Kanak-kanak yang dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dinasihati agar tidak mengambil makanan dan minuman panas bagi membantu merawat ulser dalam mulut.
Perkara ini dikongsi sendiri oleh pengamal perubatan, Dr Hanafi Yahya, 38, yang menjelaskan agar kanak-kanak mempunyai ulser di dalam mulut akibat HFMD diberikan makanan dan minuman sejuk.
Baca juga: Tak Ada Selera & Mulut Penuh Bisa Air, Ini 4 Jenis Makanan Untuk Anak Terkena HFMD
ANAK DIJANGKITI HFMD KENA ELAK MAKANAN & MINUMAN PANAS
Selain gejala seperti demam, ada juga ruam berisi air atau ‘vesicle’ pada tangan, kaki, mulut dan lidah yang menyebabkan kanak-kanak dijangkiti HFMD kurang selera makan disebabkan ulser dalam mulut, lapor BH Online.
“Jika ada keperluan, doktor akan beri ubat anti viral kepada pesakit. Jika pesakit kekurangan air dalam badan, perlu dibawa ke hospital untuk dimasukkan air dalam badan,” jelasnya.
Dr Hanafi yang juga merupakan pengasas DOCMOVE, menasihatkan ibu bapa atau penjaga peka dengan keadaan semasa anak-anak dan perlu membawa mereka mendapatkan rawatan secepat mungkin jika mempunyai gejala simptom HFMD.
DOCMOVE adalah perkhidmatan doktor bergerak dari rumah ke rumah bagi memberi peluang penduduk luar bandar mendapatkan rawatan, pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat tanpa perlu ke klinik atau hospital.
“Pesakit HFMD perlu kuarantin di rumah selama tujuh hari, dan jangan sesekali dibawa ke tempat tumpuan ramai bagi mengelak atau mencegah penularan. Ibu bapa atau penjaga juga perlu main peranan bagi mengelak anak-anak dijangkiti.
“Apabila pulang ke rumah, bersihkan diri dan tukar baju terlebih dulu kerana orang dewasa berisiko menjadi pembawa virus dan menyebarkan kepada anak-anak,” kata Dr Hanafi.
Sumber: BH Online