Kehamilan kadangkala datang pada saat tidak terduga, walaupun kita telah merancang dengan rapi. Walaupun ia merupakan sesuatu yang sangat indah dan diharapkan bagi sesetengah pasangan, namun sesetengah pasangan lagi mungkin akan takut, sedih, atau risau kerana kurang bersedia – terutamanya buat mereka yang masih ada anak kecil yang sedang menyusu.
Di sini, suka untuk kami kongsikan sebuah pengalaman yang amat menarik untuk wanita yang sedang atau pernah mengalami pengalaman sedemikian. Mari ikuti kisah ibu ini.
Risau Jarak Mengandung Rapat, Rupanya Rezeki Dapat ‘Twin’ Dan ‘Triplet’
Ramai tak ibu-ibu yang baru ada anak 5-6 bulan dan dah mengandung lagi? Saya nak kongsikan kisah saya tentang jarak kelahiran yang rapat. Semoga memberi semangat kepada ibu-ibu yang berasa ‘down’ atau belum bersedia menghadapinya.
Saya berkahwin pada tahun 2009. Pada tahun 2010, saya dapat anak pertama, cinta pertama kami. Lahir pada 38 minggu dengan berat 2.8kg. Diberi nama Taufiq Aniq, lahir secara normal. Dalam masa berpantang, saya tidak mengambil sebarang perancang. Niat asalnya nak merancang sendiri. Tapi, pada usia dia 6 bulan, saya disahkan hamil lagi. Tak sangka anak kecil saya dah nak jadi abang. Ketika itu dia menyusu badan sepenuhnya, tetapi disebabkan kehamilan ini, saya terpaksa menghentikan penyusuan.
Pada waktu itu saya rasa sangat belum bersedia, dari segi mental mahupun fizikal. Macam-macam yang difikirkan – dari segi kewangan yang stabil, badan yang belum dapat berehat, dan macam-macam lagi. Allah saja yang tahu! Tapi, saya dan suami redha dengan pemberian Allah yang mungkin datang tidak tepat pada waktu yang kami harapkan. Namun, Allah itu adalah sebaik-baik perancang.
Terkejutnya Dapat Tahu Hamil Anak Kembar
Selang 2 bulan, saya pergi ‘scan’ bayi dan buka buku ‘pink’. Doktor kata, “Wah, abang nak dapat 2 orang adik!”
Saya dan suami tanya doktor, “Maksudnya?”
Doktor kata, “They are twins.”
Doktor pun alih alat imbasan dan bagi kami tengok. Alangkah terkejutnya kami kerana memang tak diduga. Tapi waktu itu saya tak mahu terlalu berharap kerana kandungan pun masih muda. Namun, dalam hati terasa gembira dan syukur, “Alhamdulillah, Ya Allah”.
Saya menjalani kehamilan seperti biasa walaupun alahannya agak teruk. Tak boleh cium bau wangi, sabun pencuci, dan minyak masak. Pelik juga, bukan? Tapi, alhamdulillah, saya tidak mengalami banyak masalah kesihatan selain itu.
Tepat pada 36 minggu, saya pergi ‘check up’ seperti biasa di HTAR. Masa doktor ‘scan’, dia pegang perut saya dan dia kata ada kontraksi. Dia tanya saya, “You ada rasa sakit dan mengeras tak?” Saya jawab tak ada. Sebab memang tak ada. Tapi, doktor periksa laluan dah buka 2 cm.
Terus saya ditahan wad walaupun hari itu saya tak ada rasa sakit apa-apa. Malam itu pun saya rasa sakit perut saja, rasa memulas-mulas macam nak buang air besar. Saya tahan dan cakap dengan nurse. Apabila diperiksa jalan, dah buka 4 cm. Doktor minta saya panggil suami dan siap-siap untuk ke bilik bersalin. Saya berada dalam labour room selama lebih kurang 4 jam. Masuk labour room, tunggu 2 jam untuk laluan buka. Selang 2 jam, saya cakap dengan coktor saya nak meneran sangat. Doktor pun sediakan alatan untuk bersalin.
Doktor minta saya teran dan lahirlah kembar si kakak seberat 2.2kg. Saya masih sakit lagi sebab kembar si adik masih belum keluar. Coktor cuba pusingkan kepala adik ke bawah, tapi tak boleh juga. Akhirnya adik keluar kaki dulu. Tuhan saja yang tahu perasaan risaunya saya waktu itu. Tapi Alhamdulillah selamat keduanya. Berat adik 1.9kg saja.
APabila doktor letak kedua-dua atas badan saya untuk menyusu, mereka terus pandai ‘sucking’. Hausnya mereka berdua masa itu. Selepas itu, nurse bersihkan mereka berdua dan saya pun dapat balik ke wad semula. Esoknya kami discaj.
