur.

Walau bagaimanapun, amalan tersebut bukanlah suatu kewajipan, sebaliknya termasuk dalam amalan yang dianjurkan oleh sebahagian ulama.
Secara keseluruhannya, ziarah kubur merupakan amalan sunat yang sangat digalakkan dalam Islam. Selain memberi salam kepada penghuni kubur, umat Islam juga dianjurkan untuk berdoa, membaca al-Quran, berzikir dan bermuhasabah tentang kehidupan serta kematian.
Justeru, tidak timbul persoalan mengenai surah tertentu yang wajib dibaca ketika menziarahi kubur kerana Islam memberikan kelonggaran kepada umatnya untuk membaca mana-mana ayat atau surah al-Quran yang mampu dibaca.
Apa yang lebih utama adalah keikhlasan dalam berdoa dan mengambil pengajaran daripada ziarah tersebut agar dapat meningkatkan amal ibadah sebagai bekalan menuju akhirat.
Sumber: Facebook Ustaz Azhar Idrus
