Asuh

Anak Lemas Dalam Baldi Tandas, Ini 4 Tips Keselamatan Elak Anak Maut Secara Senyap

38
SHARES

Mandikan bayi atau anak yang masih kecil bukanlah perkara yang mudah. Ada ibu bapa yang masih tidak biasakan diri untuk mandikan anak secara ‘pro’ dan memerlukan masa yang lama untuk menyelesaikan tugas tersebut, maklumlah bahaya kalau tersilap langkah!

Seperti apa yang dikongsikan oleh doktor ini dimana beliau menceritakan pengalaman menghadapi situasi dimana seorang bayi lemas di dalam baldi air di tandas. Inilah perkara yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa supaya tidak membiarkan anak bersendirian di dalam tandas yang diisi air yang penuh dalam baldi.

‘TOLONG DOKTOR, ANAK SAYA LEMAS!’

Ketika anak kecil tu sampai di Jabatan Kecemasan, seluruh badannya sudah biru dan sejuk. Tak bernafas dan tak bergerak. Tiada degupan jantung kedengaran bila bayi diperiksa. Matanya tertutup, mulutnya sedikit terbuka.

“Tolong saya doktor. Anak saya lemas. Tolong dia, tolong dia.”

Si kecil ni ialah anak tunggal dan dia dijaga oleh pengasuh pada siang hari. Pintu tandas di rumah pengasuh walaupun ditutup tapi tak dikunci. Dia masuk ke tandas bersendirian dan nampak baldi yang penuh dengan air. Pada masa dia dijumpai pengasuh, kepalanya ada di dalam baldi dan kakinya ke atas. Pengasuh terus menarik anak ini keluar, namun kaki, tangan dan mulutnya sudah membiru. Berapa lama dia dah terjatuh ke dalam baldi, tak ada siapa yang tahu. 1 minit atau 10 minit, entahlah. Mana tahu pagi itu adalah hari terakhir ibunya lihat dia tersenyum.

“Maafkan saya puan. Anak puan dah tak ada lagi.”

Menyesal pun tak berguna. Masa yang dah berlalu tak boleh diputar semula. Hanya kenangan yang ditinggalkan. Dan dia, dah pergi meninggalkan semua. Kepala bayi atau anak kecil yang tenggelam dalam air sedalam 2 inci dah mampu buatkan dia lemas. Ia berlaku secara senyap dan pantas. Anak yang lemas tak mampu menjerit meminta tolong. Air yang masuk ke dalam paru-paru akan buatkan paru-paru jadi basah dan tak berfungsi lagi. 4 minit tanpa oksigen sampai ke otak, dah cukup untuk buatkan kerosakan kekal pada otak anak.

4 PERKARA PENTING KETIKA MANDIKAN BAYI ATAU ANAK KECIL

Kawan-kawan, perhatikan 4 perkara ni ketika mandikan bayi dan anak kecil:

1. Pastikan kita memerhati anak secara SENTUHAN. Maksudnya sebelah tangan kita sentiasa memegang anak. Sebelah lagi tangan untuk kita ambil alatan mandian dan tuala bayi. Dan semua alatan ni mestilah dalam jangkauan tangan kita. Susun dulu semua alatan ni sebelum letakkan bayi di dalam tub/tempat mandian bayi.

2. Peraturan mudah ketika bayi berada DI DALAM air: Jangan tinggalkan anak sendirian atau tinggalkan anak untuk dijaga oleh anak kecil lain walaupun sekejap.

3. Penutup tempat duduk tandas ditutup sepanjang masa. Kepala anak kecil yang dah pandai berjalan boleh termasuk ke dalam lubang tempat duduk tandas dan lemas secara senyap. Sebaiknya, selak terus pintu tandas supaya tak dimasuki oleh anak kecil.

4. Kosongkan baldi, tong sampah atau apa-apa bekas yang boleh menakung air. Bantu saya sebarkan info ni. Masih ada mak ayah yang belum tahu tentang ilmu keselamatan anak di rumah.

*Hati-hati ya!

Sumber: Dr. Redza Zainol

Most Popular

To Top
×