Bersalin

DIY Tungku Bayi Ekspres Yang Sangat Mudah & Banyak Khasiatnya

137
SHARES
cara buat tungku bayi

“Asyik meragam je anak aku ni. Lampin dah tukar, dah mandi, menyusu pun dah. Kembung agaknya. Kena tuam kot perutnya ni?”

Penggunaan tuam atau tungku bayi memang dah lama dipraktikkan dalam masyarakat kita. Ia dipercayai dapat menghangatkan tubuh bayi selepas mandi, mengurangkan kembung serta mengelakkan angin pasang bagi bayi lelaki.

Dalam artikel kali ini, kami berbesar hati kerana Puan Yatie Eimra sudi untuk berkongsi cara membuat tungku bayi secara DIY di rumah. Ia memang mudah dibuat dan sangat membantu memberi keselesaan pada anaknya. Menurutnya, anaknya yang berusia 7 bulan mempunyai masalah sawan tangis akibat terlalu kerap kembung dan selama 7 bulan itulah beliau kerap menggunakannya setiap hari.

Mari kita tengok cara DIY tungku bayi selengkapnya di bawah ini.

DIY Tungku Bayi Ekspres Yang Sangat Mudah & Banyak Khasiatnya

Macam-macam bahan yang boleh digunakan untuk membuat tungku bayi ni. Tapi yang selalu saya buat ini hanya menggunakan 2 bahan utama. Herba-herba lain boleh digunakan sebagai tambahan supaya tungku lebih efektif.

Hanya 2 Bahan Utama

i. Bahan Pemanas

Semua bahan pemanas seperti pasir pantai, debu tanah, garam atau beras boleh menyerap dan menyimpan haba apabila dipanaskan. Ia berfungsi mengekalkan suhu panas tungku bayi agar tahan lebih lama. Jadi mudahlah ibu-ibu sebab tak perlu panaskan tungku dengan terlalu kerap.

Gunakanlah bahan yang ibu-ibu mudah dapat. Masa berpantang dulu saya tinggal di rumah mak, jadi debu tanah (tanah yang halus) memang mudah dapat. Tapi sekarang saya gunakan garam saja.

ii. Herba Untuk Singkirkan Angin

Pilihan herba yang diletakkan di dalam tungku ini memang ada banyak variasi. Ada yang gunakan lada hitam, habbatussauda, halba, biji sawi, jintan, biji ketumbar dan macam-macam lagi.

Tapi selalunya saya hanya gunakan lada hitam sebab itu saja bahan yang sentiasa ada di dapur. Tapi kali ni saya tambahkan rempah campur (untuk masak kari tu) sebab dah ada campuran halba, biji sawi & jintan di dalamnya.

Cara Buat Tungku Bayi Ekspres

  • ½ cawan garam
  • 2 sudu makan lada hitam
  • 1 sudu makan rempah campur (optional)
  • Kain perca / stokin / baju lama anak untuk dijadikan bunjut

1. Panaskan

Mula-mula, campur semua bahan. Panaskan selama 5-7 minit diatas dapur hingga panas & naik baunya.

Boleh juga panaskan bunjut tungku dengan seterika jika suka, tapi suhunya tak betul-betul sekata dan rasa panasnya juga tak tahan lama.

2. Sediakan Kain

Selepas dipanaskan, curahkan bahan tadi ke atas kain perca atau baju lama anak (lengan panjang) untuk diikat sebagai bunjut.

Boleh juga lapiskan kain dengan daun sirih atau daun mengkudu sebelum curahkan campuran yang dihangatkan tadi ke atas kain.

3. Ikat

Akhir sekali, boleh ikatkan dengan kemas.

Saya tak ikat mati sebab lebih suka buka dan panaskan balik campuran garam tadi dalam kuali bila nak digunakan.

*Boleh tengok gambar cara saya ikat tungku bayi ini menggunakan baju bayi terpakai.

Tinggikan bahagian bawah/kaki baju

Pegang bahagian leher baju seperti gambar di atas (pastikan kedudukan bahagian bawah baju tadi lebih tinggi dari bahagian leher). Ikat kedua-dua lengan baju ke belakang.

cara tuam bayi

Ikat dengan kemas supaya garam tak terkeluar.

Tarik bahagian lengan baju ke depan & ikat sekali lagi untuk kemasan.

4. Simpan

Untuk garam dan beras, tak disarankan simpan dalam kain sebab garam dan beras boleh menyerap kelembapan. Kalau lama terbiar, takut garam akan jadi lembap dan beras akan berkulat.

Jadi, seeloknya simpankan campuran garam atau beras dalam bekas bila tak digunakan dalam tempoh yang lama.

Cara Tuam Bayi Dengan Tungku

*Sebelum tuamkan pada bayi/anak, pastikan lapik dengan kain (atau alas dengan baju) supaya tak terlalu panas.

*Pastikan tungku dah suam (cuba rasa kepanasannya pada bahagian atas tangan sendiri dahulu) sebelum tungku secara terus atas kulit anak.

*Petua untuk elakkan masalah angin pasang bagi bayi lelaki, setiap kali lepas mandi tuam bahagian alat kelamin anak untuk elakkan bahagian tersebut sejuk (pastikan tungku suam/berlapik kain). Tekapkan sekejap tungku bayi di bahagian ari-ari dan sekitar kawasan alat kelamin (dari bahagian bawah kemaluan dan tolak menghala ke atas dengan perlahan). Buat selama 2-3 minit. Kemudian tuamkan perut dan tapak kaki selama 3-5 minit.

*Bagi masalah anak kecil yang cirit-birit tanpa henti, boleh juga tuam bahagian perut dan bahagian punggung untuk hangatkan badan anak. Diikuti kawasan peha dan tapak kaki.

Juga Boleh Digunakan Oleh Ibu Lepas Bersalin

Tungku begini ringan dan juga sesuai digunakan untuk ibu-ibu yang bersalin secara ceaser untuk bantu cepatkan proses kecutkan rahim dan kurangkan angin dalam badan.

Saya dulu bersalin secara ceaser sebab fetal distress. Saya gunakan tungku yang sama (gandakan sukatannya) dan tambahkan daun sirih/mengkudu jika ada untuk tungku bahagian perut (elakkan tungku kawasan luka ceaser).

Mudah saja, kan?

Selamat mencuba.

 

**DIY tungku bayi ekspres ini dikongsikan oleh Puan Yatie Eimra dan ia telah diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk lebih banyak perkongsian dan tips menarik, follow beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×