Nur

4 Doa Bebas Hutang Dan Mohon Kecukupan Rezeki – Ustazah Asma Harun & Mufti WP

96
SHARES
doa bebas hutang 1

Menerusi perkongsian oleh Ustazah Asma Harun dan Mufti Wilayah Persekutuan, berikut adalah 4 doa bebas hutang yang boleh kita amalkan bersama.

DOA BEBAS HUTANG HUTANG, SEDIH DUKACITA, LEMAH, MALAS, KEDEKUT, PENAKUT, DIZALIMI MANUSIA – Oleh Ustazah Asma Harun

Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: “Rasulullah SAW telah masuk ke masjid, dan seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana. Baginda bertanya:

“Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!”.

Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu?.”

Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.”

Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini:

1. DOA AGAR DIBEBASKAN HUTANG, SIFAT MALAS & PENINDASAN 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya:

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas.

Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”

Riwayat Abu Daud (4/353)

Inti doa di atas, bila kita selamat daripada penyakit² hati yang disebutkan, maka InsyaAllah kebahagiaan & kejayaan akan diperolehi.

Antara tanda doa kita dimaqbulkan Allah pula, kita mula kuat berusaha, menempuhnya dengan rajin, kuat semangat, berani, positif, pemurah.. dan akhirnya kita tidak lagi sedih berlebihan dan bebas hutang.

Doa Bebas Hutang Oleh Mufti Wilayah Persekutuan

Menurut IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-180: DOA-DOA UNTUK MELANGSAIKAN HUTANG di Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan, telah dikongsikan juga beberapa lagi tambahan doa bebas hutang untuk kita jadikan amalan.

Antaranya:

2. DOA AGAR DIBEBASKAN HUTANG, FITNAH & AZAB KUBUR 

Hadis ‘Aisyah R.Anha. Bahawa ‘Aisyah R.Anha memberitahu, bahawa Nabi SAW berdoa dalam solat sebelum salam:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

Maksudnya:

“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari azab kubur, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah Dajjal, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah semasa hidup dan saat kematian.

Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari dari perbuatan dosa dan kesusahan hutang.”

Riwayat al-Bukhari (832) dan Muslim (129)

Imam al-Hafiz Ibn Hajar menyebut bahawa makna bagi kalimah maghram ialah dain iaitu hutang. Dikatakan yang dikehendaki dengan al-Maghram ialah apa yang diperhutangkan sama ada perkara harus atau tidak, kemudian orang yang berhutang tidak mampu untuk membayarnya.”

Lihat: Ibn Hajar al-Asqalani. Fath al-Bari. jil 2. hlm. 371.

3. DOA AGAR DIBEBASKAN HUTANG & TERLEPAS DARIPADA KEFAKIRAN 

Daripada Suhail, beliau berkata: “Abu Soleh memerintahkan kepada kami apabila salah seorang di antara kami hendak tidur, hendaklah berbaring sebelah kanan kemudian mengucapkan:

اَللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَاْلإِنْجِيْلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ. اَللَّهُمَّ أَنْتَ اْلأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ اْلآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُوْنَكَ شَيْءٌ، اِقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ

Maksudnya:

“Ya Allah! Tuhan yang menguasai langit ketujuh-tujuh langit, Tuhan yang menguasai ‘Arsy yang agung, Tuhan kami dan Tuhan kepada segala sesuatu. Tuhan yang membelah butir tumbuh-tumbuhan dan biji benih, Tuhan yang menurunkan Taurat, Injil dan Furqan (Al-Quran).

Aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada segala kejahatan sesuatu yang Engkau memegang rambut hadapannya (yakni semua makhluk dibawah kekuasaan Allah). Ya Allah! Engkau-lah yang awal, sebelum-Mu tidak ada sesuatu. Engkaulah yang terakhir, setelah-Mu tidak ada sesuatu.

Engkau-lah yang Zahir, tidak ada sesuatu di atas-Mu. Engkau-lah yang Batin, tidak ada sesuatu yang terlepas daripada-Mu. Langsaikanlah hutang kami dan berilah kepada kami kekayaan hingga terlepas daripada kefakiran.”

Riwayat Muslim (2713)

4. DOA AGAR DIBEBASKAN HUTANG & KECUKUPAN REZEKI 

Imam Nawawi rahimahullah menyebut: “Yang dikehendaki dengan maksud hutang adalah kewajiban pada Allah SWT dan kewajiban terhadap hamba seluruhnya, ianya merangkumi segala macam jenis kewajiban.”

(Lihat: Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syarf al-Nawawi. Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim. juz. 17. hlm. 36). Beirut. Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi.

Hadis Ali RA. Daripada Ali RA, bahawa seorang hamba mukatab telah datang menemuinya dan berkata:

“Sesungguhnya aku tidak mampu untuk melangsaikan hutang perjanjian dengan tuan aku (perjanjian kitabah iaitu antara hamba dengan tuannya untuk pembebasan dirinya), maka tolonglah aku!

Maka Saidina Ali RA berkata: “Mahukah kamu aku ajarkan kepadamu doa yang telah Rasulullah SAW ajarkan kepada mereka. (Iaitu) Jika kamu dibebani hutang yang setinggi bukit, Allah akan selesaikanya untuk kamu?

Saidina Ali berkata:

“Katakanlah:

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya:

“Ya Allah! Cukupkanlah aku dengan dengan yang halal dan jauhkanlah aku daripada yang haram, dan cukupkanlah aku dengan kurniaan-Mu daripada bergantung kepada selain-Mu.”

Riwayat al-Tirmizi. Hadis hasan sahih.

Semoga Dapat Menjadi Amalan Bersama

Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat memberikan kita kefahaman dan keyakinan kepada Allah SWT.

Amiin.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×