Mereka membesar seperti biasa, tiada masalah kesihatan. Alhamdulillah. Mereka diberi nama Lutfiah Hana dan Lutfiah Hani.
Kisah Triplet Kami
Ceritanya belum habis disitu. Selang 4 tahun, saya dan suami merancang untuk tambah bayi lagi. Rindu pula dengan bau bayi. Kaka dan abang pun ‘request’ nak baby.
Saya disahkan hamil masa 2 bulan pergi ‘scan’ dan buka buku ‘pink’. Doktor kata saya hamil kembar lagi, dan dia tunjuk gambar ‘scan’. Saya antara percaya dan tidak. Apabila saya pergi jumpa doktor di klinik kesihatan, dia pun kata ‘impossible’ saya boleh dapat kembar lagi. Saya pun tak tahu, tapi doktor yang sahkan begitu.
Kemudian, doktor di klinik kesihatan ‘refer’ saya ke pakar HTAR. Hari itu juga saya ke sana untuk dapatkan pengesahan. Sampai di HTAR O&G, doktor pakar menggunakan ‘scan’ bawah dan mendapati saya hamil TRIPLET!
Ya Allah, saya tanya doktor berulang kali. “Betulkah doktor?” Doktor siap tunjukkan saya setiap seorang punya degupan jantung. Yang seorang lagi terselit di belakang rupanya.
Allahuakbar, selama ini ada 3 nyawa dalam perut Ummi yang Ummi kena jaga dan gendong selama berbulan-bulan. Saya mengalami alahan yang sangat teruk. 4 bulan terlantar atas katil. Dunia saya berpusing saja. Makan muntah. Nasib baik dapat suami yang penyabar menguruskan saya dan anak-anak lain. Sampai kandungan saya masuk 5 bulan, saya dah tak larat berjalan. Badan saya kecil, tapi perut ke depan.
Pada 28 minggu, saya mengalami kontraksi. Masa itu suami kerja luar, saya telefon ambulans untuk ke hospital. Saya terus ke bilik bersalin dan doktor mendapati laluan dah buka 3 cm. Doktor terus bersedia untuk emergency Caesar. Pembedahan mengambil masa 40 minit saja dan lahirlah triplet saya; Lutfiah Aira 1kg, Lutfiah Aina 1.2kg, Lutfiah Aini 1.2 kg.
Saya hanya mendengar tangisan mereka. Nurse terus tolak mereka ke NICU. Saya pula ditolak balik ke wad dengan keadaan separuh kebas. Dengan perut yang sakit akibat Caesar, lepas 3 hari saya pulang ke rumah dan berpantang selama 2 minggu di rumah tanpa anak-anak. Rindunya, sedihnya hanya Allah saja yang tahu.
Suami pujuk saya, “Sayang kena sihat dulu. Nanti baby balik sayang dah sihat, senang nak jaga baby. Kalau sayang tak pantang, sakit, nanti macam mana nak jaga baby nanti.” Betul juga, fikir saya.
Lepas 2 minggu barulah saya pergi jumpa anak-anak kembar tiga saya. Selama 2 minggu itu suami saja yang pergi jumpa mereka untuk hantar barang keperluan dan susu perahan. Pertama kali tatap wajah mereka, sayunya rasa hati sebab kecil sangat. Tapi, doktor kata perkembangan mereka baik. Mereka sihat, cuma tunggu berat badan naik. Selepas 2 bulan di NICU, alhamdulillah dah boleh discaj dan kami dapat bersatu kembali 1 keluarga. Sekarang, masing-masing dah 1 tahun 9 bulan dan membesar dengan sihat.
Jangan Risau Tentang Rezeki
Alhamdulillah, dengan 3 kali bersalin saya dah ada 6 orang anak. Single boy 7 tahun, twin girls 6 tahun, triplet girls 1 tahun 9 bulan. Cuma abangnya yang tak ada ‘geng’, tak apalah boleh ‘geng’ dengan ayah ya.
Rezeki semuanya di tangan Tuhan. Kita hanya mampu merancang tapi Tuhan yang menentukan. Jangan risau tentang rezeki. Allah beri kita anak seiring dengan rezeki anak itu masing-masing. Alhamdulillah walaupun anak ramai, tapi rezeki mereka bak air yan mengalir. Saya dan suami hanya menumpang rezeki anak-anak.
Jadi sekiranya ada ibu-ibu yang mengandung di saat anak kita kecil lagi, bersyukurlah kerana Allah memilih kita untuk dia berikan rezekinya buat insan yang dipilih. Alhamdulillah.
Semoga kita menjadi ibu yang kuat dan terbaik dunia akhirat.
Aamiiinn…
*Perkongsian asal oleh Merpati Putih ini diterbitkan semula dengan kebenaran beliau. Semoga memberi inspirasi!