Euforia Bola 2026
Inspirasi

“Beranikan Diri Mencuba!”- Tinggi Cuma 147cm, Bomba Wanita Ini Diiktiraf Paling Pendek Di Dunia!

bomba wanita

Bukan mudah untuk menjadi anggota bomba yang perlu berdepan api marak, menyelamatkan mangsa dan bertugas dalam situasi kecemasan. Namun, ketinggian bukan penghalang buat seorang bomba wanita dari Amerika Syarikat, Autumn Kelso, apabila berjaya mencipta rekod dunia menerusi Guinness World Records (GWR).

Baca juga: Biodata Tun Dr. Hasmah, Doktor Wanita Melayu Terawal Yang Banyak Berjasa Kepada Negara

BOMBA WANITA INI DIIKTIRAF PALING PENDEK DI DUNIA!

bomba wanita

Gambar: Guinness World Records

Dengan ketinggian hanya 4 kaki 10 inci (147.32 sentimeter), Autumn secara rasmi diiktiraf sebagai anggota bomba wanita paling pendek di dunia pada 18 Januari lalu.

Pengiktirafan itu bukan sahaja menjadi detik membanggakan buat dirinya, malah membuktikan bahawa saiz fizikal bukan penentu kemampuan seseorang untuk melakukan pekerjaan yang mencabar.

Bermula sebagai gurauan rakan sekerja, akhirnya cipta rekod dunia

Autumn yang bertugas di sekitar St. Pete Beach, Florida, sudah lima tahun berkhidmat sebagai anggota bomba sebelum menerima pengiktirafan berkenaan.

Menurut laporan Guinness World Records, semuanya bermula apabila seorang rakan sekerjanya menyedari kemungkinan Autumn merupakan anggota bomba wanita paling pendek di dunia.

Mereka kemudian mengikuti prosedur yang ditetapkan, termasuk proses pengukuran rasmi bagi mengesahkan kelayakan rekod tersebut.

“Ini pengalaman paling hebat pernah saya lalui,” katanya kepada Guinness World Records.

Beliau turut menjelaskan bahawa pengiktirafan itu bukan sesuatu yang pernah dibayangkan ketika mula menyertai pasukan bomba.

“Saya sudah lima tahun menjadi anggota bomba dan perkara ini pada mulanya sekadar gurauan di balai bomba,” katanya.

Sebelum menceburi bidang tersebut, Autumn pernah bekerja dalam sektor korporat ketika berusia 20-an. Namun, beliau akhirnya menyedari bahawa kehidupan di sebalik meja pejabat bukanlah bidang yang sesuai dengan minatnya.

Dengan dorongan rakan-rakan yang turut berkhidmat sebagai anggota bomba, Autumn memberanikan diri mencuba kerjaya baharu meskipun tidak pernah membayangkan akan bertugas memadamkan kebakaran dan menyelamatkan nyawa.

Baca juga: Anak Usia 10 Tahun Setiap Pagi Bancuh Kopi, Teman & Jaga Ibu Hidap Masalah Saraf…Tak Pernah Rasa Beban

Ketinggian bukan penghalang, malah ada kelebihan tersendiri

bomba wanita

Gambar: Guinness World Records

Walaupun memiliki tubuh lebih kecil berbanding kebanyakan rakan sekerjanya, Autumn menegaskan bahawa keadaan itu tidak menjejaskan kemampuannya menjalankan tugas.

Malah, ketinggiannya kadangkala memberikan kelebihan ketika perlu memasuki ruang yang sempit seperti tingkap atau bahagian loteng bangunan.

Beliau turut berkongsi bahawa rakan sekerjanya sering mengusiknya dengan gelaran ‘spider monkey’ kerana kebolehannya memanjat untuk menyelesaikan tugasan.

Autumn juga pernah melalui detik mencemaskan ketika pasukannya menerima panggilan kecemasan melibatkan sebuah rumah bergerak yang terbakar kira-kira tiga tahun lalu.

Ketika melakukan pemeriksaan awal bersama rakan setugas, mereka tiba-tiba terjatuh menembusi lantai struktur berkenaan sehingga terpaksa mengeluarkan panggilan kecemasan ‘MayDay’.

Bagaimanapun, pasukan bomba berjaya mengharungi situasi tersebut mengikut prosedur keselamatan dan menyelamatkan semua mangsa tanpa kecederaan.

Pengalaman itu menjadi antara detik paling mendebarkan sepanjang kerjayanya, namun tidak mematahkan semangat Autumn untuk terus berkhidmat.

Bangga dapat membantu komuniti, pesan jangan mudah mengalah

bomba wanita terpendek

Gambar: Guinness World Records

Bagi Autumn, perkara paling bermakna sepanjang bergelar anggota bomba ialah peluang untuk memberikan perubahan positif kepada masyarakat, terutama ketika seseorang sedang berdepan detik paling sukar dalam hidup mereka.

“Perkara paling saya suka tentang pekerjaan ini ialah dapat membantu membawa perubahan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa kerjaya sebagai anggota bomba bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan kekuatan fizikal dan mental, selain kemampuan mengendalikan situasi bertekanan tinggi.

Justeru, Autumn berharap kisahnya dapat menjadi inspirasi kepada individu bertubuh kecil yang mungkin pernah meragui kemampuan diri untuk menceburi bidang tertentu.

“Beranikan diri mencuba. Jangan biarkan orang lain menentukan batas kemampuan anda,” pesannya.

Menurut beliau, setiap orang pasti berdepan cabaran dan rasa kecewa sepanjang perjalanan mencapai impian. Namun, perkara paling penting adalah terus berusaha dan tidak mudah berputus asa.

Kisah Autumn membuktikan bahawa keberanian, ketekunan dan kesungguhan memainkan peranan besar dalam menentukan sejauh mana seseorang mampu pergi, tanpa perlu membiarkan pandangan orang lain menjadi batas kepada impian sendiri.

Sumber: Guinness World Records

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×