Cuti hujung minggu semestinya anda ingin keluar untuk meluangkan masa bersama keluarga atau sahabat handai setelah hampir seminggu bekerja ataupun belajar, terdapat banyak tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur yang boleh dilawati untuk tujuan beriadah, lakukan aktiviti fizikal, ataupun bergambar. Berikut merupakan senarai lima tempat menarik yang boleh anda kunjungi untuk habiskan cuti hujung minggu, manfaatkan cuti anda dengan pergi menikmati keseronokan berjalan di tempat tempat berikut.
5 TEMPAT MENARIK UNTUK DIKUNJUNGI PADA CUTI HUJUNG MINGGU
1. TAMAN EKO RIMBA KL (HUTAN SIMPAN BUKIT NENAS)
Taman Eko Rimba KL dahulu dikenali sebagai Hutan Simpan Bukit Nenas yang merupakan salah satu hutan simpan kekal tertua di Malaysia. Hutan simpan ini meliputi kawasan seluas kira-kira 11,0000 meter persegi dan didirikan pada tahun 1906, menjadikannya satu-satunya hutan hujan tropikal yang masih ada di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan termasuklah berjoging, bersantai di pondok yang disediakan. Terdapat juga tempat berkhemah dan padang permainan yang pastinya akan memberikan kegembiraan kepada pengunjung. Anda juga boleh menemukan pelbagai spesies pokok, herba, buluh dan tanaman menjalar. Apa yang menariknya di situ juga turut terdapat laluan berjalan kaki sepanjang 300 hingga 500 meter. Taman ini sememangnya sesuai untuk seisi keluarga, pasangan dan sahabat handai untuk beriadah dan menikmati hujung minggu.
2. RUMAH TERBALIK KUALA LUMPUR (KL UPSIDE DOWN HOUSE)
Anda akan dapat melihat kereta Morris Minor lama yang terletak di perkarangan rumah ini dengan mata anda sendiri. Barangan dalam serta luar rumahnya yang terbalik akan membuat sesiapa sahaja teruja. Selain daripada sesuai untuk dilawati semua peringkat usia, rumah ini juga sesuai sekali untuk mereka yang suka bergambar jadi anda boleh ambil pelbagai gambar menarik yang menggambarkan anda dalam keadaan terbalik sebagai feed di media sosial anda! Singgahlah ke rumah terbalik yang tertinggi di Malaysia ini bersama tersayang.
3. TUGU NEGARA
Hari Malaysia sudah semakin hampir, bolehlah serapkan semangat patriotik juga dalam diri dengan melawati Tugu Negara. Terdapat tujuh ukiran tembaga manusia yang sebenarnya melambangkan kekuatan, keberaniaan, kesengsaraan, kepimpinan, perpaduan, pengorbanan dan kewaspadaan. Di Tugu Negara ini juga terdapat tarikan lain seperti astaka yang berbentuk bulan sabit, kolam pantulan segi empat yang panjang dengan air pancut. Turut terdapat Cenopath yang mempunyai tulisan bagi memperingati askar-askar yang gugur dalam peperangan. Tugu Negara ini terletak berhampiran dengan Dewan Parlimen dan Taman Tasik Perdana. Jadi, sambil melawat Tugu Negara anda juga boleh berjalan-jalan di Taman Tasik Perdana menghirup udara segar.
4. PASAR SENI (CENTRAL MARKET)
Suatu ketika dahulu dikenali sebagai pasar basah yang kemudian diubah menjadi gerai-gerai menjual kraftangan, di dalam bangunan terdapat beberapa kedai butik, kraftangan dan gerai cenderamata. Terdapat juga ramai peniaga yang menjual barang-barang tempatan seperti cetakan batik asli Malaysia. Pasar Seni terletak di tebing seberang Kompleks Dayabumi dan merupakan bangunan bergaya art-deco dengan hiasan tempatan ‘Baroque’. Anda boleh singgah ke tempat ini dan melihat semula kraftangan Malaysia yang menarik dan mempunyai mutu seni tersendiri. Tingkat dua mempunyai beberapa restoran dan medan selera yang menyajikan masakan Asia. Pasar Seni sering menjadi tuan rumah kepada pelbagai vendor yang memberikan barang-barang terbaik mereka semasa festival tahunan yang berwarna-warni dan menarik di negara ini. Contohnya, semasa perayaan Hari Raya, penjual akan menjual pelbagai jenis kuih dan makanan ringan. Terdapat juga ‘Jonker Street’ Melaka, kawasan Pusat Pasar yang kelihatan seperti rumah khas Baba-Nyonya dengan perabot gaya Peranakan yang turut dijual.
5. Muzium Seni Ilusi 3D (Illusion 3D Art Museum)
Luangkan hari minggu anda dengan melihat lukisan yang besar di sekeliling dinding dan lantai dalam muzium ini dan pastikan bateri telefon juga penuh supaya anda boleh bergambar dengan pelbagai senario 3D yang ada seperti berjumpa demgan zombi ataupun selebriti, haiwan eksotik, tebing-tebing berbahaya yang kelihatan sangat realistik. Muzium Seni Ilusi 3D mempamerkan 38 lukisan yang dilukis dengan tangan. Terdapat studio interaktif yang menayangkan lima video pendek antaranya hidupan zaman dinosaur di darat dan laut jadi pengunjung boleh berinteraksi dengan animasi video tersebut yang dibangunkan di sebuah studio terkenal di London, United Kingdom.
Jauh perjalanan, luas pemandangan. Selamat berhujung minggu!