Asuh

Sabar Mama, Ini 8 Cara ‘Halus’ Nasihatkan Anak Yang Susah Ditegur

0
reads

“Aduh, sakitnya terpijak mainan ni. Dah berapa kali cakap suruh kemas balik lepas main. Penat kita cakap dengan dia, asyik nak kena ingatkan. Kalau marah pun, dia buat tak tahu je…”

Bila ada anak-anak yang tengah lasak dan aktif, rasa macam habis air liur kita bila asyik kena pantau mereka. Lumrah kanak-kanak memang lebih selesa ‘bebas’ dalam dunia mereka sendiri. Kita tak boleh anggap mereka berdisiplin macam orang dewasa sebab mereka masih belum faham banyak perkara. Tapi sebagai ibu bapa, kita kenalah tegur kalau anak ada buat silap.

Persoalannya macam mana nak tegur anak supaya teguran itu sampai ke dalam lubuk hati mereka? Bukan sekadar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Kadang-kadang kita cakap, mereka ‘buat muka’. Ada pula yang merajuk dan terus menangis. Pening, pening..

Berikut adalah antara perkara yang perlu kita ingat dan praktikkan untuk memberi teguran yang lebih positif serta efektif kepada anak.

8 Cara ‘Halus’ Nasihatkan Anak Yang Susah Ditegur

1. Tegur Secara Sembunyi

Walaupun kita merasakan anak kita hanya seorang budak, tapi ketahuilah bahawa mereka juga sensitif. Mereka pun faham perasaan malu atau sedih apabila kita menegur mereka di depan orang lain walaupun adik-beradik sendiri.

Jadi, jagalah air muka mereka dan seeloknya cakap dengan perlahan dan cuba cari tempat tersorok untuk bercakap dengannya secara personal. Ini juga salah satu sunnah Nabi kita SAW.

Kalau pernah tengok rancangan Korea “Return of Superman” suatu masa dulu, inilah juga yang dilakukan oleh Song Il Gook bila  kembarnya bergaduh. Beliau akan bawa anaknya ke bilik berasingan dan nasihatkan anak tersebut seorang demi seorang.

2. Tanya Dan Dengar Dulu

Kebanyakan masa sewaktu kita menegur anak, kita terlalu marah dan mahu anak dengar cakap kita. Kita malu dengan orang sekeliling. Kita nak cepat siapkan kerja kita. Semuanya tentang kita dan BUKAN anak kita.

Kita lupa nak tanya pendapat mereka. Kita lupa nak dengar alasan mereka. Kita lupa yang mereka mungkin nak sampaikan sesuatu pada kita.

Dengan memberi peluang untuk berkomunikasi secara 2 hala, dah tentu anak akan rasa lebih dihargai. Secara tak langsung, mereka akan rasa lebih difahami dan akan cuba juga memahami keadaan ibu bapa.

cara bercakap dengan anak

Foto Kredit: eumom.ie

3. Fokus Kepada Kesalahan Tersebut, Bukan Ungkit Kesalahan Silam

Kata orang, bila orang perempuan bergaduh dengan suami, keluarlah segala buku sejarah tentang peristiwa pahit yang diungkit-ungkit. Samalah bila kita tengah tension dengan anak, memang ada kecenderungan untuk ingat balik semua kesilapan anak yang pernah dilakukan, lebih-lebih lagi kesilapan yang sama.

Dalam hal ini, kita kena cuba asingkan memori dengan emosi supaya apa yang kita cakap dapat memberi penyelesaian pada anak. Bila dilayan emosi, bebelan mesti takkan pernah habis. Contohnya kalau anak tengah memanjat di rumah orang, tak perlu kita ingatkan dia yang dia pernah pecahkan pasu, tumpahkan air, dan sebagainya. Bila banyak sangat informasi dalam satu masa, mungkin anak pun keliru, susah nak faham, dan akhirnya malas nak dengar. Cukuplah kita fokus dengan memberitahunya memanjat boleh menyebabkannya cedera atau merosakkan barang orang.

http://www.rolereboot.org/

4. Eye Contact

“Dari mata jatuh ke hati”, kata orang-orang tua ini bukan biasa-biasa. Kita cukup faham bahawa setiap kerlingan mata membawa seribu makna. Sebab itulah pentingnya ‘eye contact’ semasa menegur anak atau berkomunikasi dengannya.

