Menurut perkongsian pendakwah Ustaz Wadi Annuar, gangguan syaitan tetap boleh berlaku sehingga saat seseorang sedang menghadapi detik akhir kehidupan.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook miliknya, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah tentang perlindungan daripada gangguan syaitan, khususnya ketika saat sakaratul maut.
DOA BERLINDUNG GANGGUAN SYAITAN KETIKA SAKARATUL MAUT

Menurut beliau, umat Islam seharusnya sentiasa memohon perlindungan Allah SWT daripada gangguan tersebut dan tidak menunggu usia tua atau ketika ditimpa sakit untuk mula beramal dengan doa-doa perlindungan.
Ustaz Wadi Annuar menasihatkan agar setiap Muslim membiasakan diri dengan doa memohon perlindungan daripada syaitan yang boleh mengganggu iman ketika saat kematian.
Beliau menegaskan bahawa usaha menjaga iman bukan hanya dilakukan ketika hidup sihat, tetapi perlu diamalkan secara berterusan sebagai persediaan menghadapi kematian yang tidak diketahui bila akan tiba.
Dalam perkongsian tersebut, beliau turut berkongsi satu doa yang boleh diamalkan oleh umat Islam:

Allahumma inni a’uzu bika an yatakhabbatoni asy-syaithanu ‘indal maut.
Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan yang mengganggu imanku ketika saat kematian.”
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap Muslim perlu sentiasa memohon agar Allah SWT memelihara iman sehingga ke akhir hayat serta dikurniakan pengakhiran yang baik atau husnul khatimah.
Doa tersebut bukan sahaja menjadi pelindung daripada gangguan syaitan, malah merupakan salah satu usaha rohani untuk memastikan seseorang meninggal dunia dalam keadaan beriman.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar umat Islam tidak menangguhkan amalan ini dan menjadikannya sebahagian daripada rutin doa harian sebagai persediaan menghadapi kematian yang pasti tiba.
Baca juga: Sesat Dalam Hutan Tetap TAK BOLEH Makan Babi, Bukan Semudah Itu & Ada Benda Lain – UAI
Sumber: Facebook Ustaz Wadi Annuar
