Sihat

Anak Saya Lambat Bercakap, Rupanya Sebab Tongue-Tie

3K
SHARES
anak speech delay

Berdasarkan kajian, purata anak  mula bercakap ialah pada sekitar umur satu tahun ke atas. Sesetengahnya lebih cepat dan sedikit lambat, bergantung kepada perkembangan anak masing-masing. Walaubagaimanapun, terdapat juga sesetengah anak yang masih belum boleh menuturkan sebarang perkataan walaupun setelah melebihi usia 3 tahun. Selain disebabkan oleh faktor luaran, punca anak speech delay ini mungkin juga berasal daripada faktor semulajadi seperti genetik atau kesihatan.

Perkongsian kali ini adalah merupakan pengalaman Puan Nurzafirah Mat Zin yang mempunyai anak speech delay. Beliau sungguh tidak menyangka bahawa ia berpunca daripada masalah tongue-tie, yang mulanya dikesan pada adiknya.

Sebelum kita mengikuti perkongsian lebih lanjut, ketahui dahulu serba sedikit tentang tongue-tie.

Apakah Tongue-Tie?

Menurut BabyCenter, istilah perubatan yang menerangkan masalah tongue-tie ini adalah ‘ankyloglossia’. Ini terjadi ketika bahagian frenulum (lapisan yang menghubungkan bahagian bawah lidah dengan mulut) terlalu pendek dan tebal. Akibatnya, gerakan lidah menjadi terbatas. Ia melibatkan 4% hingga 11% bayi.

anak speech delay

Foto Kredit: usedhamilton.com

Berbalik kepada kisah Puan Nurzafirah tadi, beliau pada asalnya tidak pernah mengesyaki bahawa keterlewatan bercakap pada anak sulungnya mempunyai perkaitan dengan masalah tongue-tie. Hanya selepas si adik didiagnos dengan tongue-tie (akibat sukar menyusu), barulah mereka perasan masalah yang sama turut dialami oleh abangnya.

Ikuti perkongsian beliau selanjutnya di bawah.

Masalah Penyusuan Pada Si Adik

Anak sulung saya, Salahuddin tak boleh bercakap lagi ketika berumur 2 tahun. Apabila detect si adik ada tongue-tie baru perasan yang si abang juga ada masalah yang sama.

Kami agak lambat dalam mengesan Salahuddin  yang mempunyai masalah tongue-tie. Kebetulan, selepas kami berjumpa seorang konsultan laktasi. Asalnya tujuan perjumpaan tersebut adalah untuk mendapatkan rundingan nasihat tentang masalah yang saya hadapi ketika menyusu anak kedua kami, Nailah. Ketika umur Nailah lima hari, saya dan suami nekad berjumpa Puan Kamariah di SusuIbu.com untuk mendapatkan khidmat nasihat secara terperinci tentang penyusuan bayi.

Kegagalan dalam penyusuan penuh untuk anak sulung menjadikan saya begitu bersemangat untuk menyusukan anak kedua saya secara sepenuhnya jika diizinkan Allah dan suami. Alhamdulillah, suami saya menyokong penuh hasrat saya dan segala persediaan untuk penyusuan penuh telah kami lakukan sebelum saya mengandung lagi.

Namun, pembacaan teori (buku dan Internet) sahaja tidak cukup bagi saya. Saya perlukan pengetahuan praktikal juga. Oleh sebab itu, pelaburan saya dan suami dalam berjumpa konsultan laktasi adalah tidak sia-sia dan saya rasakan sangat berbaloi. Puan Kamariah mendengar setiap permasalahan saya, menunjuk demonstrasi pelekapan bayi pada aerola dengan cara yang betul. Beliau turut melakukan pemeriksaan ringkas terhadap keadaan mulut Nailah ketika dia menyusu.

Si Adik Disahkan Tongue Tie Type II

Rupa-rupanya, kesukaran Nailah untuk melekap dengan betul serta berat badan berkurangan (walaupun dia mengempeng hampir setiap masa di awal kelahiran) adalah disebabkan Nailah mempunyai masalah tongue-tie. Masalah ini boleh menggangu proses penyusuan bayi dan boleh menyebabkan luka pada puting ibu jika tidak dirawat segera.

Setelah diperiksa, Nailah disahkan mengalami tongue-tie type II dan Puan Kamariah terus membuat surat rujukan untuk Nailah menjalani prosedur tongue-tie release di sebuah klinik pakar kanak-kanak di Klang. Dan Alhamdulillah, Nailah telah selamat menjalani prosedur ini ketika umurnya sebulan.

Tanpa bius, prosedur yang tidak sampai dua saat ini tidak mengeluarkan setitis darah pun. Mungkin juga disebabkan tisu tali di bawah lidah itu masih lembut. Alhamdulillah sekarang Nailah lebih selesa dalam penyusuan kerana dia boleh melekap penuh pada aerola. Dengan izin Allah, saya berjaya menyempurnakan penyusuan penuh kepadanya sehingga sekarang.

Ini contoh gambar sebelum dan selepas prosedur dijalankan.