Jangan sambil marah anak, sambil pandang laptop. Sambil membebel, sambil tengok TV. Rasanya satu lagi yang orang kita selalu buat ialah menjerit dari jauh dengan harapan anak akan mendengar dan merespon. Kita pun tahu, kalau ada orang panggil kita dari jauh, kita rasa malas nak ‘bergerak’ dan jawab kan?

Tahukah anda, mengaplikasikan ‘eye contact’ ini juga antara teknik didikan keluarga diraja tau. Cuba tengok Putera William dan Kate Middleton bercakap dengan anak mereka, mereka akan selalu membongkokkan badannya supaya mata mereka setentang dengan mata anak. Pakar psikologi pun kata, inilah posisi terbaik dan efektif kalau nak anak beri perhatian pada kita!

Foto Kredit: inspiringvideo,net

5. Tawarkan Pilihan

Masa menegur anak, mereka memang mudah ‘frust’ bila kita tak sependapat dengannya. Dalam fikiran mereka, macam banyak sangat larangan yang kita nak mereka ikut.

Jadi, apa yang kita boleh buat adalah menawarkan pilihan bagi membetulkan masalah atau kesalahan. Contohnya kalau anak susah nak buat kerja sekolah, beri mereka pilihan untuk memilih waktu yang sesuai – misalnya antara pukul 3 petang atau 5 petang. Jangan terlalu lewat.

Mulakan dengan 2 pilihan saja dalam satu masa dan pastikan pilihan itu ‘selamat’.

6. Percaya Pada Keputusan Anak

Bila kita beri pilihan pada anak, biarkan mereka berpegang pada keputusan itu. Kita sebagai ibu bapa perlu yakin dan percaya dengan integritinya.

Walaupun mereka mungkin akan berdepan dengan sedikit masalah, beri mereka ruang. Jika diminta, barulah hulurkan bantuan. Tapi, tetaplah pantau keadaan mereka. Sedikit sebanyak tindakan ini dapat mendidik mereka menjadi lebih berdikari.

http://www.foxnews.com/

7. ‘Cakap Biar Serupa Bikin’

“Kalau bergaduh nanti Abah berhenti tepi jalan.”

“Kalau tak makan sayur, tak boleh makan snek.”

Ini antara ‘ugutan’ yang selalu kita cakap pada anak. Walaupun tujuannya nak mendidik dan membuat anak patuh, kita kena berpegang pada kata-kata sebab inilah mesej yang kita akan sampaikan pada anak-anak.

Jadi kalau kata akan berhenti tepi jalan, mesti berhenti kalau bergaduh. Tak kiralah waktu tu dah lambat.

Kalau tak boleh makan snek, memang takkan dapat walaupun menangis dan meraung.

Bukannya nak ajar jadi ‘kejam’, cuma mahu anak faham bahawa kita benar-benar maksudkan setiap perkataan yang keluar dari mulut kita. Ia juga mengajar kita supaya lebih berfikir dan tak mengeluarkan kata-kata yang tak logik – sekalipun pada anak kecil.

Walaupun kedengaran remeh, tapi sebenarnya penting sangat sebab anak kecil banyak meniru perbuatan kita. Kalau kita tak buat apa yang kita cakap, anak pun akan tahu yang kita hanya nak menakutkan mereka.

http://www.sheknows.com/

8. Peluk & Puji

Akhiri setiap insiden dengan pujian dan pelukan. Ini akan memberi mesej yang positif terhadap setiap teguran yang anda berikan tadi. Ianya juga akan lebih berbekas di hati.

Pelukan akan mengingatkan mereka bahawa mereka tetap disayangi walaupun telah melakukan kesilapan. Lain kali, mereka tak takut untuk berterus-terang dan bersikap jujur terhadap kesilapan mereka sekalipun meningkat usia remaja.

Pujilah mereka kalau mereka sudah berusaha membetulkan kesilapan tadi. Sekurang-kurangnya mereka akan rasa dihargai dan termotivasi untuk menjadi lebih baik.

Foto Kredit: gorgeousgirl.com

Anak-anak Perlu Sentiasa Diingatkan

Kita mungkin tak perasan, tapi sebenarnya setiap teguran atau reaksi kita terhadap kesilapan anak akan membawa kesan besar dalam hidup mereka.

Malah, ia mungkin akan menjadi suara hati kepada anak-anak dalam menentukan tindakan yang patut diambilnya. Jadi, jangan pernah rasa jemu mengingatkan anak-anak setiap hari. Walaupun susah, percayalah ia akan memainkan peranan penting dalam membentuk personaliti dirinya kelak.

Yang Popular

To Top