Dato Azizulhasni Awang merupakan individu yang sering menjadi contoh dalam bidang sukan atas segala usaha dan semangat beliau dalam bergelar atlet Malaysia kelas pertama. Namun, beliau juga menjadi contoh dalam kalangan suami apabila ramai yang bertanya bagaimana urusan rumah tangga di saat beliau sibuk bersukan.
Ada yang tertanya adakah beliau seorang yang selalu menunjukkan sikap romantik walaupun berjauhan dengan isteri? Jadi, Dato Azizulhasni yang mesra disapa ‘Jijoe’ ini pun berkongsikan tips menjadi suami romantik dan bertanggungjawab di laman media sosialnya.
Baca juga: Risau Suami Ada ‘Skandal’? Ini 10 Perkara Si Isteri Boleh Buat Untuk Kembalikan Panahan Cinta!
SUAMI PERLU ROMANTIK KE? DATO AZIZULHASNI AWANG KONGSI TIPS..
“Sejujurnya saya ni bukanlah romantik mana pun. Kalau nak ikutkan, saya ni komando punya style. Tegas, keras dan hati kering. Pada kebanyakkan masa saya cuba juga untuk imbangkan dengan kelembutan dan tolak ansur terutamanya bila dengan anak-anak. Akan tetapi ada juga waktunya bilamana komando tu terlebih-lebih isipadunya.”
Mengakui dirinya bukan seperti lelaki lain yang kebiasaannya ‘bermulut manis’ sepanjang masa, beliau turut mengalami masalah yang sama iaitu isteri sering merajuk dan minta hadiah manja.
“Isteri saya ni selalu jugak cakap nak tu nak ni, bagi macam-macam hint sampaikan dia selalu juga cakap saya ni tak romantik. Saya pekakkan telinga je lah bila kena sound macam tu. Sebab orang lelaki kan penyabar dan lebih bijak.”
Namun, beliau mengatakan bahawa sikap romantik ini memerlukan teknik tertentu supaya tidak mudah basi. Ada waktu yang boleh bersifat romantik dan ada waktunya tidak perlu. Beliau turut memberi contoh tentang teknik sama digunakan semasa acara berbasikal profesionalnya.
“Seperti acara Keirin, kita kena ada perancangan yang teliti dan penuh dengan taktik untuk menewaskan pihak lawan. Jadi, dalam soal ini, pada percaturan saya, kalau kita selalu sangat over romantik ni, effect dia akan berkurangan. Tak payah pergi jauhlah, dalam penulisan pun tanda seru (!) hanya digunakan pada waktu yang tertentu sahaja. Kalau! Kita! Guna! Terlalu! Kerap! Dia! Akan! Jadi! Sakit! Kepala! Pulak! Kan?!”
“Walaubagaimanapun, we have to give credit when it’s due. Bila sampai waktu dan ketikanya, baru lah saya melakukan henjutan. Bagi saya, it’s all about timing. Bila henjutan dilakukan tepat pada waktunya, pihak lawan tidak dapat mengejar dan tidak sempat untuk memotong kita di garisan penamat, terus kita menjadi pemenang. Faham? Tak faham juga ke?”
BAGI ‘JELINGAN MAUT’, SUAMI KENA TAHU BEZA ROMANTIK DAN KEWAJIPAN
Bak kata Dato Jijoe, lelaki memang susah nak tunjukkan sifat romantis dan lebih gemar untuk simpan dan digunakan pada waktu tertentu sahaja. Bila sekali dua ditonjolkan, pasti isteri akan terkejut dan kejutan sebegini sebenarnya akan membuatkan isteri lebih sayang!
“Baik, bila sampai waktu dan ketikanya, saya akan keluarkan sifat romantis tu. Bukan tak ada, tetapi orang lelaki ni lebih gemar simpan romantik dia dekat hempedu. Bila romantik itu digunakan pada tempat dan waktu yang betul, maka effect dia akan jadi berganda-berganda. Barulah hati si isteri berbunga-bunga. Senyum pun sampai ke telinga. Percayalah nanti si isteri mesti akan bagi ungkapan “romantik juga you ni erk”. Tips saya, bagi jelingan maut, sengetkan sebelah je mulut dan jawab “I malas nak tunjuk je” sambil angkat kening dua kali.”
Sudah semestinya, menjadi seorang suami mewajibkan anda menjadi seorang yang bertanggungjawab dan bukanlah sekadar romantis sahaja. Apa yang perlu ditunaikan dalam Islam perlu dilaksanakan supaya perkahwinan itu mendapat keredhaan Allah SWT.
“Akan tetapi dia ada beda antara romantik dan kewajipan. Romantik tu benda yang si suami boleh play around ikut citarasa. Tetapi kewajipan adalah benda yang telah termaktub dalam hukum. Satu lagi perkara yang penting saya nak kongsi berdasarkan pengalaman peribadi sendiri. Kita ni janganlah nak berkira sangat dengan isteri. Insan yang jaga makan minum kita, mendidik dan besarkan anak-anak kita dan sebagainya. Kalau kita buat semua ini kerana mencari keredhaan Allah swt, nescaya Allah akan melimpahkan dengan pelbagai kebaikan di dunia dan akhirat.”
*Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Al-Baqarah 261)
Sumber: Azizulhasni Awang