Famili

7 Cara Artis Korea Ini Disiplinkan ‘Triplet’nya Hingga Dipuji Ahli Psikologi

48.4K
SHARES

Peminat setia rancangan “The Return Of Superman” pasti mengenali Song Il-Gook dan anak kembar tiganya Daehan, Minguk dan Manse. Comel sungguh melihat gelagat dan kepetahan mereka. Rancangan realiti ini berkisar tentang bapa dari golongan artis yang menyahut cabaran menjaga anak selama dua hari sepanjang isterinya tiada.

Mahu jaga seorang anak pun pening kepala, apatah lagi tiga orang kembar. Sekejap ditinggalkan habis bertempiaran semua lari. Dalam rancangan ini, Song il-Gook kelihatan paling menyerlah kerana kecekapannya mengurus tiga orang putera kembarnya. Cara didikan anak ‘triplet’nya ini juga dipuji oleh pakar psikologi kanak-kanak.

cara-didikan-anak-3

7 Cara Didikan Song Il-Gook Terhadap ‘Triplet’nya, Hingga Dipuji Ahli Psikologi

Berikut adalah cara didikan yang diterapkan oleh beliau dan pasangannya semasa menjaga anak kembar tiganya.

1. ‘Less Is More’

Ramai yang terkejut melihat betapa lapang dan bersihnya keadaan ruang tamu dan bilik tidur kembar tiga Song. Di ruang tamunya hanya ada meja makan dan sebuah sofa sahaja. Kotak-kotak mainan tidak kelihatan di mana-mana. Televisyen pun tiada!

Song Il-Gook lebih gemar keadaan rumahnya begitu supaya anak-anak lebih senang berlari ke sana ke mari. Beliau mahukan anaknya bermain sesama sendiri dan menggunakan apa yang ada sahaja. Mereka juga jarang diberikan gajet. Aktiviti bersama ibu bapa juga lebih mudah dilakukan seperti melukis atau menguli kuih bersama di ruang tamu.

Foto Kredit: hubpages.com

Foto Kredit: hubpages.com

2. ‘Thinking Chair’

Bila anak buat perangai beliau akan mendekati anak secara perlahan. Bila salah satu anaknya merengek, beliau akan tatap mata anaknya dan memujuk secara perlahan. Bila antara dua orang kembarnya bergaduh, beliau akan bawa kedua-dua anaknya ke bilik berasingan dan nasihatkan anak secara tegas. Seperkara lagi, beliau tidak suka menegur anak di hadapan tetamu.

Sesudah itu beliau akan menyuruh anak untuk memeluk dan mencium sesama mereka tanda maaf. Apabila mereka sudah agak besar, beliau menggunakan teknik ‘Thinking Chair’. Dalam teknik ini, anak diminta mengambil kerusi dan duduk di dalam bilik berasingan dan refleksi diri selama beberapa minit. Fikirkan kesalahan yang sudah dibuat. Sesudah didisiplinkan dia akan segera memeluk anak-anaknya dan jelaskan kesalahan yang sudah dibuat.

Foto Kredit: forums. soompi.com

Foto Kredit: forums. soompi.com

3. Keajaiban 10 Saat

Nama pun kanak-kanak. Jika sedang bermain, tak sah kalau tak berebut. Kadang-kala boleh sampai bergaduh dan menjerit-jerit. Dapat pula kembar tiga. Bukan semua benda boleh disediakan seorang satu.

Song Il-Gook menggunakan cara yang amat efektif untuk menyelesaikan masalah ini. Dalam teknik ini, setiap anak diberi 10 saat untuk bermain atau gunakan barang yang direbut itu. Setelah 10 saat, giliran adik-beradik lain pula untuk digunakan barang itu.

Foto Kredit: forums.soompi.com

Foto Kredit: forums.soompi.com

4. Bersukan Bersama Anak

Status suami dan bapa bukanlah penghalang untuk Song Il-Gook meneruskan hobi berbasikalnya. Beliau sering ditemui di kejiranan rumahnya menaiki basikal yang disambungkan dengan 3 wagon beroda comel yang dinaiki kembar tiganya.

Beliau mahu anaknya bergaul dengan jiran sekeliling dan menikmati saat-saat gembira bersama. Jangan biarkan anak-anak menjadi penghalang untuk kita lakukan perkara yang kita suka. Jika kena cara dan tempatnya kita dan anak dapat mencipta memori yang indah bersama.

5. Beri Tugas Kecil Kepada Anak

Walaupun ketiga-tiga anak kembarnya adalah lelaki, mereka tetap diajar untuk membuat kerja dan tugasan yang mudah.

Dalam satu episod realiti tersebut, Song Il-Gook pernah memberikan Daehan dan Minguk duit untuk membeli makanan dan ingatkan dia untuk membawa pulang duit baki. Mereka berjaya membeli makanan sendiri tetapi duit bakinya tercicir. Beliau menyuruh anaknya bekerjasama mencari duit yang tercicir. Beliau tetap mengucapkan syabas ke anaknya walaupun tugasan yang dilakukan tidak sempurna.

Foto Kredit: poptv.weibo.com

Foto Kredit: poptv.weibo.com

6. Biar Anak Berani Bermain ‘Kotor’

Kembar tiga yang dibesarkan di tengah kota biasa dengan keadaan yang selesa dan bersih. Song Il-Gook mengambil inisiatif untuk mendedahkan anak kepada kawasan perkampungan yang dipenuhi lumpur sejauh mata memandang.

Beliau memberikan masa untuk anak menyesuaikan diri. Oleh kerana ia adalah pertama kali, tentulah ia sangat tidak menyenangkan untuk si kembar tiga. Namun begitu, si ayah tidak pernah serik. Bahkan, beliau lebih sering membawa anak-anaknya ke kawasan pedalaman untuk membiasakan mereka cara hidup orang desa. Mereka juga diajar untuk bergaul dan melakukan aktiviti bersama mereka. Sekarang mereka sudah boleh memegang serangga dan lebih suka bermain dengan haiwan di ladang!

cara didikan anak

Foto Kredit: pinterest.com

7. Pupuk Rasa Sayang

Tiada siapa yang mencintai diri  kita tanpa syarat seperti keluarga kita. Song Il Gook juga berjaya mendidik anaknya supaya menyayangi sesama sendiri. Apabila salah seorang menangis, seorang lagi akan memujuk dengan berkata “Jangan menangis…” dan tolong mengelap air matanya tanpa disuruh si ayah.

Bila salah seorang dimarahi oleh guru, yang lain pasti tapi disedari menangis juga kerana kasihankan saudaranya. Bila dihukum oleh guru, saudara kembarnya juga berasa simpati dan mahu menjalankan hukuman bersama. Alahai, comelnya!

Foto Kredit: topsy.one

Foto Kredit: topsy.one

Selebriti Atau Tidak, Mereka Tetap Ibu Bapa Seperti Kita!

Tidak kiralah sama ada mereka seorang selebriti mahupun orang biasa, apabila kita bergelar ibu bapa, kita tetap perlu menjalankan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak.

Cara didikan anak yang berkesan dapat membentuk mereka menjadi seorang yang berdikari dan penuh nilai-nilai positif. Yang penting, kita mengetahui teknik yang paling sesuai dan berkesan untuk anak kita, kerana setiap anak itu adalah unik. Semoga cara didikan Song Il-Gook ini sedikit sebanyak dapat dijadikan inspirasi untuk ibu bapa di luar sana!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×