Antara masalah terbesar nak handle masa Hari Sukan atau event di sekolah adalah sampah.
Selalunya waktu acara begini memang banyak sampah yang kita buang. Biasalah sebab cuaca panas, minum air saja dah berapa kali guna banyak gelas plastik. Itu pun belum masuk perangai sesetengah spesis yang suka buang merata-rata.
Memang kesian dekat cikgu dan pegawai bertugas yang kena kutip semua sampah ni…
Inisiatif Bring Your Own Oleh SKJT Sungai Ara
Menurut posting mereka di Facebook, SKJT Sungai Ara di Pulau Pinang baru-baru ini telah berjaya mempraktikkan tema BYO (Bring Your Own) ketika hari sukan yang berlangsung 27 Julai lalu.
Berbeza dengan biasa, pihak sekolah telah mewajibkan setiap pelajar dan guru agar membawa sendiri bekas makanan, bekas minuman, cawan, pinggan serta peralatan makanan seperti sudu dan garfu.
Ini adalah bagi mengurangkan pembuangan sampah dan penggunaan plastik yang tidak sepatutnya.
Menariknya, walaupun dengan tindakan yang kita nampak kecil ni – ia sebenarnya telah memberi impak yang besar kepada pihak sekolah serta para pelajar itu sendiri.
Berikut adalah antara gambar yang dimuatnaik oleh pihak sekolah pada hari kejadian.
Makanan tidak diagihkan dalam polisterin atau plastik, sebaliknya diagihkan terus kepada pelajar menggunakan bekas makanan masing-masing.
Masing-masing makan daripada bekas sendiri.
Cikgu-cikgu pun turut serta dengan membawa bekas makanan masing-masing.
Air diisi di stesen menggunakan bekas minuman atau cawan sendiri.
Nampak bersih je kan? Selalunya dekat sini dah berlonggok-longgok cawan plastik dan sampah.
Hasilnya?
Tiada sampah-sarap yang perlu dikumpulkan di akhir acara!
Tindakan Yang Nampak Kecil, Tapi Beri Impak Besar
Wah, respek betul… Bukan saja memudahkan kerja, tapi ia juga dapat menanamkan sifat mesra alam serta memupuk budaya cintakan kebersihan pada para pelajar.
Kita sendiri pun tahu bahawa plastik-plastik serta polisterin yang kita biasa gunakan ni sebenarnya memakan masa beratus tahun lamanya untuk dilupuskan. Tengok sajalah apa yang sedang berlaku pada haiwan di lautan seperti penyu dan ikan paus yang mati gara-gara termakan sampah yang kebanyakannya terdiri daripada plastik.
Jadi, apa yang diusahakan oleh sekolah ini amat membanggakan dan patut dicontohi oleh kita agar lebih prihatin terhadap alam sekitar.
Bagus kan kalau setiap acara begini?
*Sumber: SJKT Sungai Ara