Nur

Digelar Penghulu Segala Ayat Al-Quran, Ini 5 Kelebihan Ayat Kursi Yang Perlu Kita Amalkan

122
SHARES
kelebihan ayat kursi

KELEBIHAN AYAT KURSI

Ayat Kursi sudah tidak asing lagi dalam kehidupan seharian seorang mukmin. Ia merupakan antara ayat al-Quran yang terawal diterapkan sejak kita di bangku sekolah.

Potongan ayat ke-255 daripada Surah Al-Baqarah ini juga digelar ‘penghulu segala ayat al-Quran’ dan mempunyai keistimewaannya tersendiri. Mari kita kenali kelebihan Ayat Kursi dengan lebih dekat.

Menurut perkongsian dari Mudir Maahad Tahfiz Al-Istiqamah Temerloh, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih, Ayat Kursi diturunkan selepas peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW.

Pengenalan Ayat Kursi

Ayat ini telah diturunkan dengan iringan ribuan para malaikat kerana kemuliaannya.

Ketika ayat ini diturunkan, syaitan dan iblis menjadi gempar kerana kebesaran ayat ini yang menghalang perjuangan mereka dalam menggoda umat manusia.

Oleh itu, Rasulullah SAW pun segera memerintahkan Zaid bin Tsabit, iaitu penulis wahyu untuk menulis ayat tersebut serta menyebarkannya.

Menurut Ustaz Mohd Zarimi lagi, ayat ini juga dipanggil Ayat Kursi kerana di dalamnya terkandung perkataan ‘Kursi’ yang membawa maksud tempat duduk yang megah serta tinggi martabat.

Ia juga merupakan syiar kebesaran Allah yang memiliki kekuasaan meliputi tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi.

Bacaan Ayat Kursi Lengkap Beserta Maksud & Rumi

اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

(Alloohu laa ilaaha illaa huwal hayyul qoyyuum, laa ta’khudzuhuu sinatuw walaa naum. Lahuu maa fissamaawaati wa maa fil ardli man dzal ladzii yasyfa’u ‘indahuu illaa biidznih, ya’lamu maa baina aidiihim wamaa kholfahum wa laa yuhiithuuna bisyai’im min ‘ilmihii illaa bimaa syaa’ wasi’a kursiyyuhus samaawaati wal ardlo walaa ya’uuduhuu hifdhuhumaa wahuwal ‘aliyyul ‘adhiim)

Maksudnya:

Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafa’at di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.

5 Kelebihan Ayat Kursi

1. Menghimpunkan Nama-Nama Allah yang Indah

Sebagai seorang mukmin, adalah penting bagi kita untuk menghayati Asmaul Husna atau nama-nama Allah sebagai tanda pengabdian diri kepada-Nya.

Berdasarkan kitab Subul al-Salam, Ayat Kursi memiliki kelebihannya tersendiri. Dalam ayat ini, terhimpun segala nama dan sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-‘Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak).

Melazimkan Ayat Kursi juga dikira sebagai amalan Asmaul Husna dalam kehidupan seharian. Ia juga merangkumi zikir yang baik untuk diamalkan dan disukai oleh Allah.

Kredit Foto : says.com

2. Ayat Yang Paling Agung Dalam Al-Quran

Apa yang membuatkan ayat Kursi dianggap sebagai penghulu segala ayat dan mempunyai kedudukan yang teragung berbanding ayat-ayat lain dalam al-Quran? Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi :

إن آية الكرسي بها عشر جمل كلها ثناء على الله عز وجل، والجملة الأولى «الله لا إله إلا هو» وهي تثبت التوحيد، لا شريك لله

“Sesungguhnya ayat Kursi ini memiliki sepuluh bahagian ayat, kesemua pembahagian ini memuji Allah. Kenyataan pertama dari ayat ini dimulakan dengan nama Allah yang mana ia mengesahkan keesaan Allah dan tiada sekutu bagi Allah.”

Jelaslah di sini bahawa Ayat Kursi baik untuk diamalkan kerana memiliki keistimewaan tersendiri serta merupakan cara baik untuk kita ingat akan kebesaran zat Allah setiap hari.

3. Sebagai Pendinding Diri Daripada Syaitan Sebelum Tidur

Syaitan merupakan musuh yang nyata bagi umat Islam. Sejak ayat ini diturunkan, ia telah menjadi benteng bagi pujukan dan tipu daya syaitan.

Seperti yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a dalam riwayat al-Bukhari, syaitan tidak akan berani mendekati mereka yang membaca Ayat Kursi sebelum tidur.

Maka, biasakanlah diri untuk melafazkan Ayat Kursi sebelum tidur sebagai perlindungan daripada syaitan sehingga kita bangun keesokan harinya.

4. Bagi Melindungi Rumah Daripada Syaitan

Syaitan juga sangat menggeruni rumah yang melazimkan amalan membaca Ayat Kursi seperti yang dijelaskan dalam hadis ini :

فإنه لا يقرأها أحد إذا دخل بيته إلا خرج الشيطان

“Sesungguhnya, seorang yang membaca ayat Kursi setiap kali masuk ke rumahnya, maka syaitan akan keluar dari rumah tersebut.” (Tafsir Ibn Kathir)

Oleh itu, perbanyakkanlah membaca Ayat Kursi ketika berada di rumah bagi melindungi diri dan keluarga daripada hasutan syaitan.

Baca juga: 5 Kelebihan Surah Al Mulk & Kenapa Kita Membacanya Sebelum Tidur

5. Sebagai Batu Loncatan Ke Syurga

Matlamat kita hidup di dunia ini tidak lain hanyalah untuk beribadah dan beroleh pengakhiran yang baik.
Sebagai hamba Allah yang lemah, kita sentiasa berusaha untuk menjadi ahli syurga dengan memperbanyakkan amalan baik.

Amalan membaca Ayat Kursi selepas solat juga merupakan usaha yang baik bagi mengejar syurga Allah. Fadhilat Ayat Kursi dapat dijelaskan berdasarkan hadis di bawah :

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلا الْمَوْتُ

“Barangsiapa yang membaca ayat Kursi setiap kali selesai dari solat fardu, maka tidak ada perkara yang akan menghalangnya untuk masuk ke syurga melainkan kematian. (Iaitu hanya kematian sahaja yang menghalangnya, setelah mati, dia akan mudah ke syurga) (HR al-Nasa’i dan al-Tabrani, dinilai Sahih oleh al-Albani).

kelebihan ayat kursi

Foto Kredit: maxresdefault

Kesimpulan

Walaupun Ayat Kursi pendek dan mudah untuk dilafazkan, ia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah dan mempunyai banyak manfaat buat pengamalnya. Ia dapat menjadi pendinding diri dan keluarga daripada godaan syaitan.

Oleh itu, walau sesibuk mana pun anda dengan urusan dunia, tetapkanlah dalam hati untuk sentiasa amalkan Ayat Kursi di setiap kelapangan yang ada lebih-lebih lagi setelah solat fardhu.

Semoga dengan usaha kita mengutamakan ibadah di dunia ini dapat menjamin kemudahan urusan di akhirat kelak.

Sumber :

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×