Pantang

Lebih 3 Jam Dalam Bilik Bersalin, Usus Melekat Akibat Makan Pati Ikan Haruan

26.6K
SHARES

“Eh, bukankah pati ikan haruan dan gamat terkenal dengan kuasa penyembuhan yang bagus? Kenapa pula ibu bersalin pembedahan tak boleh makan? Apa bahaya gamat dan pati haruan ni?”

Di Malaysia, gamat dan pati haruan amat popular dan sering digunakan dalam pelbagai tujuan kesihatan, terutamanya untuk menyembuhkan luka. Namun, mungkin ramai yang masih belum mengetahui bahawa kedua-dua bahan ini tidak seharusnya diamalkan secara berlebihan, terutamanya bagi ibu yang sedang berpantang.

Untuk mengetahui lebih lanjut, di sini kami kongsikan sebuah kisah yang diceritakan oleh Puan Nor Farra Farihan tentang pengalaman ngeri beliau.

Kisah Ngeri Usus Melekat Akibat Makan Pati Ikan Haruan

Sayangku Muhammad Umar Dhiaurrahman, baby dah setahun sekarang walaupun lambat Mama ‘wish’, Mama nak ceritakan pengalaman yang boleh dijadikan panduan untuk ibu-ibu yang bersalin secara Caeser. Bila diingatkan semula, rasa nak menangis dan rasa besarnya kekuasaan Allah swt menyelamatkan nyawaku.

Anakku Umar lahir secara Caeser. Ini bukannya kali pertama. Tapi, dah 3 kali Mama melahirkan – 2 kali secara pembedahan dan sekali secara normal. Kakak Batrisyia bersalin Ceaser sebab ‘jalan’ lambat terbuka, Kakak Ardini bersalin normal tapi tak cukup bulan, Adik juga melalui Caeser kerana saiz terlalu besar, 4.3 kg. Maka, baby Umar kena paksa juga sebab dah 2 kali bersalin secara Caeser. 

Walaupun diberi bius, pernah tak ibu-ibu di luar sana rasa sakit sangat semasa pembedahan dijalankan? Saya mengalami situasi begitu.

Pembedahan Bermula

Saya masuk bilik pembedahan sekitar jam 4 petang. selepas bersalaman minta maaf dengan suami dan ‘call’ Mak Ayah di kampung. Saat ditolak masuk ke bilik pembedahan, terasa dunia ini begitu kecil. Terdetik dalam hati, adakah selepas ini aku masih hidup untuk melihat anak-anakku membesar? Nurse lap air mata saya, “Jangan menangis, nanti emosi Puan terganggu. Ingat Allah swt saja, kejap lagi baby nak keluar. Moga Dia permudahkan,” katanya.

Selepas bius, sekitar jam 5 petang pembedahan pun bermula. Doktor pakar memberitahu bahawa dia akan menjalankan pembedahan pada tempat yang sama ketika pembedahan Caesar yang lalu. Nurse bagi minum ubat, tetapi saya terus muntah selepas menelannya mungkin kerana ‘angin’ perut kosong. Apabila nak ‘operation’, kita kena berpuasa. Jadi, saya berpuasa dari malam lagi.

Bermulanya pembedahan, saya dapat menghidu bau hangit pisau sedang membelah perut. Zikir dan bacaan ayat suci Al-Quran sentiasa bermain di bibir.

Komplikasi Semasa Pembedahan

Semasa tengah berlangsungnya pembedahan, doktor pakar itu behenti. Katanya, “Puan tunggu sekejap ya, saya tak dapat teruskan sebab tempat Puan ‘operate’ dulu ni melekat-lekat antara dinding rahim dan usus.” Lantas, doktor pakar tadi menyuruh nurse untuk memanggil doktor pakar yang lebih senior. Masa ini dah setengah jam pembedahan berjalan.

Dalam hati saya hanya berdoa agar diselamatkan nyawa anakku walaupun nyawa aku tidak panjang. Ya Allah, anak ini hadiah keempat untuk suami tersayang. Tunggu dalam 10 minit, doktor pakar itu pun datang dengan kelam-kabut. Kasihan saya tengok dia berlari untuk selamatkan pesakit. Dia datang dengan senyuman sambil membisikkan ke telinga saya, “Sabar ya Puan, zikir banyak-banyak ingat Allah.” Lalu dia mulakan dengan lafaz Bismillah.

