Asuh

Ustazah Asma’ Harun Kongsi 5 Rahsia Pupuk Cinta Rasulullah Dalam Diri Anak

14
SHARES
didik anak kenal rasulullah

Harapan setiap ibu bapa pasti mahu anak mendalami dan memahami tentang Islam. Walau bagaimanapun, dunia serba moden ini menyebabkan segelintir anak muda mengambil mudah tentang keindahan agama Islam.

Sebagai ibu bapa perkara tersebut sudah tentunya merisaukan kerana takut ajaran Islam ‘lesap’ dan tidak dipraktikkan lagi. Bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku, ibu bapa dinasihatkan untuk sentiasa didik anak kenal Rasulullah SAW menggunakan 5 rahsia di bawah ini. Pasti berjaya!

Baca juga: Ramai Ibu Bapa Silap Mendidik Anak, Cuba Semak 10 Tips Ini, Terutama Yang No 5. Itu!

DIDIK ANAK KENAL RASULULLAH TAK MUDAH TAPI CARA NI MENJADI

Didik anak kenal rasulullah

1. Kerapkan membaca sirah kehidupan Rasulullah SAW 

Dengan banyakkan membaca buku sirah tentang kehidupan Rasulullah, anak akan terdedah dengan sejarah kehidupan Baginda, insyaAllah mereka lebih menghayati Akhlak dan pengorbanan Rasulullah SAW dalam kehidupan.

Firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” (Surah Al-Ahzab: 21)

2. Melazimi bacaan qasidah dan selawat 

Menghidupkan suasana rumah dengan alunan selawat atau qasidah buatkan anak lebih terbiasa dengan irama atau lagu yang memuji Allah dan Rasulullah. Moga-moga ia menjadi kesukaan dalam menaikkan rasa cinta dan rindu seisi keluarga kepada Rasulullah SAW. Sentiasa ingatkan anak untuk berselawat ke atas Rasulullah SAW dan menceritakan kelebihan berselawat ke atas Baginda.

Didik anak kenal rasulullah

3. Menghidupkan sunnah 

Ibu bapa membawa anak-anak untuk bersama melaksanakan amalan sunnah seperti pergi ke masjid, solat berjemaah bersama, membaca al-Quran, menghormati orang tua, dan lain-lain. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْيَا سُنَّةً مِنْ سُنَّتِى فَعَمِلَ بِهَا النَّاسُ كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا لاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya: “Siapa yang menghidupkan satu sunnah dari sunnah-sunnahku, kemudian diamalkan oleh manusia, maka dia akan mendapatkan (pahala) seperti pahala orang-orang yang mengamalkannya, dengan tidak mengurangi pahala mereka sedikit pun.” (HR Tirmidzi, hadis hasan)

4. Membawa anak ke majlis zikir dan selawat 

Banyak menghadiri majlis zikir dan selawat membuatkan anak terbiasa dengan suasana hadiri majlis ilmu mengingati Allah dan Rasulullah. Moga usaha ini menjadi asbab mereka mendapat nasihat dan doa daripada orang-orang soleh secara langsung. Daripada Abu Hurairah dan Abu Sa’id r.a., Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَقْعُدُ قَوْمٌ يَذْكُرُونَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا حَفَّتْهُمُ المَلَائِكَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ، وَنَزَلَتْ عليهمِ السَّكِينَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَن عِنْدَهُ

Maksudnya: “Tidaklah suatu kaum duduk berzikir (mengingat) Allah melainkan mereka dikelilingi oleh para malaikat, diliputi rahmat, diturunkan sakinah (ketenangan) dan mereka disebut oleh Allah di hadapan malaikat yang ada di sisiNya (HR Muslim, hadis sahih)

Didik anak kenal rasulullah

5. Menjadi contoh kepada anak 

Sebenarnya anak lebih mudah belajar melalui pemerhatian, terutama perbuatan ibu bapa itu sendiri. Sebaiknya amalan mencintai Rasulullah SAW dimulai dengan ibu bapa dahulu supaya anak terdorong untuk mengikuti.

Sebagai contoh, membaca selawat di hadapan anak, mulakan perbuatan seharian dengan bismillah dan doa, makan dengan tangan kanan, menyayangi anak yatim dan orang miskin, membaca buku-buku sirah Nabi serta membuka alunan-alunan selawat dan qasidah semasa dalam rumah atau kereta.

Duhai Ibu Bapa, berusahalah sehabis baik kita untuk menjadikan Rasulullah SAW ikutan utama bagi anak-anak. Mudah-mudahan kita boleh berbangga saat melihat anak dapat menghirup air telaga Kauthar daripada telapak tangan Baginda SAW.

Sumber: Facebook Ustazah Asma’ Harun

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×