Buah belimbing buluh bukan sahaja enak dimakan segar, malah boleh dijadikan manisan yang sedap serta tahan lama jika diolah dengan cara tradisional iaitu dikeringkan menjadi manisan.
Berikut adalah langkah demi langkah untuk menghasilkan manisan belimbing yang pasti mengimbau nostalgia kampung. ‘Sebijik’ macam nenek buat!
Baca juga: Bibik Kongsi Cara Masak Telur Dadar Macam ‘Pro’, Nampak Macam Biasa Tapi Sedap LUAR BIASA!
CARA BUAT MANISAN BELIMBING BULUH TANPA SUKATAN, RASA SAMA MACAM NENEK BUAT DI KAMPUNG!

Bahan-Bahan:
- Buah belimbing buluh secukupnya.
- Gula pasir (ikut banyak buah dan tahap kemanisan yang diingini).
- Sedikit garam (hujung sudu, jika mahu).
Cara Penyediaan:
1. Penyediaan Buah
- Buang pangkal buah belimbing.
- Cuci bersih dan toskan.
- Gaulkan buah dengan gula. Jumlah gula bergantung pada banyaknya buah.
- Jika mahu, boleh tambahkan sedikit garam (sekadar hujung sudu).
- Peram semalaman, sambil sesekali balik-balikkan buah agar gula meresap rata.
2. Proses Merebus
- Keesokan harinya, rebus buah belimbing yang telah diperam.
- Tambahkan lagi gula mengikut citarasa kemanisan yang diinginkan.
- Jangan tambah air – gunakan sahaja air semulajadi yang keluar daripada buah semasa pemeraman.
- Rebus hingga air hampir surut, tetapi jangan sampai terlalu kering kerana ia boleh menyebabkan manisan menjadi pahit.
3. Proses Menjemur
- Toskan buah, kemudian jemur di bawah panas matahari.
- Jika cuaca panas terik, sehari sahaja sudah cukup untuk dimakan.
- Balik-balikkan buah semasa dijemur supaya kering sekata.
- Pastikan jangan terlalu kering kerana ia boleh membuatkan manisan menjadi keras.

4. Penyimpanan
- Setelah kering secukupnya, simpan manisan belimbing di dalam bekas bertutup.
- Ia boleh bertahan lama dan sedia dinikmati pada bila-bila masa.
* Tip tambahan: Resepi ini sesuai dijadikan kudapan di waktu petang atau sebagai bekalan perjalanan jauh. Rasanya manis masam semulajadi dengan sedikit rasa klasik yang pasti mengingatkan pada zaman dulu-dulu.

Baca juga: Resepi Sambal Tumis Ikan Bilis Gaya Mak-Mak Bikin ‘Ketagih’, Memang Satu Taman Boleh Bau!
Sumber: Wa Kelupis
