0-6 Bulan

Cara Mandikan Bayi Dengan Betul, Langkah Demi Langkah

398
SHARES
Cara mandikan bayi

Walaupun memandikan bayi kedengaran seperti sesuatu yang tidak begitu rumit, hakikatnya ia adalah sebuah cabaran besar untuk ‘first time mother’. Mana tidaknya, mereka tentu kekok dengan keadaan bayi yang bertubuh kecil dan ‘fragile. Apatah lagi melakukannya dengan luka bersalin yang masih berbisa.

cara-memandikan-bayi-dengan-betul

Foto Kredit: pagingsupermom.com

Bagi yang bertuah, ada yang membantu menguruskan bayi seawal minggu-minggu pertama kelahiran. Walaubagaimanapun, kita masih perlu melakukannya sendiri di kemudian hari.

Oleh itu, mari kita lihat persediaan dan cara-cara untuk mandikan bayi dengan selamat:

A) Persediaan Sebelum Memandikan

  1. Sediakan semua keperluan mandian dan persalinan selepas mandi

  • Keperluan mandian – termasuklah semua barangan dan peralatan yang diperlukan untuk mandi seperti besen kecil / tab mandi, sabun bayi, span atau kain lembut,
  • Persalinan bayi – pakaian bayi selepas dimandikan termasuklah tuala, lampin, krim, bedak, putik kapas, dan sebagainya. Biasanya tilam getah akan dihamparkan bersama semua kelengkapan ini.
  1. Ruang mandi yang selamat

  • Pastikan anda mendapatkan ruang yang luas, selesa dan selamat untuk anda dan bayi. Bagi ibu yang masih belum boleh duduk dengan selesa di atas bangku, mandikan bayi dalam keadaan berdiri seperti di sinki dapur atau di atas meja.
  • Lapikkan alas getah untuk mengelakkan anda daripada tergelincir semasa mendukung bayi.
  • Jauhkan benda-benda lain seperti baldi dan gayung yang tidak digunakan. Ianya berisiko kerana mengganggu ruang keselesaan anda.
  • Jika perlu, letakkan tong sampah atau baldi berdekatan untuk meletakkan lampin bayi yang kotor. Ini dapat mengelakkan anda menjadi kelam-kabut semasa proses menanggalkan lampin bayi.
  1. Kedalaman air yang elok

  • Kedalaman air yang disyorkan ialah sekadar untuk bayi berbaring setakat bahunya terendam. Iaitu lebih kurang 10cm untuk bayi yang berusia kurang dari 6 bulan.
  • Bagi bayi 6 bulan ke atas, pastikan kedalaman air tidak melebihi paras pinggang bayi dalam posisi duduk.
  1. Suhu air yang sesuai

  • Mandikan bayi dengan air suam – tidak terlalu sejuk mahupun terlalu panas. Suhu yang sesuai ialah sekitar 37o
  • Celupkan siku anda untuk merasa kehangatan air, bukannya merasa dengan tangan anda.

 

B) Semasa Memandikan

  1. Periksa lampin

  • Sekiranya lampin bayi dipenuhi air kencing atau najis, pastikan punggung bayi dibersihkan terlebih dahulu.
  • Tutupi bahagian tubuhnya dengan tuala terlebih dahulu supaya bayi tidak kedinginan. Ini untuk memudahkan anda mengambil masa dan posisi yang selesa semasa membersihkan bahagian muka dan kepala bayi.
  1. Cara mendukung

  • Gunakan satu tangan untuk menyokong leher dan kepalanya, manakala satu tangan lagi digunakan untuk membersihkan anggota badan bayi.
  • Selepas membersihkan muka dan kepala bayi, teruskan menggosok lembut dari anggota di bahagian atas badan ke bawah dan dari depan ke belakang.
  1. Meratakan air dan membersih anggota

  • Ratakan air dan gunakan sabun yang sesuai. Pastikan setiap celahan turut dibersihkan.
  • Bagi bayi baru lahir yang sensitif, cukup sekadar meratakan air bersih tanpa perlu menggunakan sabun.

 

C) Selepas Memandikan

  1. Mengeringkan dengan tuala

  • Tidak perlu menggosok tuala ke kulit bayi yang masih halus. Sebaliknya, tepukkan sahaja tuala secara perlahan-lahan ke badan bayi.
  • Baringkan bayi di atas tilam getah sebagai persediaan sekiranya bayi terkencing sebelum sempat dipakaikan lampin.
  • Gunakan tuala lembut yang kering dan bersih untuk mengeringkan mata, muka, leher, dan celah-celah jari.
  1. Bersihkan tali pusat

  • Tali pusat hendaklah dibersihkan dan dikeringkan setiap hari untuk mengelakkan jangkitan kuman.
  • Gunakan antiseptik yang dibekalkan oleh hospital atau cukup sekadar menggunakan air bersih.
  1. Urutan bayi

  • Luangkan sedikit masa untuk mengurut bayi sebelum dipakaikan baju.
  • Kebanyakan bayi sangat sukakan urutan. Selain memupuk kemesraan, urutan juga dapat memberi ketenangan kepada bayi.
  • Gunakan minyak bayi seperti minyak telon atau losyen pelembap yang sesuai untuk memberi urutan.
  • Selalunya bayi diurut lembut di bahagian perut dan tapak kaki. Terdapat pelbagai teknik urutan bayi yang boleh dipelajari.

Tips-tips penting

Cara mandikan bayi

Foto Kredit: tinkturedrsulca.com

  • Sekiranya anda masih belum berani untuk mandikan bayi di dalam tab mandi, gunakan span atau kain lembut sebagai pengelap badan bayi sehingga bersih.
  • Pernahkah anda melihat alat penyokong bayi yang digunakan dalam tab mandi? Ianya sangat membantu sesetengah ibu kerana dapat memudahkan pergerakan. Tetapi, jangan terkejut kerana ada bayi yang cukup tidak selesa dengan alat ini.
  • Bayi yang baru lahir tidak seharusnya dimandikan terlalu lama. Cukuplah sekadar 3 hingga 5 minit.
  • Dalam cuaca di Malaysia, seelok-eloknya bayi dimandikan sebanyak 2 kali sehari.
  • Video cara mandikan bayi kini boleh didapati dengan banyak di laman carian seperti Youtube.
  • Jadikan rutin untuk mandikan bayi anda pada sekitar waktu yang sama setiap hari. Ianya mampu memberi isyarat kepada bayi untuk mengetahui waktu tidurnya selepas ini.
  • Peringatan! Jangan tinggalkan bayi sendirian dalam tab mandi. Dalam hal yang tidak dapat dielakkan, dukung bayi anda dengan tuala dan bawa bersama bayi bersama anda.
  • Walaupun teragak-agak pada mulanya, anda pasti akan dapat melakukannya selepas beberapa cubaan. Yang penting, utamakan langkah-langkah keselamatan ya!

Video mandikan bayi dari Kementerian Kesihatan Malaysia

Untuk memudahkan pembaca, berikut ialah video mandikan bayi dari laman myhealth.gov.my

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×