Bersalin

5 Sebab Jangan Pandang Sebelah Mata Pada Ibu Yang Bersalin Caesar

6.1K
reads

“Untunglah dapat bersalin Caesar. Bersalin normal sakit tau, lagi-lagi masa ‘contraction’. Kalau bedah, tak sedar apa-apa. Tahu-tahu je ‘baby’ dah lahir kan?”

Mungkin komen-komen ini antara yang biasa didengar oleh ibu yang melahirkan bayi secara pembedahan. Sama ada mereka sekadar ‘bergurau’ atau benar-benar maksudkannya, mentaliti sebegini tidak sepatutnya menjadi norma dalam masyarakat.

Ini kerana, tak kiralah apa pun cara bersalin yang dilalui, masing-masing mempunyai risiko dan cabarannya yang tersendiri.

5 Cabaran Bersalin Caesar Yang Ramai Tak Faham

Berikut adalah antara cabaran bersalin caesar yang mungkin tak ramai tahu.

1. Pembedahan Itu Sendiri Dah Cukup ‘Menakutkan’

Menyediakan mental dan fizikal untuk pembedahan Caesarean bukanlah semudah yang anda sangkakan. Malah, setiap pembedahan sebenarnya mempunyai risiko tertentu seperti komplikasi darah beku, lekatan, dan kesan sampingan daripada pembiusan.

Berbeza dengan persalinan normal juga, kemungkinan besar pasangan tidak dapat menemani ibu buat masa yang lama terutamanya jika mereka tergolong dalam kategori berisiko. Maka, ibu-ibu ini sebenarnya telah memberanikan diri dengan apa jua yang bakal berlaku demi melahirkan bayi tercinta.

Proses kelahiran bayi

Foto Kredit: theguardian.co.uk

2. Kesakitannya Mungkin Berkali Ganda

Mungkin ada sesetengah wanita yang telah dinasihatkan untuk menjalani pembedahan Caesar atas faktor kesihatan yang spesifik. Namun, ada juga wanita yang perlu bertarung dengan kesakitan semasa kontraksi sebelum diputuskan agar menjalani pembedahan.

Bahkan, ada pula yang dah kena ‘induce’  dan terpaksa pula menanggung kesakitan luka pembedahan ’emergency’ yang terpaksa dijalankan pada saat-saat akhir. Bukankah ini berkali ganda lagi sakit daripada bersalin normal?

epidural semasa bersalin

Foto Kredit: verywell.com

3. Masa Pemulihan Lebih Lama

Selain pembedahan yang menakutkan, satu lagi cabaran yang perlu dilalui adalah kesakitan yang dialami selepas pembedahan.

Berbanding persalinan normal, rasa sakit pada bahagian luka pembedahan dan rasa tidak selesa pada bahagian perut dan belakang mungkin akan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.

4. Lagi Banyak Kena Pantang

Menjaga luka bersalin akibat pembedahan memerlukan perhatian khusus kerana biasanya tempoh pemulihannya lebih lama. Macam-macam cara perlu diusahakan untuk mandi, mengelak luka daripada bernanah, dan menjaga pemakanan.

Kalau dah kena demam, memang takut nak bersin, batuk, sekalipun berdehem. Peritnya!

Persediaan bersalin

Foto Kredit: oshesakura

5. Berisiko Untuk Kehamilan Seterusnya

Sekali kita dah bersalin secara operation, kebarangkalian untuk melahirkan secara normal (VBAC) adalah lebih rendah. Ini kerana terdapat  risiko kecil di mana bekas luka pembedahan akan terbuka (uterine rupture). Sungguhpun ia sangat jarang berlaku, ia amat merbahaya dan boleh mengancam nyawa.

Menurut BabyCenter, pembedahan Caesarean juga meningkatkan sedikit risiko mengalami plasenta previa dalam kehamilan yang akan datang.

hamil anak kedua

Foto Kredit: healthline.com

Ternyata, Ia Bukan Sesuatu Yang Mudah!

Percayalah, jika diberi pilihan tentunya semua ibu mahu melahirkan bayi secara normal tanpa melibatkan pembedahan. Jadi, janganlah kita memberi tanggapan buruk kepada mereka yang melalui pembedahan Caesar.

Yang pasti, setiap ibu akan melalui pengalaman getir semasa bersalin. Walau apapun kaedahnya, janganlah kita sesekali memperkecilkan pengorbanan mereka ya!

Yang Popular

To Top