Nur

Doa Dalam Sujud Terakhir: Hukum, Kelebihan & Contoh Doa Mustajab

220
SHARES

Doa Dalam Sujud Terakhir

Doa merupakan senjata agung bagi orang mukmin. Dalam menjalani kehidupan di dunia, kita dianjurkan untuk berusaha serta perbanyakkan berdoa.

Berdoa juga merupakan cara istimewa untuk kita merapatkan diri kepada Allah secara rohani serta sebagai tanda pengharapan kita kepada Maha Pencipta.

Hukum & Kelebihan Doa Dalam Sujud

Terdapat banyak waktu yang mustajab untuk berdoa agar lebih makbul. Antara waktu yang digalakkan untuk perbanyakkan berdoa ialah ketika dalam sujud terakhir.

Hukum Berdoa Dalam Sujud

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, hukumnya ialah berdoa disunatkan dalam semua sujud dan tidak hanya khusus dalam sujud terakhir. Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أقرب ما يكون العبد من ربه وهو ساجد ، فأكثروا الدعاء

Maksudnya: “Keadaan yang paling dekat seseorang hamba dengan Tuhan-nya ialah ketika dia bersujud. Maka perbanyakkanlah berdoa (pada waktu sujud).”

Riwayat Muslim dan al-Nasaie

Oleh sebab itu, kita boleh lihat mengapa sesetengah orang memanjangkan waktu bersujud setiap kali solat untuk memohon hajat kepada Allah.

Ia juga merupakan detik di mana kita berada paling dekat dengan Allah.

Cara Membaca Doa Dalam Sujud – Mufti Wilayah

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, kita juga digalakkan untuk berdoa bukan sahaja pada sujud terakhir, malah afdhal juga untuk kita berdoa pada sujud dalam setiap rakaat.

Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan bahawa doa pada sujud juga dibolehkan sama ada secara lisan ataupun dalam hati.

Terdapat khilaf untuk menggunakan bahasa selain Arab untuk berdoa secara lisan.

Yang sebaiknya ialah berdoa menggunakan bahasa Arab secara lisan.

Jika menggunakan Bahasa Melayu contohnya, maka cukuplah di dalam hati.

doa dalam sujud terakhir

5 CONTOH DOA KETIKA SUJUD TERAKHIR

Kita boleh berdoa dan memohon apa sahaja ketika sujud.

Antara doa yang ma’thur seperti yang disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh, antaranya:

DOA 1

اللهم لك سجدت و بك آمنت و لك أسلمْت سجد وجهي للذي خلقه و صوّره و شّق سمعه و بصره تبارك الله أحسن الخالقين

Maksudnya: Ya Allah, hanya kepada Engkau aku bersujud, hanya kepada Engkau aku beriman dan hanya kepada Engkau aku menyerah diri. Telah sujud wajahku kepada Yang Menciptanya, Yang Membentuknya dan Yang memberikannya pendengaran dan penglihatan. Maha Suci Allah yang merupakan sebaik-baik pencipta.

DOA 2

Boleh ditambah doa yang dibaca oleh Nabi SAW dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa beliau berkata:

أنَّ رَسولَ اللهِ ﷺ كانَ يقولُ في سُجُودِهِ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لي ذَنْبِي كُلَّهُ دِقَّهُ، وجِلَّهُ، وأَوَّلَهُ وآخِرَهُ وعَلانِيَتَهُ وسِرَّهُ

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW berdoa ketika sujudnya, “Wahai Tuhan-ku, ampunkanlah dosaku kesemuanya sama ada yang kecil atau besar, yang di awal dan juga di akhir, serta yang jelas dan yang tersembunyi.”

Boleh juga dibacakan doa-doa lain seperti:

DOA 3

ٱللّٰهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ حُسْنَ ٱلْخَاتِمَة

“Allahumma Innii As-aluka Husnal Khootimah”.

Maksudnya : “Ya Allah! Aku memohon kepada-MU husnul khotimah”.

DOA 4

ٱللّٰهُمَّ ارْزُقْنِيْ تَوْبَتًا نَصُوْحَا قَبْلَ ٱلْمَوْت

“Allahummar Zuqnii Taubatan Nasuuha Qoblal Maut”

Maksudnya: “Ya Allah! Berilah aku rezeki taubat nasuha (atau sebenar-benarnya taubat) sebelum mati”

DOA 5

ٱللّٰهُمَّ يَا مُقَلِّبَ ٱلْقُلُوْبِ ثَبِّتْ قَلْبِيْ عَلَى دِيْنِكَ

“Allahumma Yaa Muqollibal Quluub Tsabbit Qolbii ‘Alaa Diinika”.

Ianya bermaksud: “Ya Allah! Wahai sang pembolak balik hati, tetapkanlah hatiku pada agama-MU”.

Memanjangkan Sujud Digalakkan Ketika Solat Bersendirian

Jika sekiranya seseorang menjadi imam, maka hendaklah dia memerhatikan kepada keadaan jemaahnya.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, tidak boleh untuk untuk seorang Imam memanjangkan dan melebihkan bacaan dalam sujud sesuka hatinya.

Apatahlagi waktu Zohor yang kebanyakan adalah waktu rehat sebentar bagi orang yang berkerja, maka imam wajib mengambil berat dalam situasi jemaah tersebut.

Hal ini sama seperti keadaan Saidina Mu’az Ibn Jabal yang ditegur oleh Rasulullah SAW kerana memanjangkan solatnya dengan membaca surah al-Baqarah yang menyebabkan ada jemaah yang keluar dan solat secara bersendirian.

Rasulullah SAW menegurnya dengan bersabda:

أفتّانٌ أنتَ أفتّانٌ أنتَ لا تطوِّلْ بِهمُ اقرأ: سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلى، والشَّمْسِ وَضُحاها ونحوَها

Maksudnya: (Wahai Mu’az) Adakah kamu ingin menimbulkan fitnah? Adakah kamu ingin menimbulkan fitnah? Janganlah kamu sengaja memanjangkan solat (ketika kamu menjadi imam), bacakanlah surah-surah yang ringkas seperti surah al-‘Ala, al-Syams, al-Dhuha atau yang seumpamanya.

Hadith riwayat Ibn Hibban (2400)

Walau bagaimanapun jika sekiranya seseorang itu solat secara bersendirian atau menjadi imam kepada jemaah yang sedikit yang redha imam memanjangkan solatnya, maka ia diharuskan malah digalakkan.

Baca juga: Inilah Antara 6 Waktu Paling Mustajab Untuk Berdoa & Dikabulkan Hajat

Niat mandi wajib

Kesimpulan

Betapa istimewanya sujud sebagai cara untuk kita mendekatkan diri kepada Allah. Namun, seeloknya ia dilakukan dalam solat sendirian.

Oleh itu, marilah kita menanam azam untuk memanjangkan sujud di dalam solat fardhu serta solat sunat yang didirikan. Manfaatkanlah sujud dalam setiap solat kita sebaik mungkin dengan merintih dan memohon ampun kepada Allah SWT.

Sertakan sekali hajat serta harapan kita kepada Allah ketika bersujud. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar permintaan serta keluhan hambaNya.

Semoga dengan memperbanyakkan berdoa dalam sujud menjadikan diri kita lebih dekat dengan Allah serta membawa kita selangkah lebih dekat dengan syafaat Rasulullah.

Sumber rujukan:

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×