Teringatkan Kes Yang Sama Pada Si Abang

Berbalik kepada kisah Salahuddin, kami terus teringatkan bentuk lidah Salahuddin ketika dia buka mulut atau menunjukkan lidahnya. Jika kami suruh dia keluarkan lidah, memang akan nampak seakan bentuk v dihujungnya. Sah, Salahuddin juga mengalami masalah yang sama.

Allahuakbar. Patutlah selepas dilahirkan Salahuddin mengalami kesukaran dalam penyusuan badan. Dia sukar melekap dan meronta menangis-menangis ketika menyusu badan. Saya fikir susu badan saya yang tidak dapat memenuhi kehendaknya, rupanya telahan saya silap.

Si Abang Juga Disahkan Mengalami Tongue-Tie

Dalam kes Salahuddin, dia mengalami Type I-Total Tip Involvement. Talinya sangat hujung di bawah lidah. Kami terus merujuk Salahuddin ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Alhamdulillah ujian pendengaran yang dilakukan menunjukkan Salahuddin tidak mempunyai masalah pendengaran, cuma kosa katanya sangat terhad dan pertuturannya masih belum boleh lancar kerana dia tak boleh gerakkan lidahnya secara maksima. Nak sebut sesetengah huruf pun Salahuddin masih tidak boleh.

Anda boleh bayangkan keadaaannya begini: Masukkan lidah dalam mulut, jangan gerakkan lidah, dan cuba bercakap. Boleh? Sukar dan mungkin juga tak boleh. Begitu juga dengan keadaan Salahuddin pada ketika itu. Pergerakan lidahnya sangat-sangat terhad dan ketat. Allahuakbar.

Maafkan Ummi Baba ye Salahuddin. Ummi Baba tak tahu tentang masalah ini sejak dari dulu. Bila kenang-kenang balik, nak menitis air mata pun ada. Kalaulah kami berjaya kesan masalah ini dari dulu, mungkin Salahuddin berjaya menyusu penuh susu badan selama dua tahun (saya telah campur susu formula sejak awal kelahirannya lagi sebab risau susu tak cukup dan mungkin juga ilmu penyusuan yang cetek). Mungkin juga Salahuddin dah boleh bercakap lancar pada usia 2 tahun.

Tapi apakan daya, setiap yang berlaku pasti akan ada hikmahnya. Alhamdulillah, Allah dah tunjuk jalan kepada kami. Walaupun lambat dikesan (ketika umur Salahuddin dua tahun), sekurang-kurangnya Ummi dapat menyusu penuh adik Salahuddin kali ini.

Ummi Baba tak mahu salahkan takdir. Perjalanan ini Allah yang aturkan dan sebaik-baik perancangan adalah perancangan dariNya. Cuma sekarang usaha kami adalah untuk Salahuddin adalah untuk mencari altenatif dan berusaha membantu Salahuddin agar boleh cepat bercakap dan juga lancar (masalah tongue-tie juga boleh mengganggu pertuturan seseorang dan mengakibatkan anak speech delay.

Prosedur Tongue Tie Release Berjaya, Percakapan Makin Lancar

Salahuddin telah menjalani prosedur tongue-tie release di  PPUKM . Walaupun ini merupakan prosedur yang mudah (minor), namun bagi kami sebagai ibu bapa yang tidak pernah berhadapan dengan pembedahan anak,  ia tetap satu prosedur yang penting.  Faktor usia yang dah besar, menyebabkan pesakit perlu dibius untuk mengelakkan dia meronta-ronta ketika prosedur dijalankan. Salahuddin masuk wad jagaan harian dan keluar pada hari yang sama setelah prosedur dijalankan.

Alhamdulillah, sekarang anak saya dah lancar percakapannya dan sudahpun discharge daripada speech therapy. Kami pergi sebanyak 3 kali di Hospital Serdang.

anak speech delay

Banyak hospital menawarkan khidmat sesi terapi di Malaysia. Ini antara aktiviti yang dilakukan semasa sesi terapi. / Foto Kredit: autism.ideas.org.my

Jangan Bertangguh Jika Anak Lambat Bercakap

Nasihat saya, jangan bertangguh jika anak kita lambat bercakap. Mungkin ada masalah. Tidak semestinya anak speech delay itu autisme atau sebaliknya. Rujuk pada yang pakar.

Macam kes saya, saya dapatkan surat rujukan (referral letter) dari Klinik Kesihatan terlebih dahulu. Kemudian rujuk ke Paediatrik di PPUKM. Semua assessment dijalankan di PPUKM. Cuma speech therapy saya minta di Hospital Serdang sebab lebih dekat dengan tempat kerja saya.

Selain ganggu penyusuan susu ibu, tongue-tie juga boleh menjadi punca anak speech delay. Anak-anak mungkin mengamuk sebab dia tak boleh sampaikan apa yang dia nak. Selain assessment dari doktor, sama-samalah juga periksa keadaan mulut anak kita ya.

Semoga perkongsian ini bermanfaat, InshaAllah.

*Artikel tentang anak speech delay dan tongue-tie ini dikongsikan oleh Puan Nurzafirah Mat Zin. Ia diterbitkan semula dengan kebenaran beliau. Untuk menghubungi beliau atau mendapatkan lebih banyak perkongsian, boleh follow blog atau Facebook peribadinya di sini.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×