Apabila sejam berlalu, usaha mengeluarkan bayi masih belum berhasil. Tiba-tiba, saya rasa sakit sangat semasa doktor menekan-nekan perut saya untuk keluarkan bayi. Saya sedaya upaya sabar menanggung sakit. Ya Allah, Ya Allah. Saya dah tak boleh nak tahan dan saya menjerit minta tolong. “Tolong doktor, tolong saya… Saya rasa sakit sangat…” 

Saya merayu doktor tambahkan ubat bius untuk membantu kurangkan rasa sakit yang tak tertanggung ini. Tapi doktor pakar bius memberitahu saya, bahaya kalau bius ditambah lagi. “Puan sakit sangatkah?” tanya doktor. “Ya doktor, tolonglah doktor. Saya tak boleh tahan lagi doktor. Sakit sangat ni…” jawab saya sambil menangis.

Akhirnya pakar bius bersetuju beri saya pakai oksigen dan masukkan ubat pelali.

Akhirnya Semuanya Selamat

Tiba-tiba saya rasa tak sedar diri dan hanyut. Akhir sekali saya menyebut, “Ya Allah, Ya Allah”. Saya rasa seperti saya sedang tidur. Saya tak dapat buka mata, tapi saya masih dapat merasakan kesakitannya.

Apabila saya sedar, saya nampak nurse sedang mengangkat bayi keluar untuk dimandikan. Jam ketika itu menunjukkan pukul 8 malam. Saya mengucap syukur pada Allah kerana masih hidup melihat anak-anak membesar. Ya Allah, lamanya proses mengeluarkan bayi kali ini. Hampir 3 jam lebih. Berbeza dengan pembedahan lalu yang hanya mengambil masa kurang daripada 1 jam.

Bahaya Pati Ikan Haruan Selepas Bersalin Pembedahan

Doktor tanya saya, “Puan ada makan pati haruan atau ikan haruan masa berpantang anak yang lepas?”

“Ya, saya makan selama 2 minggu pertama,” jawab saya.

Doktor memberitahu bahawa saya mengalami (adhesion colic) di mana usus-usus melekat-melekat akibat pembedahan yang lalu. Doktor kata, nak ambil boleh tapi selepas sebulan. Itupun, dengan kuantiti yang sederhana. Barulah saya tahu pati haruan memang tak digalakkan untuk ibu yang bersalin Caeser kerana kepekatannya boleh menyebabkan adhesion colic yang dialami tadi.

Bagi ibu yang bersalin secara normal, memang sangat baik makan pati haruan sebab penyembuh luka yang sangat cepat. Tapi, bila ‘operate’ minta tolong jangan makan pati haruan. Sangat bahaya, takut jadi seperti saya. Dinding rahim melekat-lekat dengan usus perut. Tempoh pembedahan yang sepatutnya singkat boleh memakan masa yang lama dan ianya sangat menyakitkan hingga tak boleh nak digambarkan.

Sepanjang saya mengandung pun saya seringkali sakit perut atau cramp. Apabila bayi makin besar, makin kuat saya cramp. Rupanya cramp itu disebabkan perlekatan yang melibatkan saraf apabila kita duduk, bangun, dan berjalan.

Walau apa pun, semua ini berlaku kerana ada hikmah yang berjuta Allah berikan. Mama doakan Umar menjadi pejuang Islam yang Allah swt cintai.

pati ikan haruan

Bersederhanalah Dalam Mengamalkan Sebarang Jenis Makanan

Begitulah tadi perkongsian Puan Farra. Semoga ia memberi pencerahan kepada ibu-ibu di luar sana. Mungkin lain orang, lain juga penerimaan badannya. Namun kesimpulannya, amat penting menekankan kesederhanaan dalam mengamalkan sebarang jenis pemakanan.

Dalam sebuah artikel, Dr. Rama Krishna Kumar, Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Columbia Asia Bukit Rimau ada menyatakan bahawa produk-produk seperti pati ikan haruan dan gamat tidak boleh diamalkan secara berlebihan kerana ia boleh menyebabkan keloid, iaitu pertumbuhan tisu-tisu yang tumbuh berlebihan pada kulit bekas luka.

Memetik kata-kata Dr Hana Hadzrami melalui salah satu artikel beliau di laman Facebook Medical Mythbuster Malaysia, “Biarkan luka bedah pulih dengan sendiri. Usah ambil pati ikan haruan, pati gamat dan sebagainya. Anda manusia, bukan haruan atau gamat. Jadi memanglah pemulihan akan mengambil masa. Penggunaan suplemen tersebut hanya menyebabkan luka dalaman pulih secara huru-hara dan melekat-lekat dengan organ lain.” 

 

 

*Perkongsian asal oleh Puan Nor Farra Farihan melalui Facebook ini diterbitkan semula dengan kebenarannya.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×